Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kad Hari Raya pengganti diri dari banduan di penjara kepada keluarga

Rasa rindu yang dipendam 31 keluarga terubat apabila mereka menerima kad ucapan Hari Raya daripada anggota keluarga yang dipenjarakan. Usaha itu adalah sebahagian daripada projek tahunan 'Pelita Hati' anjuran Dana Pendidikan Harun Ghani demi merapatkan semula hubungan keluarga.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rasa rindu yang dipendam 31 keluarga terubat apabila mereka menerima kad ucapan Hari Raya daripada anggota keluarga yang dipenjarakan.

Usaha itu adalah sebahagian daripada projek tahunan 'Pelita Hati' anjuran Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) demi merapatkan semula hubungan keluarga yang terpisah untuk sekian lama.

Antara anggota keluarga yang terlibat dalam projek itu ialah "Mona" dan "Tina", yang tidak begitu mengenali ibu mereka yang sudah lama meringkuk dalam penjara.

Ibu mereka bakal dibebaskan selepas 12 tahun menjalani hukuman.

Pada Sabtu (8 Mei), mereka menerima sekeping kad Hari Raya yang dikirimkan ibu mereka. Kad itu disampaikan menerusi Menteri Negara Ehwal dalam Negeri, Dr Faishal Ibrahim.

"Apabila saya berbuka puasa dengan banduan-banduan mereka mempunyai harapan untuk memperbaiki kehidupan mereka," kata Dr Faishal.

Bagi membantu golongan itu Dr Faishal berkata bahawa pihaknya akan mengukuhkan ekosistem dalam kalangan badan-badan masyarakat yang memainkan peranan dalam pemulihan dan proses integrasi.

Menerusi projek Pelita Hati pula diharapkan kad dan surat yang dikirimkan dapat menjadi penghubung untuk mengeratkan semula ikatan tahanan dengan keluarga mereka.

"Harapan kami semoga dia akan berubah dan dia akan insaf, InsyaAllah, demi untuk anak-anak dia," kata Nek Yah mengenai anaknya yang juga ibu kepada "Mona" dan "Tina".

Hakikatnya memang pertemuan antara anak dengan ibu atau bapa yang sudah lama dipenjarakan tidak semestinya menggembirakan.

Demikian dibayangkan Setiausaha Kehormat HGEF, Haslinda Putri Harun selepas 15 tahun badan itu berjumpa dan bercakap dengan anak-anak bekas penagih dadah ini.

"Kami dapati tidak semua anak-anak yang berasa gembira apabila diberitahu bahawa ibu bapa mereka akan keluar dari penjara," kata Cik Haslinda Putri.

"Di sini, HGEF ingin jadi pemangkin atau Pelita Hati untuk memujuk anak-anak ini supaya cuba untuk memaafkan ibu bapa mereka."

Selain kad dan surat, keluarga-keluarga tersebut menerima habuan seperti kuih-muih dan baucar daripada penaja berjumlah S$400 kesemuanya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan