Skip to main content

Singapura

Kadar faedah akaun Khas, MediSave & Persaraan CPF jatuh kepada 4% pada suku pertama 2025

Kadar faedah akaun Khas, MediSave dan Persaraan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan merosot kepada 4 peratus dalam setahun pada suku pertama 2025.

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar faedah akaun Khas, MediSave & Persaraan CPF jatuh kepada 4% pada suku pertama 2025

Gambar: Calvin Oh/CNA

Diterbitkan : 11 Dec 2024 02:25PM Dikemas Kini : 11 Dec 2024 02:27PM
SINGAPURA: Kadar faedah akaun Khas, MediSave dan Persaraan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan merosot kepada 4 peratus dalam setahun pada suku pertama 2025.

Ia merosot daripada 4.14 peratus pada suku sebelumnya, iaitu kemerosotan pertama selepas mencatatkan kenaikan bagi dua suku berturut-turut.

Kadar faedah yang lebih rendah itu disebabkan oleh penurunan dalam hasil purata 12 bulan Sekuriti Pemerintah Singapura, menurut Lembaga CPF, Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) dan Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (11 Dis).

Wang simpanan dalam akaun Khas, MediSave dan Persaraan akan memperoleh 4 peratus dari 1 Januari hingga 31 Mac 2025, menurut kenyataan bersama itu.

Kadar faedah Akaun Biasa (OA) kekal tidak berubah pada 2.5 peratus bagi suku pertama tahun depan.

Kadar faedah konsesi bagi pinjaman perumahan HDB, yang ditambat pada 0.1 peratus melebihi kadar faedah OA, kekal tidak berubah pada 2.6 peratus sepanjang tempoh tersebut.

Selaras dengan usaha pemerintah untuk meningkatkan simpanan persaraan bagi para pencarum CPF, para pencarum akan tetap menerima faedah khas bagi simpanan CPF mereka.

Mereka yang berusia bawah 55 tahun akan mendapat faedah tambahan sebanyak 1 peratus untuk S$60,000 pertama daripada baki gabungan mereka.

Jumlah faedah itu dihadkan pada S$20,000 bagi Akaun Biasa.

Sementara itu, para pencarum berusia 55 tahun dan ke atas akan menerima faedah tambahan sebanyak 2 peratus bagi S$30,000 pertama daripada gabungan baki mereka, dihadkan pada S$20,000 bagi akaun biasa dan tambahan 1 peratus bagi S$30,000 seterusnya.

Kadar faedah tambahan yang diperolehi bagi baki simpanan OA akan disalurkan kepada Akaun Khas atau Persaraan.

Para pencarum yang berusia 55 tahun ke atas dan mengambil bahagian dalam Skim CPF LIFE masih dapat meraih faedah tambahan terhadap baki gabungan CPF mereka.

Ini termasuk wang simpanan yang digunakan untuk CPF LIFE.

KENAIKAN DALAM JUMLAH JAGAAN KESIHATAN AWAM

Pihak berkuasa juga mengumumkan kenaikan pada Jumlah Penjagaan Kesihatan Asas (BHS) pada 2025.

Mulai 1 Januari, para pencarum CPF berusia bawah 65 tahun akan dinaikkan jumlah BHS mereka daripada S$71,500 kepada S$75,500.

Bagi mereka yang berusia 65 tahun pada tahun depan, jumlah BHS mereka kekal tidak berubah pada S$75,500.

Bagi pencarum CPF yang berusia 66 tahun ke atas pada 2025, jumlah BHS mereka sudah ditetapkan dan tidak akan diubah, menurut pihak berkuasa.

BHS adalah anggaran simpanan yang diperlukan bagi keperluan jagaan kesihatan asas bersubsidi pada usia tua.

MOH menyemak jumlah itu setiap tahun bagi mereka yang berusia bawah 65 tahun supaya ia selari dengan penggunaan MediSave.

Para pencarum boleh membuat sumbangan kepada akaun Medisave sehingga ke BHS.

Jika sumbangan Medisave melebihi jumlah BHS, ia akan secara automatik dipindahkan ke akaun CPF yang lain.

Para pencarum yang mempunyai simpanan kurang daripada BHS mereka, tidak perlu menokok akaun Medisave.

Mereka juga masih boleh mengeluarkan wang daripada akaun tersebut untuk membayar bagi kos perubatan yang telah diluluskan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita