Skip to main content

Singapura

Kadar faedah Akaun Khas, MediSave CPF naik kepada 4.04% pada suku keempat tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Sep 2023 03:17PM Dikemas Kini : 21 Sep 2023 10:26PM
SINGAPURA: Kadar faedah bagi Akaun Khas dan MediSave (SMA) Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan dinaikkan kepada 4.04 peratus setahun pada suku keempat tahun ini.

Demikian menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Khamis (21 Sep).

Ia adalah kenaikan kedua selepas kadar itu dinaikkan kepada 4.01 peratus bagi suku ketiga tahun ini - yang merupakan kenaikan pertama sejak kadar lantai 4 peratus ditetapkan pada 2008.
CPF dan HDB menyatakan, kenaikan itu disebabkan oleh peningkatan pada hasil purata 12 bulan Sekuriti Pemerintah Singapura sepanjang tempoh 10 tahun, yang mana kadar faedah SMA ditambatkan.

Kadar faedah Akaun Biasa (OA) akan kekal tidak berubah pada 2.5 peratus bagi tempoh yang sama, sedang kadar tambatan OA - purata tiga bulan faedah bank utama tempatan - kekal di bawah kadar lantai 2.5 peratus.

Pemerintah akan terus memantau persekitaran kadar faedah dengan teliti untuk memastikan tambatan kadar faedah CPF kekal relevan dalam sekitaran operasi semasa.

Para pencarum CPF berumur di bawah 55 tahun akan terus memperolehi faedah tambahan 1 peratus bagi S$60,000 pertama daripada baki gabungan mereka, yang dihadkan pada S$20,000 bagi OA.

Bagi anggota CPF yang berusia 55 tahun ke atas, pemerintah itu membiayai faedah tambahan 2 peratus bagi S$30,000 pertama baki gabungan mereka, juga dihadkan pada S$20,000 bagi OA dan tambahan 1 peratus bagi S$30,000 seterusnya.

"Faedah tambahan yang diterima dalam OA akan disalurkan kepada Akaun Khas (SA) dan Akaun Persaraan (RA)," nyata Lembaga CPF dan HDB.

"Jika pencarum berusia lebih 55 tahun dan menyertai skim CPF LIFE, faedah tambahan akan masih diterima bagi baki gabungan mereka, yang termasuk simpanan yang digunakan CPF LIFE."

Sementara itu, kadar faedah konsensi bagi pinjaman perumahan HDB, yang ditambat pada 0.1 peratus melebihi kadar faedah OA, akan kekal tidak berubah pada 2.6 peratus setiap tahun bagi tempoh yang sama.

Kadar faedah itu akan diguna pakai mulai 1 Oktober sehingga 31 Disember.

Kadar faedah RA bagi tahun ini akan kekal pada 4 peratus setiap tahun.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita