Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar keyakinan orang awam terhadap SPF bertambah dalam sedekad; paling tinggi di dunia

Kadar keyakinan orang awam terhadap Pasukan Polis Singapura (SPF) bertambah kepada 87 peratus berbanding sekitar 79 peratus pada 2012.

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar keyakinan orang awam terhadap SPF bertambah dalam sedekad; paling tinggi di dunia

Kadar keyakinan orang awam terhadap SPF bertambah dalam sedekad; paling tinggi di dunia.

SINGAPURA: Kadar keyakinan orang awam terhadap Pasukan Polis Singapura (SPF) bertambah kepada 87 peratus berbanding sekitar 79 peratus pada 2012.

Menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, kadar itu merupakan yang paling tinggi pernah dikecapi mana-mana pasukan polis di dunia.

Selain itu, Encik Shanmugam juga berkongsi beberapa pencapaian lain pasukan Home Team dan memberi penghargaannya buat mereka dalam upacara memperingati Hari Kebangsaan Home Team yang diadakan secara maya petang tadi (30 Jul).

"Singapura di tangga teratas bagi Indeks Undang-undang dan Ketenteraman Global Gallup 2020 buat tahun ketujuh berturut-turut dan satu kajian IPS baru-baru ini, menunjukkan bahawa keyakinan orang awam terhadap institusi-institusi negara dan awam sudah meningkat sepanjang lapan tahun lalu," kongsi Encik Shanmugam.

SUMBANGAN PARA PEGAWAI BOLEH DIJADIKAN CONTOH

Di samping itu, Encik Shanmugam turut menarik perhatian kepada sumbangan dan peranan yang dimainkan pasukan Home Team lebih-lebih lagi pada waktu pandemik sekarang ini.

Sejak Januari tahun lalu, kata Encik Shanmugam, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menghantar lebih 7,000 kes yang disyaki serta lebih dari 2,000 kes positif COVID-19 ke hospital.

"Kami mengiktiraf sumbangan yang boleh dijadikan contoh oleh para pegawai, sukarelawan, rakan kongsi dan anggota masyarakat awam," kata Encik Shanmugam.

"Mereka sudah tampil ke hadapan dalam masa-masa yang sukar ini, dan menunjukkan semangat perpaduan, sedar bahawa apabila kita bersama, kita boleh meraih lebih banyak pencapaian. Dari semasa ke semasa, kita sudah mengharungi cabaran, sebagai satu Rakyat, satu Singapura," tambahnya lagi.

LEBIH 200 ANUGERAH DISAMPAIKAN MENERUSI LIMA KATEGORI

Di majlis itu juga, lebih 200 anugerah disampaikan beliau menerusi lima kategori, bagi Anugerah Hari Kebangsaan Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA).

Lima kategori itu adalah Semangat Kemasyarakatan Awam, Sukarelawan Home Team, Rakan Kongsi Home Team, serta Anugerah bagi Individu dan Kumpulan.

105 pegawai Home Team, 15 relawan Home Team, 10 pertubuhan dan tiga pasukan projek atau operasi serta 86 anggota masyarakat diiktiraf dalam majlis tersebut.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan