Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar dapat terus hidup pesakit barah payudara Melayu 2 kali ganda lebih rendah berbanding kaum lain

12 tahun lalu merupakan detik-detik paling sukar yang dialami deejay radio WARNA 94.2FM, Suriani Kassim atau lebih dikenali oleh para pendengar radio sebagai 'Sue Kassim'.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: 12 tahun lalu merupakan detik-detik paling sukar yang dialami deejay radio WARNA 94.2FM, Suriani Kassim atau lebih dikenali oleh para pendengar radio sebagai 'Sue Kassim'.

Tidak pernah terlintas dalam dirinya bahawa pada satu hari nanti beliau akan menghidap barah payudara.

Lebih memeritkan lagi, beliau disahkan menghidap barah payudara Tahap 3.

"Wanita sekarang ini tekanannya tinggi, dan saya rasa tekanan yang saya alami adalah punca yang menyebabkan badan saya sendiri ‘sabo’ diri saya sendiri maknanya menghasilkan hormon-hormon negatif, hormon-hormon yang merosakkan tubuh badan saya.

"Jadi, maknanya sistem ketahanan saya tak boleh melawan," kongsinya dengan pihak kami

Bagi Sue Kassim, beliau kini bebas daripada barah itu dan ingin meningkatkan kesedaran mengenai penyakit tersebut dalam kalangan wanita.

Ini lebihan lagi selepas kajian Daftar Barah Singapura mendapati kadar dapat terus hidup di kalangan para pesakit barah payudara Melayu, adalah hampir dua kali ganda lebih rendah berbanding kaum-kaum lain.

Bilangan pesakit Melayu yang maut akibat barah tersebut juga terus meningkat sekitar satu setengah kali ganda.

PESAKIT BARAH PAYUDARA MELAYU DI TAHAP 3 & 4 LEBIH TINGGI

Data rasmi menunjukkan pesakit Melayu lazimnya sudahpun mempunyai barah di tahap lanjutan ketika didiagnos.

Ini menunjukkan mereka gagal menjalani ujian mammogram lebih awal lagi.

Misalnya, kajian Daftar Barah Singapura bagi tahun 2013-2017 mendapati, pesakit barah payudara Melayu di Tahap 1 dan 2 adalah 48.1%, berbanding 57.1% bagi pesakit Cina.

Namun demikian, pesakit barah payudara Melayu yang dikesan berada di Tahap 3 dan 4 adalah 43.7% - jauh lebih tinggi berbanding pesakit Cina iaitu 26.5%.

BILANGAN MAUT MENINGKAT 1.5 KALI GANDA

Masyarakat Melayu juga mempunyai kadar penakatan akibat barah payudara adalah 1.8 kali ganda lebih rendah berbanding kaum-kaum lain.

Antara 1993-1997, kadar kematian pesakit Melayu bagi setiap 100,000 penduduk adalah 137 orang.

Namun antara tahun 2013-2017, jumlahnya meningkat kepada 339 kematian - suatu lonjakan 147%.

"Tanggapan yang tidak benar ialah kebanyakan orang sangka barah payudara adalah untuk barah orang tua, tapi kita tahu di Singapura 40% daripada pesakit adalah di bawah usia 50 tahun.

"Kedua, banyak orang sangka barah payu dara adalah ketulan yang sakit, kebanyakan 90% ketulan adalah tidak sakit. Ketiga, adalah orang ingat kalau ada barah mesti jalankan kemoterapi dan mesti banyak rawatan yang membebankan badan. Tapi ini tak benar juga kerana kalau barah payu dara dikesan pada Tahap 1, mereka tidak perlu menjalani kemoterapi," tekan Pakar Barah di Hospital Farrer Park, Dr Choo Bok Ai.

Lantaran itulah, Dr Choo menasihatkan wanita berusia 40 tahun ke atas agar menjalani ujian mammogram sekurang-kurangnya setahun sekali. dan wanita yang berusia 50 tahun ke atas untuk menjalani ujian tersebut dua tahun sekali.

"Di Singapura kita menggalakkan orang mengambil mammogram apabila umur 40 tahun ke atas tiap tiap tahun buat setahun sekali, lebih daripada 50 tahun buat dua tahun sekali kerana mammogram boleh mengesan bintik-bintik perubahan sebelum ia menjadi ketulan.

"Jadi, kalau bintik-bintik boleh dikesan awal ia berada di tahap kosong, kalau buat pembedahan kemungkinan boleh sembuh 95-100%," tekan beliau lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan