Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kadar barah pangkal rahim di SG mendatar sepanjang sedekad lalu

Selepas merosot buat bertahun-tahun, kadar penyakit barah pangkal rahim di Singapura kini didapati mendatar. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas merosot buat bertahun-tahun, kadar penyakit barah pangkal rahim di Singapura kini didapati mendatar. 

Sempena Bulan Kesedaran Barah Pangkal Rahim, para doktor berharap dengan lebih ramai wanita yang kerap menjalani ujian kesihatan, jumlah penyakit tersebut akan merosot.

Malah menurut mereka lagi, kaum lelaki juga mempunyai peranan dalam usaha itu.

Barah pangkal rahim adalah barah ke-10 paling biasa dihidapi golongan wanita di Singapura.

Menurut SingHealth, setiap tahun lebih 200 wanita didiagnos dengan barah pangkal rahim. 

"Saya didiagnos pada hujung 2019 apabila saya menjalani ujian kesihatan. Mereka memberitahu saya terdapat beberapa isu dengan hasil ujian "Pap smear" saya," kata pesakit barah pangkal rahim, Lydia (bukan nama sebenar).

Jangkitan varian papilomavirus manusia (HPV) memainkan peranan sebagai punca sebahagian besar penyakit barah pangkal rahim. 

Oleh kerana wanita yang dijangkiti HPV biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala, 
para doktor menggesa kaum hawa agar kerap menjalani ujian kesihatan - iaitu setiap tiga tahun. 

Jika dapat dikesan dengan awal, jangkitan itu boleh dicegah daripada membawa kepada barah pangkal rahim. 

Namun ramai yang gagal untuk berbuat demikian. 

"Kami dapati kemerosotan itu sudah mendatar sejak 2010. Dan ia mungkin berkaitan dengan ketidakpatuhan pada pemeriksaan barah pangkal rahim dalam kalangan wanita di Singapura. 

"Kajian menunjukkan hanya 50% wanita rakyat Singapura menjalani saringan barah pangkal rahim terkini," kata Konsultan Divisyen Onkologi & Ginekologi, NCIS & NUH, Dr Lim Li Min.

Dr Lim berkata vaksin HPV boleh memberikan perlindungan sehingga 90 peratus.

Perlindungan itu juga perlu disediakan untuk kaum lelaki juga. 

"Lelaki yang sudah divaksin mempunyai kelebihan untuk mencegah daripada menyebarkan jangkitan HPV kepada pasangan mereka," kata Dr Lim.

Para doktor berkata sebilangan lelaki mungkin rasa teragak-agak untuk mendapatkan suntikan vaksin itu. 

Ini disebabkan oleh salah tanggapan jangkitan HPV hanya menjejas wanita. 

Bagi "Lydia", beliau berharap usaha meningkatkan tahap kesedaran tentang HPV akan ditingkatkan.

Pada 2019, satu program vaksin HPV diperkenalkan bagi semua pelajar perempuan di peringkat Menengah Satu.

Sejak itu, lebih 90 peratus daripada kohort pelajar setiap tahun disuntik vaksin HPV. 

Program vaksinasi bagi lelaki pula dijangka tidak berkesan dari segi kos kerana kadar jangkitan yang rendah. 

Sungguhpun demikian, MOH sedang memantau trend jangkitan HPV.

Ia akan menyemak dasar-dasarnya apabila ada bukti baru. 

Sumber : CNA/AI/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan