Kadar ERP akan dinaikkan di sesetengah gantri pada Mei & Jun
SINGAPURA: Kadar Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) akan dinaikkan S$1 secara bertahap-tahap di sesetengah gantri ekspreswe pada Mei dan Jun, umum Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Jumaat (20 Mei).
"Berdasarkan pemantauan LTA terhadap keadaan trafik pada April dan Mei 2022, pergerakan trafik semakin meningkat di pelbagai bahagian ekspreswe dengan pelonggaran sekatan secara berperingkat di tempat kerja mulai 29 Mac," tambah LTA.
Bagi 13 tempoh masa merentasi tujuh lokasi - termasuk CTE menghala ke bahagian selatan sebelum Braddell Road dan AYE sebelum Alexandra menuju ke arah bandar - kadar ERP akan dinaikkan mulai 30 Mei.
Ini adalah lokasi-lokasi di mana "kelajuan rendah mungkin akan berterusan sepanjang musim cuti sekolah bulan Jun", menurut LTA.
Dengan musim cuti sekolah bakal menjelang, kenaikan kadar ERP bagi enam tempoh masa meliputi tiga lokasi akan dilaksanakan hanya selepas musim cuti sekolah, mulai 27 Jun.
Sebagai contoh, bagi gantri di AYE selepas North Buona Vista yang menghala ke arah Tuas, kadarnya akan dinaikkan kepada S$2 antara 6.00 petang dengan 6.30 petang.
KADAR RENDAH SEMASA CUTI SEKOLAH
Semasa musim cuti sekolah pada Jun, kadar ERP akan diturunkan sebanyak S$1 bagi 14 tempoh masa di lima lokasi.
Kadar yang disemak semula itu akan dikuatkuasakan dari 30 Mei sehingga 26 Jun.
Kadar ini akan kembali kepada kadar sebelum musim cuti sekolah mulai 27 Jun.
Kadar bagi tempoh masa lain di gantri-gantri yang diumumkan sebelum ini kekal tidak berubah, menurut LTA.
Agensi itu menambah bahawa ia akan terus memantau kelajuan trafik dan tahap kesesakan jalan raya dengan teliti dan menilai sama ada kadar ERP perlu disemak lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.