Kadar daftar kereta elektrik 2 kali lebih tinggi dari seluruh 2021
Seorang pemilik mengecas kenderaan elektriknya di tempat letak kereta (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)
SINGAPURA: Kereta elektrik membentuk 8.4 peratus daripada jumlah pendaftaran kereta baru dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Jumlah itu dua kali lebih tinggi berbanding kadarnya untuk keseluruhan tahun 2021, kata Menteri Pengangkutan S Iswaran pada Rabu (8 Jun).
Berbanding dengan keseluruhan 2020, 8.4 peratus itu menunjukkan lonjakan sebanyak 20 kali ganda.
Encik Iswaran memetik statistik tersebut bagi menggambarkan bagaimana usaha Singapura untuk memastikan semua kenderaan menggunakan tenaga yang lebih bersih menjelang 2040 sudah membuahkan hasil.
"Kami menjangkakan momentum ini akan semakin rancak," kata menteri itu sewaktu menyampaikan ucaptamanya di Minggu Ecosperity, sebuah sidang kemampanan yang dianjurkan secara tahunan oleh Temasek.
Ketika menangani keprihatinan yang diluahkan pemilik kereta elektrik, Encik Iswaran mengulangi sasaran yang sudahpun ditetapkan oleh Pemerintah untuk memperluaskan rangkaian mengecas kenderaan di Singapura.
Sasaran tersebut adalah melengkapi 2,000 tempat letak kenderaan di perumahan awam dengan pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang 2025 dan menyediakan rangkaian sebanyak 60,000 tempat mengecas menjelang 2030.
Encik Iswaran juga menarik perhatian rakan-rakan kongsi industri sudahpun melipatkan usaha untuk beralih kepada penggunaan EV.
Ini termasuk Surbana Jurong, yang sedang bekerjasama dengan SP Group untuk membina hab mengecas EV di ibu pejabat globalnya di Jurong Innovation District.
Apabila kerja-kerja pembinaan sudah siap kelak, hab itu boleh menempatkan 250 petak letak kenderaan untuk mengecas EV, lantas menjadikannya hab pengecasan terbesar di Asia Tenggara, kata Encik Iswaran.
Encik Iswaran turut menyentuh tentang usaha untuk mengurangkan pelepasan karbon bagi kenderaan berat di Singapura sebagai sebahagian daripada gesaan meluas untuk beralih kepada kenderaan yang lebih mesra alam.
Selain daripada sasaran untuk memperkenalkan 3,000 bas awam elektrik menjelang 2030, Encik Iswaran turut memberi contoh pemain industri, seperti syarikat-syarikat logistik, yang menggunakan insentif cukai untuk menukar kenderaannya kepada model yang menggunakan tenaga lebih bersih.
PENGANGKUTAN PERNERBANGAN, MARITIM LEBIH MESRA ALAM
Beralih kepada pengangkutan penerbangan dan maritim pula, Encik Iswaran menggariskan rancangan-rancangan Singapura untuk menjadi hab ketersambungan global yang mampan.
Selain memainkan peranan aktif dalam inisiatif seperti 'First Movers Coalition" serta menjalin perkongsian mengenai penerbangan mampan, Singapura sedang berusaha untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam kedua-dua sektor penerbangan dan maritim.
Encik Iswaran menarik perhatian tentang DigitalPORT@STM, oleh Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), iaitu sebuah portal sehenti untuk urus niaga pelabuhan.
Ia boleh bantu menyelaraskan pelepasan pelabuhan dan memanfaatkan penyampaian perkhidmatan marin untuk meningkatkan pretasi selain menjimatkan bahan api secara maksimum.
Sementara itu, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) sedang memanfaatkan keupayaan lanjutan pengurusan lalu lintas udara.
CAAS turut bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi penerbangan untuk meningkatkan operasi penerbangan,yang boleh membantu mengurangkan pembakaran bahan api dan pelepasan karbon pesawat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.