Skip to main content

Singapura

Kad nama digital kian popular dalam usaha kurangkan kos, jejak karbon

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak syarikat sedang memberi kakitangannya pilihan untuk menggunakan kad nama digital berbanding kad tradisional yang dicetak, dalam usaha untuk menjimatkan kos dan mengurangkan jejak karbon mereka.

Sebilangan syarikat juga sudah berhenti menggunakan kad perniagaan yang dicetak sepenuhnya dan beralih kepada kad digital.

PropNex, syarikat hartanah terbesar di Singapura, mengumumkan pada konvensyen tahunannya pada Mac bahawa ia akan berhenti mencetak lebih lima juta kad nama setiap tahun.

Buat masa ini, ia menggajikan lebih 11,000 ejen hartanah yang kini mempunyai kod QR unik pada tag ID Majlis Agensi Hartanah (CEA) yang wajib dipamerkan para ejen ketika bertugas.

Pelanggan boleh mengimbas kod QR tersebut untuk mendapatkan kad nama digital ejen yang menyediakan butiran seperti gambar, nombor telefon dan alamat emel mereka.

Setiap tahun, ejen hartanah mengedarkan hampir 500 kad nama, kata ketua pegawai eksekutif (CEO) PropNex Ismail Gafoor.

Bagi sektor awam pula, lebih 90 agensi pemerintah - termasuk Kementerian Pendidikan (MOE), Agensi Lembaga Pembangunan dan Perumahan (MOE) Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) - sedang menggunakan kad perniagaan digital melalui aplikasi Workpal Mobile.

Kad perniagaan digital itu dihasilkan oleh GovTech dan disediakan kepada pegawai awam tanpa sebarang kos.


SATU LANGKAH DALAM PERJALANAN KEMAMPANAN "LEBIH LUAS"

Dengan menghapuskan penghasilan, pengedaran dan pembuangan nama kad fizikal, syarikat-syarikat boleh mengurangkan penggunaan kertas, tenaga dan penjanaan sisa dengan lebih banyak lagi, kata pengarah eksekutif Majlis Sekitaran Singapura (SEC), Jen Teo.

Antara langkah lain yang boleh diambil syarikat untuk mengurangkan lagi jejak karbon mereka adalah dengan menggunakan teknologi jimat tenaga, melaksanakan sistem pengurusan sisa yang berkesan seperti program kitar semula dan pengkomposan, serta menggalakkan penggunaan produk yang boleh diguna semula dalam kalangan para pekerja, kata Cik Teo.


Walau bagaimanapun, dua syarikat percetakan menyatakan mereka menerima lebih banyak pesanan buat kad perniagaan fizikal sejak kebelakangan ini. Salah satu syarikat malah menerima lebih banyak pesanan berbanding tempoh sebelum pandemik COVID-19 pada awal 2020.

Jurucakap Gogoprint berkata pesanannya merosot 75 peratus pada Mac 2020. Jumlah itu naik semula tahun lalu selepas sempadan dibuka semula dan kini berada pada paras 30 peratus berbanding paras sebelum COVID, tambahnya.

Cik Fatin Aris, penyelaras penjualan Print Market, berkata permintaan bagi kad yang dicetak melonjak sejak pandemik "berakhir". Syarikat percetakan itu sebahagian besarnya menerima pesanan bagi pelekat semasa tempoh pandemik disebabkan jumlah perniagaan dari rumah yang meningkat.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita