Skip to main content

Singapura

Kadar faedah Akaun Khas CPF, Medisave dan Akaun Persaraan naik kepada 4.08% pada suku ketiga 2024

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kadar faedah untuk Akaun Khas, MediSave dan Akaun Persaraan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan meningkat kepada 4.08 peratus pada suku ketiga 2024.

Ia susut kepada 4.05 peratus pada suku sebelumnya, penurunan pertama selepas tiga kenaikan berturut-turut.

Kadar faedah yang lebih tinggi itu disebabkan oleh peningkatan pada pulangan purata 12 bulan Sekuriti Pemerintah Singapura sepanjang 10 tahun, menurut Lembaga CPF dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam satu kenyataan bersama pada Rabu (29 Mei).

Kadar faedah untuk akaun-akaun ini ditambat pada pulangan purata ditambah 1 peratus.

Kadar faedah Akaun Biasa (OA) kekal tidak berubah pada 2.5 peratus untuk suku ketiga.

Kadar faedah konsesi bagi pinjaman perumahan HDB, yang ditambat pada 0.1 peratus menjangkaui kadar faedah OA, akan kekal tidak berubah pada 2.6 peratus sepanjang tempoh yang sama.

Selaras dengan usaha Pemerintah untuk meningkatkan simpanan persaraan para pencarum CPF, para pencarum akan terus memperoleh faedah tambahan pada simpanan CPF mereka.

Para pencarum yang berusia bawah 55 tahun akan memperoleh faedah tambahan 1 peratus pada S$60,000 pertama daripada baki gabungan simpanan mereka. Faedah ini dihadkan pada S$20,000 untuk OA.

Para pencarum yang berusia 55 tahun dan ke atas pula akan menerima faedah tambahan 2 peratus pada S$30,000 pertama baki gabungan simpanan mereka, dihadkan pada S$20,000 untuk OA, dan tambahan 1 peratus pada S$30,000 seterusnya.

Faedah tambahan yang diperoleh daripada baki OA akan dimasukkan ke dalam Akaun Khas atau Akaun Persaraan para pencarum.

“Jika para pencarum berumur 55 tahun ke atas dan menyertai CPF LIFE (Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia), faedah tambahan akan diperoleh daripada baki CPF gabungan simpanan mereka, termasuk simpanan yang digunakan untuk CPF LIFE,” menurut Lembaga CPF dan HDB.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita