Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Juruwang bank OCBC dipenjara; curi S$10,000 untuk biayai tabiat judi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Untuk membiayai tabiat judinya, seorang juruwang OCBC mencuri hampir S$10,000 daripada beg berisi wang tunai di tempat kerjanya dalam tempoh dua bulan.

Zechariah Wong An Yi, 26 tahun, dipenjara sekurang-kurangnya setengah tahun pada Isnin (25 Apr) selepas mengaku bersalah melakukan jenayah pecah amanah. Empat lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah mendapati Wong diberikan beg berisi wang tunai pada permulaan setiap syif. Wang di dalam beg tersebut harus disalurkan kepada juruwangnya.

Antara 1 Oktober dengan 28 November 2019, Wong mencuri wang daripada beg wang tunai berkenaan beberapa kali. Dia kemudian akan menggunakan wang yang dicuri untuk berjudi dan akan menggantikan wang itu kembali jika pemeriksaan beg wang tunai dilakukan.

Wong mendapatkan wang ganti dengan mengeluarkan wang tunai daripada akaun perbankan bapa dan rakannya. Ini termasuk memberikan tandatangan palsu di borang pengeluaran wang.

Untuk berbuat demikian, Wong mengakses sistem pengesahan tandatangan OCBC sebanyak 15 kali untuk meneliti contoh tandatangan mereka.

Wong menghantarkan borang pengeluaran wang yang tertera tandatangan palsu itu sebanyak empat kali pada bulan November 2019 dan mengeluarkan jumlah keseluruhan S$7,300 daripada akaun perbankan bapanya dan S$2,189 daripada akaun perbankan rakannya.

Wong juga menyalurkan wang S$500 ke dalam akaun rakannya menggunakan wang yang dicuri daripada beg wang tunai itu.

Mahkamah mendapati bahawa bapa dan rakan Wong menyangka dia akan memulangkan wang yang sudah dikeluarkan daripada akaun mereka.

Hakim menjatuhkan hukuman 26 minggu penjara kepada Wong.

Hukuman bagi jenayah pecah amanah oleh pekerja ialah penjara sehingga 15 tahun dan denda.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan