Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar belia SG lakukan kesalahan kekal rendah antara 2019-2023: Laporan MSF

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar belia SG lakukan kesalahan kekal rendah antara 2019-2023: Laporan MSF

(Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 08 Nov 2024 11:03AM Dikemas Kini : 08 Nov 2024 11:04AM
SINGAPURA: Kadar belia yang melakukan kesalahan di Singapura kekal rendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dedah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada Jumaat (8 Nov).

Dari 2019 hingga 2023, kadar kesalahan belia secara purata ialah 5.2 bagi setiap 1,000 belia, menurut kementerian itu dalam Laporan Trend Menyokong Pemulihan Belia yang dibentangkan buat julung-julung kalinya.

Laporan itu memberikan gambaran keseluruhan tentang kemajuan yang dicapai dalam trend utama pemulihan belia di Singapura, berlatarbelakangkan trend kesalahan belia dari 2019 hingga 2023, menurut MSF.

Pesalah belia merujuk kepada mereka yang berumur 10 hingga bawah 21 tahun.

TREND KESALAHAN BELIA

Kadar kesalahan belia pada 2023 ialah 4.9 bagi setiap 1,000 belia, berbanding kadar 4.6 pada 2022.

Kadar kesalahan belia Singapura "kekal rendah" berbanding negara-negara lain, menurut MSF.

"Laporan itu membandingkan kadar kesalahan belia Singapura dengan rakan sebaya mereka di Australia dan New Zealand, kerana negara-negara ini adalah perbandingan paling dekat dengan Singapura," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan media.

Tiga kesalahan utama mengikut bilangan pesalah belia ialah mencuri dalam kedai, menipu dan kesalahan-kesalahan berkaitan, dan kesalahan seksual.

Jumlah pesalah bagi ketiga-tiga jenayah itu meningkat pada 2023 berbanding tahun sebelumnya:
  • Mencuri dalam kedai: 360 hingga 509
  • Menipu dan kesalahan-kesalahan berkaitan: 377 hingga 422
  • Kesalahan seksual : 188 hingga 250

Jika dibandingkan dengan 2019 dan 2023, kesalahan dengan peningkatan terbesar dari segi bilangan pesalah ialah:
  • Menipu dan kesalahan berkaitan: 260 hingga 422
  • Kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer: 53 hingga 195
  • Kesalahan di bawah Akta Bahan Letupan dan Senjata Berbahaya: 92 hingga 133

Kadar tamat menjalani pelbagai program pemulihan di Singapura kekal tinggi sekitar 90 peratus pada 2023, kata MSF.

“Dalam kalangan belia yang telah menamatkan program pemulihan mereka dari 2019 hingga 2021, kurang 10 peratus melakukan kesalahan semula dalam tempoh dua tahun, yang dianggap rendah berbanding negara-negara lain,” tambah kementerian itu.

Menurut MSF, pesalah belia menjalani "tahun-tahun pembangunan mereka dan masih memerlukan bimbingan untuk menangani risiko dan keperluan mereka".

"Oleh itu, pemulihan adalah pertimbangan utama dalam sistem keadilan belia," tambah MSF.

SOKONGAN DIPERLUASKAN UNTUK PESALAH BELIA YANG LEBIH TUA

Buat masa ini, Mahkamah Belia hanya mendengar kes-kes melibatkan pesalah muda bawah 16 tahun.

"Mereka yang berumur 16 tahun dan ke atas yang melakukan kesalahan dibicarakan sebagai orang dewasa di Mahkamah Negara atau Mahkamah Masyarakat, melainkan mereka digugurkan daripada sistem keadilan jenayah," kata MSF.

Kajian telah menunjukkan bahawa pesalah belia yang lebih tua mungkin masih tidak mempunyai "kematangan kognitif penuh orang dewasa untuk memahami betapa serius kesalahan mereka", menurut kementerian itu.

Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA) telah dipinda untuk turut meliputi golongan remaja berumur 16 hingga bawah 18 tahun supaya kes-kes ini boleh dibicarakan di Mahkamah Belia. Ini adalah kumpulan umur dengan kemungkinan paling tinggi untuk melakukan kesalahan, dedah MSF dalam laporannya.

"Ini membolehkan pesalah belia yang lebih tua mendapat manfaat daripada pilihan pemulihan yang lebih luas untuk menangani keperluan mereka dan mengurangkan risiko melakukan kesalahan semula," kata kementerian itu.

Pindaan ini berkuat kuasa pada 1 Jan 2025.

Langkah itu berpotensi mengembangkan pemulihan kepada kira-kira 50 pesalah belia dalam kumpulan umur ini menjelang hujung 2025, untuk menyediakan "pemulihan yang sesuai dengan umur ... memenuhi risiko dan keperluan khusus mereka".

"Bagi mempersiapkan pengambilan belia yang lebih tua ini, MSF telah membuat penyesuaian pada infrastruktur untuk menampung belia yang lebih tua di MSF Youth Homes, merekrut dan meningkatkan kemahiran kakitangan kami, dan bekerjasama dengan institusi-institusi pendidikan untuk mengembangkan tawaran akademik dan kejuruan kepada mereka."

Tetapi belia yang lebih tua yang melakukan jenayah yang lebih serius seperti kesalahan seksual tertentu, pinjaman wang tidak berlesen dan pengedaran dadah mungkin menghadapi prosiding di mahkamah yang mempunyai bidang kuasa yang sesuai, seperti Mahkamah Negara.

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Eric Chua berkata: "Saya berbesar hati kerana kadar kesalahan remaja kita kekal rendah. Kami mahu belia kita menjauhi jenayah, membina sistem sokongan sosial yang positif, dan mempelajari kemahiran untuk mengurangkan risiko berlaku kesalahan semula.

"Keluarga belia kami, rakan kongsi masyarakat dan sukarelawan memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan ini, meluangkan masa dan usaha untuk membimbing belia ke arah yang betul. Kami berterima kasih kepada mereka semua atas komitmen mereka dalam membantu belia kami memulakan kehidupan baharu dan bekerja ke arah masa depan yang lebih cerah.”

MSF menyatakan bahawa ia akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi pemerintah, keluarga belia dan rakan kongsi masyarakat untuk memastikan keperluan pemulihan pesalah belia dipenuhi.

MSF juga bekerja rapat dengan Jawatankuasa Kebangsaan bagi Mencegah Kesalahan dan Kesalahan Semula untuk menyokong pesalah belia dan keluarga mereka.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan