Kadar kemampuan jadi pertimbangan Bazar Raya Geylang Serai; jual produk serendah S$4 & harga sewa lebih rendah
Bazar Raya Geylang Serai tahun ini akan memastikan setiap gerai makanan menjual sesuatu pada kadar yang boleh dimampui ramai.
SINGAPURA: Bazar Raya Geylang Serai tahun ini akan memastikan setiap gerai makanan menjual sesuatu pada kadar yang boleh dimampui ramai.
Buat julung-julung kalinya, WGS dan para pengendali bazar akan melancarkan inisiatif harga rendah bagi produk-produk makanan dan minuman semasa Bazar Raya pada tahun ini.
Menurut pihak penganjur, setiap vendor F&B akan menjual produk-produk dalam saiz sampel yang akan dijual pada harga S$4.

Dalam hal itu, Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri, Muhammad Faishal Ibrahim berkata: "Kita ingin memastikan ada pilihan untuk setiap golongan masyarakat untuk membeli barangan pada harga berkemampuan."
PENIAGA BARU BAYAR HARGA SEWA SERENDAH S$55 SEHARI, HARGA SEWA GERAI F&B LEBIH RENDAH BERBANDING TAHUN LALU
Antara ciri menarik Bazar Raya tahun ini adalah mengadakan kawasan khas buat syarikat-syarikat pemula atau peniaga kecil-kecilan.
Gerai-gerai di ruang ini juga akan disewakan pada harga lebih rendah iaitu serendah S$55 sehari.

Ini bermakna bahawa mereka perlu membayar kurang daripada S$2,000 sepanjang tempoh 36 hari bazar itu dijalankan.
Menurut Pengarah Pemasaran syarikat S-Lite Event Support Pte. Ltd, Cik Vanessa Ang, harga rendah yang ditetapkan itu adalah untuk membantu mereka untuk meneruskan perniagaan sambil pulih daripada kesan pandemik COVID-19.
Cik Ang berkata, "Semasa pandemik COVID-19, banyak perniagaan dari rumah (HBB) yang dimulakan dan dimiliki para pengusaha muda. Kita ingin mengiktiraf usaha mereka dan memastikan bahawa mereka boleh meneruskan perniagaan mereka."
Pada masa yang sama, Cik Ang juga berpendapat bahawa cara tersebut akan dapat memastikan bahawa kesedaran tentang syarikat-syarikat tersebut akan sentiasa terbuka selain menggalak masyarakat setempat untuk membeli produk-produk mereka.
Di samping itu, Pengasas syarikat Enniche Global Trading, Mohamed Mustaffa Shah Jehan mendedahkan bahawa gerai-gerai runcit akan disewakan sehingga S$15,000 (sekitar $415 sehari).

Kadar ini agak setara dengan kadar sewa runcit bagi Bazar Tahun Baru Cina di Chinatown iaitu antara $400 hingga $500.
Dalam pada itu, harga sewa bagi gerai-gerai makanan dan minuman (F&B) pula akan disewakan pada harga sekitar S$390 sehari atau sekitar S$14,000 untuk sepanjang tempoh bazar itu diadakan.
Bagi gerai-gerai makanan di lokasi dengan permintaan tinggi pula boleh mencecah sehingga S$19,000.
"Kita juga tidak menyediakan gerai-gerai yang kosong (berserta kelengkapan). Kita juga memastikan bahawa gerai-gerai itu mempunyai pendedahan yang baik selain daripada menyediakan alas permaidani untuk setiap gerai," jelas Encik Mustaffa.
Kadar sewa bagi gerai-gerai bazar Geylang Serai tahun ini juga lebih rendah berbanding harga sewa yang ditetapkan bagi edisi tahun lalu yang mencecah sehingga S$21,000.
Encik Mustaffa berharap akan dapat menerima borang-borang penyertaan untuk para peniaga yang ingin menyertai Bazar Raya tahun ini seawal-awalnya pada Jumaat (27 Jan).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.