Skip to main content

Singapura

Kadar faedah akaun Khas, Medisave dan Persaraan CPF naik kepada 4.08% pada suku pertama 2024

Anggaran Waktu Membaca:
 Kadar faedah akaun Khas, Medisave dan Persaraan CPF naik kepada 4.08% pada suku pertama 2024

Gambar fail: TODAY

Diterbitkan : 06 Dec 2023 03:00PM
SINGAPURA: Kadar faedah Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan Akaun Khas dan Medisave (SMA), serta Akaun Persaraan (RA), akan naik kepada 4.08 peratus setahun pada suku pertama 2024.

Demikian menurut Lembaga CPF, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan bersama pada Rabu (6 Dis).

Kenaikan kadar faedah SMA, yang ketiga dalam beberapa suku sebelum ini, "disebabkan kenaikan pada hasil purata 12 bulan daripada Sekuriti Pemerintah Singapura 10 tahun (10YSGS), di mana kadar faedah SMA ditambat".

Pada awal tahun ini, pemerintah menaikkan kadar faedah SMA kepada 4.01 peratus, sebelum menaikkannya kepada 4.04 peratus pada suku keempat tahun ini.

Sementara itu, kadar faedah RA juga akan dinaikkan kepada 4.08 peratus bagi suku pertama 2024.

Tiada perubahan kepada kadar paling rendah SMA dan RA sebanyak 4 peratus sehingga 31 Disember 2024, tambah pihak berkuasa.

Kadar faedah Akaun Biasa (OA) akan kekal pada 2.5 peratus bagi tempoh yang sama, kerana kadar OA yang ditambat kekal di bawah kadar paling rendah pada 2.5 peratus.

Pemerintah "akan terus memastikan tambatan kadar faedah CPF kekal relevan dalam persekitaran operasi semasa dengan mengambil kira prospek jangka panjang", tulis Lembaga CPF, HDB dan MOH.

Sebagai sebahagian daripada usaha pemerintah untuk meningkatkan simpanan persaraan, pencarum CPF akan terus mendapat faedah tambahan melalui simpanan CPF mereka.

Pencarum CPF di bawah 55 tahun akan menerima faedah tambahan 1 peratus bagi S$30,000 pertama gabungan baki mereka, yang dihadkan pada S$20,000 bagi OA.

Bagi anggota CPF 55 tahun dan ke atas, pemerintah akan membayar faedah tambahan 2 peratus pada S$30,000 pertama gabungan baki mereka, juga dihadkan pada S$20,000 untuk OA, dan tambahan 1 peratus pada S$30,000 seterusnya.

Faedah tambahan tersebut pada baki OA akan disalurkan ke dalam Akaun Khas (SA) atau RA, dedah pihak berkuasa.

Jika pencarum CPF berusia 55 tahun ke atas dan menyertai skim CPF LIFE, faedah tambahan masih akan diperolehi daripada gabungan baki CPF, termasuk simpanan yang digunakan untuk CPF LIFE, tambahnya.

Sedang kadar faedah OA akan kekal pada 2.5 peratus untuk suku pertama 2024, kadar faedah konsesi bagi pinjaman perumahan HDB, yang ditambat pada 0.1 peratus melebihi kadar faedah OA, akan kekal pada 2.6 peratus setahun untuk tempoh yang sama.

Kadar tersebut akan diguna pakai mulai 1 Januari hingga 31 Mac.

KENAIKAN JUMLAH JAGAAN KESIHATAN ASAS

Pihak berkuasa juga mengumumkan kenaikan dalam Jumlah Penjagaan Kesihatan Asas (BHS) pada 2024.

Mulai 1 Januari, BHS pencarum CPF di bawah 65 tahun akan dinaikkan daripada S$68,500 kepada S$71,500, manakala mereka yang berusia 65 tahun pada 2024 akan ditetapkan BHS mereka pada S$71,500, yang tidak akan berubah selepas itu.

Bagi pencarum CPF 66 tahun ke atas pada 2024, BHS mereka sudah ditetapkan dan akan kekal tidak berubah, umum pihak berkuasa.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita