Skip to main content

Singapura

K Shanmugam selar komen Naib Presiden Persatuan Guaman terhadap kes rogol

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam membidas Naib Presiden Persatuan Guaman Singapura atas komennya mengenai kes bekas pelakon yang disabitkan dengan kesalahan merogol.

Anggaran Waktu Membaca:
K Shanmugam selar komen Naib Presiden Persatuan Guaman terhadap kes rogol

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam (kiri), mengkritik kenyataan Naib Presiden Persatuan Guaman Singapura, Chia Boon Teck, berkenaan kes rogol. (Gambar: Parlimen Singapura, laman web Persatuan Guaman Singapura)

Diterbitkan : 24 Mar 2025 05:39PM Dikemas Kini : 24 Mar 2025 05:53PM
  • Encik Shanmugam berkata dalam catatan Facebooknya pada Isnin (24 Mac) bahawa beliau "terkejut" dengan komen Chia Boon Teck, dalam catatannya di LinkedIn pada hujung minggu.
  • Encik Shanmugam menegaskan bahawa Encik Chia menggambarkan seolah-olah mangsa dalam kes Panfilov "tidak boleh dipercayai" walaupun Mahkamah Tinggi mendapati mangsa adalah "seorang saksi yang sangat meyakinkan".
  • Kata-kata Encik Chia telah mengundang kemarahan Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE) dan masyarakat undang-undang, dengan sesetengah orang menyamakan komennya dengan tindakan memalukan mangsa.
  • Encik Chia sejak itu telah menurunkan catatannya dan memberitahu Mediacorp bahawa ia bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai kepada kesedaran mengenai situasi tersebut dan bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam membidas Naib Presiden Persatuan Guaman Singapura atas komennya mengenai kes bekas pelakon yang disabitkan dengan kesalahan merogol.

Encik Shanmugam berkata dalam catatan Facebooknya pada Isnin (24 Mac) bahawa beliau "terkejut" dengan komen Chia Boon Teck, dalam catatannya di LinkedIn pada hujung minggu.

Encik Chia, yang merupakan pengarah urusan bersama firma guaman Chia Wong Chambers, mengulas mengenai kes berprofil tinggi melibatkan bekas pelakon Wah!Banana Lev Panfilov, yang disabitkan pada Jumaat lalu oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan merogol, serangan seksual dan mencabul kehormatan, semuanya melibatkan mangsa wanita yang sama.

Dalam catatannya, Encik Chia solah-olah mempersoalkan tindakan mangsa semasa kesalahan itu dilakukan.

Dalam catatan Facebooknya, Encik Shanmugam menegaskan bahawa Encik Chia menggambarkan seolah-olah mangsa dalam kes Panfilov "tidak boleh dipercayai" walaupun Mahkamah Tinggi mendapati mangsa adalah "seorang saksi yang sangat meyakinkan", yang keterangannya "konsisten secara dalaman dan luaran".

Sekalipun Encik Shanmugam sedia maklum bahawa Encik Chia telah "menyatakan pandangan peribadinya", beliau juga menarik perhatian kepada kedudukan Encik Chia dalam Persatuan Guaman.

Encik Shanmugam berkata: "Keprihatinan saya ialah sesetengah orang mungkin berfikir bahawa pandangan yang dinyatakannya menunjukkan norma di Singapura. Dan saya bimbang apakah kesan kenyataannya terhadap mangsa lain."

Encik Shanmugam kemudian mengemukakan pandangannya sendiri dan juga apa yang telah dilakukan oleh kedua-dua kementeriannya untuk membantu mangsa serangan seksual, termasuk bagaimana peruntukan dalam Akta Bukti - yang membenarkan peguam bela menyoal seorang mangsa rogol dalam usaha untuk menunjukkan bahawa mangsa secara amnya tidak bermoral - telah dimansuhkan pada 2012.

Pada 2020, imuniti perkahwinan bagi kesalahan rogol telah dimansuhkan, memastikan seorang suami tidak boleh mengadakan hubungan seks dengan isterinya tanpa persetujuannya.

Dua tahun kemudian, hukuman bagi kesalahan seksual, termasuk mencabul kehormatan, telah dipertingkatkan.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami telah bergerak agak bertentangan dengan pandangan peribadi yang telah disuarakan oleh Encik Chia, tidak kira apa pun jawatan yang beliau pegang dalam institusi tersebut," kata Encik Shanmugam, selepas menyenaraikan beberapa perubahan dan pindaan terhadap undang-undang selama ini.

"Saya berharap kita akan terus menjadi sebuah masyarakat yang menyediakan rangka kerja yang sesuai untuk melindungi wanita dalam kes serangan seksual. Terlalu kerap mangsa berdiam diri. Kita perlu membantu mereka tampil dan melaporkannya."

Beliau menambah bahawa peguam, terutamanya mereka yang memegang jawatan kanan, perlu berhati-hati apabila membuat kenyataan yang "menjatuhkan maruah atau mengabaikan keprihatinan mangsa", kerana ia boleh memberi "impak yang tidak seimbang kepada orang lain" yang mungkin tidak bersedia untuk melaporkan apa yang berlaku pada mereka.

Walaupun ini tidak bermakna bahawa setiap dakwaan seorang wanita terhadap seorang lelaki harus diambil begitu sahaja, peguam perlu mematuhi batasan dan peraturan mahkamah, tambah Encik Shanmugam.

"Memalukan dan menyalahkan mangsa melampaui batas. Dan tiada tempat dalam masyarakat kita bagi perbuatan sedemikian," kata Encik Shanmugam.

Kata-kata Encik Chia telah mengundang kemarahan Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (AWARE) dan masyarakat undang-undang, dengan sesetengah orang menyamakan komennya dengan tindakan memalukan mangsa. Yang lain meminta beliau memohon maaf dan mengundurkan diri daripada jawatan dalam Persatuan Guman yang dipegangnya.

Encik Chia sejak itu telah menurunkan catatannya dan memberitahu Mediacorp bahawa ia bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai kepada kesedaran mengenai situasi tersebut dan bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita