Skip to main content

Singapura

Kadar kitar semula SG merosot kepada 52% pada 2023 berbanding 10 tahun lalu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Jun 2024 12:59PM Dikemas Kini : 19 Jun 2024 11:50PM
SINGAPURA: Kadar kitar semula di Singapura merosot daripada 62 peratus kepada 52 peratus sepanjang sedekad lalu.

Demikian menurut statistik sisa dan kitar semula Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Khususnya, kitar semula kertas merosot daripada lebih 50 peratus pada 2013 kepada 31 peratus pada 2023. Sebahagian besarnya disebabkan faktor struktur seperti kos pengangkutan dan komoditi, dedah agensi tersebut dalam satu kenyataan media pada Rabu (19 Jun).

Pada 2023, kira-kira 6.86 juta tan sisa pepejal dijana, di mana 3.55 juta tan dikitar semula. Ini bersamaan dengan kadar kitar semula sebanyak 52 peratus, merosot daripada 57 peratus pada 2022.

Di bawah Pelan Induk Sifar Sisa Singapura, negara ini menyasarkan untuk meningkatkan kadar kitar semula kepada 70 peratus menjelang 2030.

Kemerosotan itu disebabkan jumlah sisa pembinaan dan penghapusan, yang hampir kesemuannya dikitar semula, "merosot secara ketara" tahun lalu, tambah NEA.

Sisa pembinaan dan penghapusan, yang merupakan sumber sisa industri utama yang dijana dalam jumlah yang besar, merosot lebih 40 peratus pada 2023 berbanding 2022, kerana kurang projek penghapusan.

Statistik terkini juga menunjukkan bahawa kadar kitar semula domestik kekal pada 12 peratus, manakala kadar kitar semula bukan domestik merosot daripada 72 peratus pada 2022 kepada 67 peratus.

KEMEROSOTAN SISA DOMESTIK

Sisa domestik yang dijana per kapita, yang dikumpulkan dari isi rumah dan premis perdagangan seperti sekolah dan pusat penjaja, juga merosot lebih 15 peratus sepanjang dekad lalu.

Pada 2023, sisa domestik harian yang dijana per kapita adalah 0.88 kilogram (kg), merosot daripada 1.08kg pada 2013.

Sisa bukan domestik bagi setiap dolar Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), yang dijana di premis perindustrian dan komersil juga merosot daripada 40 tan pada 2013 kepada 26 tan tahun lalu, iaitu penurunan lebih 30 peratus.

Cik Fu berkata pemerintah sedang meneroka teknologi baharu yang dapat menghasilkan produk nilai tinggi daripada sisa pepejal campuran, sambil mengurangkan pelepasan karbon.

NEA juga akan menilai maklumat dikumpul mengenai minat industri dan daya maju komersil teknologi ini, katanya.

Mengikut kesesuaian, projek perintis mungkin dijalankan untuk menilai potensi mengembangkan kemudahan pembuangan sisa menjadi lebih besar.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita