Kadar faedah akaun CPF LIFE, Medisave, Persaraan kekal pada 4% bagi Q2 2025
Kadar faedah bagi akaun-akaun Khas, MediSave dan Persaraan (SMRA) akan dikekalkan pada 4 peratus setiap tahun dalam suku kedua 2025, menurut Lembaga CPF pada Rabu (12 Mac).

Pusat khidmat CPF di Maxwell. (Gambar: CPF)
Ini kerana kadar SMRA ditambat pada paras bawah kadar asas 4 peratus.
Kadar faedah SMRA ditambat pada purata 12 bulan hasil Sekuriti Pemerintah Singapura selama 10 tahun (10YSGS) tambah 1 peratus.
Kadar faedah Akaun Biasa (OA) juga kekal tidak berubah pada kadar asas 2.5 peratus setiap tahun.
Secara serupa, kadar faedah konsesi untuk pinjaman perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang ditambat pada 0.1 peratus melebihi kadar faedah OA, juga kekal tidak berubah pada 2.6 peratus setiap tahun.
FAEDAH TAMBAHAN
Para pencarum akan terus menerima kadar faedah tambahan bagi simpanan CPF, sebagai sebahagian daripada usaha Pemerintah untuk meningkatkan simpanan persaraan, menurut Lembaga CPF.
Para pencarum berusia bawah 55 tahun akan meraih kadar faedah tambahan 1 peratus bagi S$60,000 pertama daripada baki gabungan mereka.
Kadar faedah itu dihadkan pada S$20,000 bagi Akaun Biasa.
Para pencarum berusia 55 tahun dan ke atas akan menerima kadar faedah tambahan sebanyak 2 peratus bagi S$30,000 pertama daripada baki gabungan mereka, juga dihadkan pada S$20,000 bagi OA dan tambahan 1 peratus pada S$30,000 seterusnya.
Kadar faedah tambahan yang diperolehi daripada baki OA akan disalurkan ke dalam Akaun Khas atau Akaun Persaraan para pencarum.
Para pencarum berusia 55 tahun dan ke atas yang menyertai Skim CPF LIFE tetap akan menerima kadar faedah tambahan bagi baki gabungan CPF mereka.
Ini termasuk simpanan yang digunakan bagi CPF LIFE.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.