Kadar kesuburan Singapura pada 2020 jatuh ke paras terendah dalam sejarah
Kadar kesuburan (TFR) Singapura menjunam ke paras terendah dalam sejarah negara ini iaitu 1.1 anak pada tahun lalu.

Gambar fail TODAY.
SINGAPURA: Kadar kesuburan (TFR) Singapura menjunam ke paras terendah dalam sejarah negara ini iaitu 1.1 anak pada tahun lalu, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Indranee Rajah pada Jumaat (26 Feb).
Beliau berkata pandemik COVID-19 telah menyebabkan sebilangan warga Singapura menangguhkan perkahwinan mereka, lantas mengakibatkan jumlah perkahwinan pada tahun lalu merosot sekitar 10 peratus berbanding 2019. Yang lain pula menangguhkan rancangan untuk mempunyai anak, tambahnya.
Cik Indranee, yang juga menyelia Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional di bawah PMO, berkata demikian di Parlimen semasa perbahasan Jawatankuasa Bekalan (COS) PMO.
Masyarakat Asia Timur seperti Korea Selatan dan Taiwan, serta negara-negara Skandinavia yang terkenal dengan hasil kesuburan yang baik seperti Finland dan Norway juga mengalami penurunan TFR, katanya.
"Usaha meningkatkan kesuburan adalah tugas berat bagi masyarakat maju, tetapi kita harus terus menyokong mereka yang ingin berkahwin dan mempunyai anak," kata Cik Indranee, yang juga Menteri Kedua Kewangan dan Pembangunan Negara.
Semasa perbahasan itu juga, beliau mengumumkan bahawa Pemerintah akan menambah tokokan ke dalam Akaun Pembangunan Anak (CDA) bagi anak kedua dari S$3,000 menjadi S$6,000.
TFR merujuk kepada purata bilangan anak dilahirkan oleh wanita sepanjang hidupnya. TFR penduduk secara beransur-ansur merosot sejak beberapa dekad yang lalu dan mencatat 1.14 pada tahun 2019.
Cik Indranee juga memberitahu anggota parlimen bahawa Singapura akan terus "menentukan secara berhati-hati" rentak imigresen.
Pada tahun 2020, Singapura menerima sekitar 21,100 warganegara baru dan 27,500 penduduk tetap baru. Jumlah itu lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan sekatan perjalanan dan masalah operasi yang timbul daripada COVID-19, katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.