Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar faedah pinjaman rumah dijangka terus naik; pemilik rumah timbang kadar tetap untuk berjimat

Para pemilik rumah di Singapura perlu bersedia untuk mengeluarkan lebih banyak wang untuk bayaran gadai janji bulanan dalam bulan-bulan mendatang. 
 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Para pemilik rumah di Singapura perlu bersedia untuk mengeluarkan lebih banyak wang untuk bayaran gadai janji bulanan dalam bulan-bulan mendatang. 

Demikian antara pandangan ejen hartanah yang ditemui BERITAmediacorp kerana bank tempatan terus menaikkan kadar faedah untuk tawaran pinjaman rumah mereka, yang termasuk kadar terapung bagi pinjaman rumah, yang ditetapkan pada kadar penanda aras seperti purata kadar urus niaga pinjaman sebenar (SORA).

''

Kenaikan kadar SORA juga antara sebab para pemilik rumah bertukar kepada kadar faedah tetap yang dianggap lebih selamat dan tidak terlalu mudah terjejas dengan perubahan ekonomi.

KENAIKAN KADAR FAEDAH PINJAMAN RUMAH 

Kenaikan kadar faedah pinjaman rumah merupakan antara tindakan yang diambil bank-bank tempatan untuk mengurangkan kesan daripada kenaikan kadar inflasi yang juga kian meningkat. 

Bank-bank tempatan mengambil petunjuk daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang sejauh ini sudah beberapa kali menaikkan kadar untuk memerangi inflasi yang melonjak. 

Bank-bank pusat sedunia juga sudah mula mengetatkan dasar untuk meredakan inflasi termasuk Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Dengan pasaran modal terbuka, kadar faedah Singapura sebahagian besarnya ditentukan oleh kadar faedah global, terutamanya di Amerika Syarikat yang merupakan ekonomi terbesar dunia. 

Kadar terapung bagi pinjaman rumah yang ditetapkan pada kadar penanda aras seperti purata kadar urus niaga pinjaman sebenar (SORA), juga tidak terlepas daripada tempias kenaikan Rizab Persekutuan AS.

TUKAR  SEMULA KEPADA KADAR FAEDAH TETAP BAGI ELAK RISIKO

Cik Aida Talib sudah menginap di unit kondominum The Gale bersama suami dan tiga anaknya sejak sekitar 10 tahun lalu. 

Pada mulanya Cik Aida dan suaminya menggunakan kadar faedah tetap untuk tawaran pinjaman rumah mereka. 

'

Namun, mereka bertukar kepada kadar SORA pada tahun lalu selama setahun, selepas mendapati kadar SORA adalah lebih rendah berbanding kadar faedah tetap yang ditawarkan bank.

Cik Aida berkata: "Kadar SORA adalah baru dan bank menawarkan kadar yang rendah dan menarik. Pada masa itu, kadar tetap adalah pada 1.5 peratus hingga 1.6 peratus, tetapi kadar SORA adalah sekitar 1.1 peratus." 

Melalui perbezaan peratusan mata tersebut, Cik Aida dan suaminya dapat menjimat sekitar S$300 hingga S$500 sebulan.

Namun, kadar yang jauh lebih rendah itu tidak bertahan lama. Menurut Cik Aida, kadar SORA sejak beberapa bulan lepas sudah semakin setara dengan kadar faedah tetap yang ditawarkan bank-bank. 

Cik Aida berkata: "Sejak beberapa bulan lalu, kadar SORA naik, dari situ kita tahu kadarnya akan terus naik. Paling tinggi sekarang sudah mencapai 2.6 peratus. Kadar faedah tetap yang ditawarkan kepada kami adalah sekitar 2.75 peratus. Kita tahu bahawa kadar SORA akan terus naik. Kalau sekarang sudah 2.6 peratus dan kadar tetap adalah sekitar 2.7 peratus, kadar SORA mungkin boleh naik hingga ke 3 hingga 4 peratus, kita pun tidak boleh tahu berapa." 

Ketidaktentuan kenaikan kadar SORA yang boleh melebihi kadar faedah tetap dalam beberapa bulan mendatang menyebabkan Cik Aida dan suaminya memutuskan untuk kembali mengambil kadar faedah tetap yang ditawarkan pada 2.75 peratus, meskipun kadar itu lebih tinggi daripada kadar SORA pada ketika itu. 

''

Dengan cara itu, Cik Aida berharap akan dapat mengelak daripada perlu mengeluarkan tambahan $200 hingga S$300 sebulan sekiranya kadar SORA melambung ke paras melebihi 3 peratus. 

"SORA adalah kadar faedah yang baru jadi kalau dulu kita tahu kadarnya boleh naik dengan banyak, saya tidak akan mengambilnya, tetapi sebagai pembeli rumah kita perlu mengambil beberapa risiko untuk mengurangkan kadar faedah. Memang tidak bernasib baik sebab keadaan ekonomi sekarang memang sebegini dan SORA tidak begitu menarik lagi," tambah Cik Aida. 

KADAR FAEDAH PINJAMAN RUMAH DIJANGKA TERUS NAIK

Ejen Hartanah syarikat ERA, Imran Qureshi berpendapat bahawa kadar faedah pinjaman rumah akan terus meningkat pada bulan-bulan mendatang. 

''

"Rizab Persekutuan AS telah menyatakan bahawa mereka akan melakukan kenaikan kadar faedah sekali lagi. Jadi apabila itu berlaku, saya fikir kadar faedah pinjaman rumah mungkin meningkat sedikit lagi. Jadi bagaimanakah ia akan memberi kesan sama ada orang akan terus membeli atau tidak? Pasti ada kesannya, mungkin lebih kepada golongan berpendapatan pertengahan," kata Encik Imran. 

Encik Imran juga berkata bahawa golongan yang akan paling teruk terjejas akibat kenaikan kadar faedah pinjaman rumah yang meningkat adalah para pembeli rumah yang telah melampaui bajet mereka semasa pembelian. 

''

"Contohnya, sesebuah keluarga ini mampu membeli rumah privet dua bilik tetapi kerana mereka mempunyai sejumlah wang di dalam tangan pada masa itu, mereka memutuskan untuk membeli rumah empat bilik."

"Jadi pada masa mereka membuat perancangan bajet mereka, semuanya berjalan mengikut rancangan kerana mereka hanya melihatnya dari perspektif pada waktu itu."

"Pada waktu itu mereka akan membayar kadar faedah sebanyak 1.5 peratus. Tetapi sekarang ia melonjak sebanyak 1 peratus. Bayaran gadai janji boleh meningkat agak ketara pada setiap bulan. Jika pendapatan mereka tidak meningkat seiringan, maka mereka pasti akan merasa tempias kenaikan kadar itu," jelas Encik Imran. 

Lantaran itu, Encik Imran memberi nasihat kepada para pembeli rumah untuk meneliti kadar faedah pinjaman bank yang perlu mereka bayar setiap bulan dan memantau pilihan-pilihan lain yang boleh membantu mereka menjimatkan wang. 

Ini boleh dilakukan antaranya menerusi kadar faedah tetap yang lebih selamat dan dijangka tidak akan mengikut trend kadar SORA yang akan terus meningkat. 

''

"Dengan kadar faedah tetap, kita tidak perlu risau tentang turun naiknya semasa tempoh pembayaran gadai janji. Misalnya, kadar faedah pinjaman HDB ditetapkan pada 2.6 peratus. Pada iklim ekonomi sekarang, kadar SORA juga akan terus naik dan mungkin melebihi kadar pinjaman HDB." 

"Jadi untuk mereka yang tinggal di HDB, apa yang boleh mereka lakukan adalah untuk terus menggunakan pinjaman HDB buat masa sekarang. Namun, apabila keadaan semakin pulih dan kadar SORA kembali turun pada anggaran 1 peratus, mereka boleh cuba menggunakan pinjaman daripada bank," kata Encik Imran. 

TENTUKAN SAMA ADA PEMBELIAN RUMAH SATU KEPERLUAN

Disebabkan ketidaktentuan inflasi dan kadar faedah pinjaman wang yang kian meningkat, para penasihat kewangan menasihati para pembeli rumah untuk memutuskan sama ada pembelian mereka adalah keperluan ataupun kemahuan. 

''

Konsultan Khidmat Kewangan syarikat TAQ Wealth Associates (TAQWA), Muhammad Redhwan Wahid berkata: "Kalau kemahuan, mungkin pada masa ini perlu ditunda, dengan ketidaktentuan kadar faedah oleh bank. Ia boleh membuat anda rasakan kesannya lebih mendalam."

"Ansuran bulanan pun akan meningkat dan anda akan mengeluarkan duit lebih banyak daripada biasa. Dari segi mengeluarkan jumlah wang yang besar untuk pembelian yang besar, mungkin pada masa sekarang perlu lebih berjaga-jaga." 

"Pada dasarnya, pembelian rumah juga berteraskan terhadap keselesaan dengan bajet yang kita ada. Kalau sasarannya besar tetapi bajet tidak setaraf dengan sasaran, ia mungkin bukan masa yang baik," tambah Encik Redhwan. 

''

Dengan kaedah faedah pinjaman wang bank yang meningkat juga, Encik Redhwan menasihatkan agar masyarakat cuba elak daripada meningkatkan hutang dengan bank pada waktu ini. 

"Dengan inflasi, bank selalunya akan menaikkan kadar faedah. Dari situ, kalau anda ambil pinjaman bank, anda perlu membayar lebih. Kalau kadar inflasi terlalu tinggi, kita nasihatkan orang untuk kurangkan hutang dan tidak perlu membeli benda yang perlu kita ambil pinjaman," kata Encik Redhwan. 

''

Beliau selanjutnya menasihati orang ramai untuk mengurangkan kos dan hutang serta meningkatkan wang simpanan.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa