Kadar faedah CPF, gadai janji HDB kekal tidak berubah pada suku pertama 2019
Para pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan terus menerima kadar faedah sebanyak 2.5 peratus setahun bagi Akaun Biasa (OA), dan empat peratus setahun bagi akaun-akaun Khas dan Medisave antara 1 Jan hingga 31 Mac, 2019.
Gambar fail bangunan CPF. (Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Para pencarum Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan terus menerima kadar faedah sebanyak 2.5 peratus setahun bagi Akaun Biasa (OA), dan empat peratus setahun bagi akaun-akaun Khas dan Medisave antara 1 Jan hingga 31 Mac, 2019. Demikian menurut Lembaga CPF dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat (16 Nov).
Sejajar dengan itu, kadar faedah bagi pinjaman gadai janji kekal tidak berubah iaitu 2.6 peratus setahun bagi tempoh yang sama. Kadar tersebut ditetapkan pada 0.1 peratus lebih tinggi berbanding kadar faedah OA.
Selain faedah biasa, tambahan satu peratus faedah akan dibayar bagi S$60,000 pertama baki gabungan CPF mereka memberi pencarum CPF faedah sehingga 3.5 peratus dalam Akaun Biasa mereka dan lima peratus setahun bagi akaun-akaun Khas dan Medisave mereka.
Pencarum CPF yang berusia 55 tahun ke atas juga akan terus menerima tambahan satu peratus faedah bagi S$30,000 pertama baki gabungan CPF mereka. Ini bermakna mereka boleh mendapat faedah hingga enam peratus setahun bagi baki persaraan mereka.
Faedah bagi Akaun Persaraan, yang disemak semula setiap tahun, turut kekal pada empat peratus setahun pada 2019.
Had bagi Akaun Medisave akan dinaikkan daripada S$54,500 kepada S$57,200 bagi mereka yang berusia 65 tahun ke bawah.
Jumlah tersebut disesuaikan setiap tahun bagi para pencarum berusia 65 tahun ke bawah, agar sejajar dengan pertumbuhan pengeluaran Medisave.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.