Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

K Shanmugam, Dr Tan Cheng Bock tikam lidah tentang isu PSP 'separuh hati' dan 'kejujuran'

Ketua pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Nee Soon, K Shanmugam hari ini mempersoalkan sama ada ketua Parti Kemajuan Singapura (PSP) Dr Tan Cheng Bock "menghargai kejujuran dalam calon-calon beliau".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ketua pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Nee Soon, K Shanmugam hari ini mempersoalkan sama ada ketua Parti Kemajuan Singapura (PSP) Dr Tan Cheng Bock "menghargai kejujuran dalam calon-calon beliau".

Menteri Undang-undang itu mengajukan soalan tersebut kepada Dr Tan dalam satu catatan Facebook hari ini (2 Jul) setelah menuduh calon PSP bagi GRC Nee Soon, Brad Bowyer, sebagai "tidak jujur" kerana menganggap sebagai "khabar angin" bahawa PSP ada menawarkan untuk menukar ganti GRC Nee Soon dengan kawasan undi lain.

Encik Shanmugam dalam tulisan Facebook semalam (1 Jul) menukil Pengerusi Parti Reform Kenneth Jeyaretnam sebagai menyatakan bahawa PSP menawarkan Nee Soon kepada RP. Encik Jeyaretnam juga menulis tentang perkara itu di Facebook, kata Encik Shanmugam lagi.

Apabila diminta Encik Shanmugam supaya bersikap jujur, Encik Bowyer menerusi catatan Facebook (1 Jul) sekali lagi mengeluarkan kenyataan dan menyebut bahawa beliau "tidak terlibat dalam perundingan peringkat tinggi partinya tetapi bekerja keras di GRC Nee Soon sepanjang dua bulan lalu".

Kenyataan tersebut disifatkan Encik Shanmugam sebagai "cuba berselindung".

"Dan ini mesej saya kepada Dr Tan (Cheng Bock): Saya rasa para pengundi (GRC) Nee Soon dan para pengundi di Singapura perlu tahu, mengapa calon ini (Brad Bowyer) yang anda pilih sendiri menyatakan sesuatu yang sangat jelas tidak benar?" tulis Encik Shanmugam.

"Jika tiada jawapan diberikan, itu besar pengertiannya. Ia juga memberitahu rakyat Singapura sama ada Dr Tan menghargai kejujuran dalam calon-calon beliau."

DR FAISHAL: KITA PERLUKAN PASUKAN YANG BERTANGGUNGJAWAB, JUJUR

Semalam, beliau yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, turut menyifatkan PSP sebagai "sangat separuh hati" dan mempersoalkan iltizam parti pembangkang itu untuk bertanding di GRC Nee Soon.

Ini setelah Dr Tan pada 21 Jun menyatakan mungkin bertanding di GRC Nee Soon, tetapi pada 23 Jun tidak menyebut Nee Soon sebagai satu daripada kawasan undi yang akan ditandinginya dan mahu menumpukan kepada kawasan barat.

Semasa ditemui BERITAmediacorp hari ini, salah seorang anggota PAP bagi GRC Nee Soon, Dr Faishal Ibrahim turut menyentuh tentang soal "kejujuran" dalam pilihan raya.

"Kita harus bertanya dengan diri kita pasukan bagaimanakah yang kita perlukan untuk menempuhi krisis COVID-19 ini bersama-sama dengan penduduk-penduduk di Nee Soon dan warga kita.

"Pada pendapat saya, kita memerlukan pasukan yang bertanggungjawab, yang jujur, berkesan dan yang paling penting, mementingkan kehidupan masyarakat Singapura - termasuk masyarakat Melayu di Singapura," kata beliau.

DR TAN CHENG BOCK: "TIDAK PERNAH" MAHU LEPASKAN GRC NEE SOON

Semasa ditemui pihak media hari ini (2 Jul), Dr Tan mempertahankan pendirian partinya dengan berkata PSP "tidak pernah" mahu melepaskan GRC Nee Soon. Setelah memutuskan mahu bertanding di Nee Soon kata beliau, ia "tidak boleh dirundingkan lagi" kata Dr Tan.

"Sudah tentu akan sentiasa ada banyak khabar angin. Itu bagus. Biarkan mereka semua fikirkan tentang apa yang kami akan lakukan. Mungkin itu politik, anda perlu faham.

"Jadi saya tidak mahu bertekak dengan beliau tentang ini. Ia perkara sangat kecil," kata Dr Tan.

Ketua PSP yang bertanding di GRC West Coast itu juga menyifatkan komen-komen Encik Shanmugam itu sebagai percubaan mahu mengganggu partinya.

"Encik Shanmugam seorang yang bijak. Beliau cuba merosakkan rancangan kita. Saya tidak akan membiarkan beliau melakukannya. Ini politik. Beliau boleh... katakan semua ini tentang orang-orang saya, biarkan beliau, tidak apa. Saya beritahu orang-orang saya supaya pergi ke sana dan buktikan diri anda," ujar Dr Tan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan