Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar kesuburan SG kekal di paras rendah 0.97 pada 2024

Kadar kesuburan Singapura kekal pada paras rendah 0.97 pada 2024 walaupun ia merupakan Tahun Naga.

Anggaran Waktu Membaca:
 Kadar kesuburan SG kekal di paras rendah 0.97 pada 2024

(Gambar hiasan: iStock)

Diterbitkan : 28 Feb 2025 05:33PM Dikemas Kini : 28 Feb 2025 05:34PM
SINGAPURA: Kadar kesuburan Singapura kekal pada paras rendah 0.97 pada 2024 walaupun ia merupakan Tahun Naga.

Kadar kesuburan keseluruhan penduduk Singapura merosot ke bawah paras 1.0 buat kali pertama pada 2023, dan anggaran awal menunjukkan bahawa ia kekal tidak berubah pada tahun lalu, menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Indranee Rajah di parlimen pada Jumaat (28 Feb).

Dalam ucapan sempena Tahun Baharu Cina pada tahun lalu, mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada ketika itu menggalak lebih ramai pasangan supaya mendapatkan anak.

Keluarga Cina menganggap ia bertuah jika anak mereka dilahirkan pada Tahun Naga.

Mengikut sejarah, Tahun Naga lazimnya mendorong kadar kelahiran lebih tinggi, namun ia tidak berlaku pada 2024.

"Kesan Tahun Naga semakin pudar sepanjang beberapa tahun ini, mencerminkan perubahan generasi dalam sikap dan keutamaan dalam kalangan pasangan muda," kata Cik Indranee.

Data awal menunjukkan terdapat 30,800 kelahiran penduduk pada tahun lalu, iaitu naik sedikit berbanding 30,500 pada 2023.

Kadar kesuburan rendah di Singapura dan penduduknya yang semakin menua mempunyai kesan ketara terhadap ekonomi dan masyarakat Singapura, kata Cik Indranee.

Menangani kadar kelahiran kekal sebagai "keutamaan negara" kerana ia semakin mencabar untuk menampung pertumbuhan ekonomi jika perkembangan tenaga kerja tempatan semakin perlahan.

Akan ada kurang golongan muda untuk menyokong penduduk yang semakin menua, tambah Cik Indranee.

RENTAK IMIGRESEN

Salah satu cara untuk mengurangkan kesannya adalah menerusi imigresen, kata Cik Indranee, namun Singapura tetap akan mengawal rentak imigresen dengan teliti.

Pada 2024, Singapura memberikan sekitar 24,000 kerakyatan baharu, termasuk 1,400 kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu bapa warganegara Singapura.

Ia juga memberikan kerakyatan sebagai penduduk tetap kepada sekitar 35,000 individu.

Purata jumlah tahunan rakyat dan penduduk tetap baharu sepanjang lima tahun kebelakangan ini adalah lebih tinggi sedikit berbanding lima tahun sebelumnya.

"Kami kekal komited untuk memastikan rakyat dan penduduk tetap baharu dapat disepadukan dengan baik ke dalam masyarakat kita," katanya.

Beliau menambah, keterbukaan dan kepelbagaian budaya adalah dua nilai yang telah membantu Singapura sepanjang 60 tahun lalu.

"Ini adalah aspek asas tentang siapakah diri kita dan kekuatan utama yang membantu kita mencapai kejayaan di dunia," kata Cik Indranee.

Ramai pendatang baharu ke Singapura tidak sekadar menjadi teman tetapi juga keluarga, kata Cik Indranee.

Sepanjang sedekad lalu, lebih sepertiga daripada perkahwinan yang berdaftar di Singapura setiap tahun merupakan mahligai yang didirikan antara seorang rakyat Singapura dan warga asing.

"Kami akan terus menyemak strategi penduduk kita untuk memastikan ia kekal relevan dalam memenuhi keperluan kita," kata Cik Indranee.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan