Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Juruterbang SIA didakwa tidak isytihar jumlah sebenar cukai peribadi selama 6 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Juruterbang SIA didakwa tidak isytihar jumlah sebenar cukai peribadi selama 6 tahun

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

SINGAPURA: Seorang juruterbang Singapore Airlines (SIA) didakwa di mahkamah pada Jumaat (30 Sep) atas pelbagai kesalahan cukai, termasuk tidak mengisytiharkan jumlah sebenar cukai pendapatan peribadinya selama enam tahun dan menghantar dokumen palsu apabila diminta butiran mengenai hartanah sewanya.

Disebabkan kesalahan-kesalahan tidak mengisytiharkan jumlah sebenar cukai pendapatan peribadinya antara 2014 dengan 2019, lebih S$59,000 cukai tidak dikenakan ke atasnya, menurut dokumen-dokumen mahkamah.

Andrew Soo Cheng Ai, 50 tahun, seorang warga Singapura didakwa atas 13 pertuduhan. Peguamnya berjaya mendapat izin untuk membenarkan dia meninggalkan Singapura untuk bekerja kerana dia harus melakukan penerbangan ke beberapa negara bagi pesawat SIA.

Menurut kertas-kertas pertuduhan, kesalahan pertama Soo berlaku pada Ogos 2013, di mana dia gagal memberitahu Pengawal Cukai Pendapatan mengenai pendapatan sebanyak S$56,866 yang tidak dinyatakan dalam notis taksiran bagi tahun taksiran 2013.

Ini menyebabkan kekurangan S$9,188.02 dalam cukai yang dikenakan. Dalam enam tahun berikutnya, Soo didakwa menipu tentang cukai pendapatan peribadinya. Pada 2014, dia menyatakan cukai ke atas pendapatanya adalah sekitar S$146,900 sedangkan ia adalah kira-kira S$236,600. Ini menyebabkan cukai yang dikenakan ke atasnya kurang kira-kira S$15,400.

Setahun kemudian, dia menyatakan cukai ke atas pendapatannya adalah kira-kira S$13,700 sedangkan ia sekitar S$91,900, sekali gus menyebabkan cukai yang dikenakan ke atasnya kekurangan kira-kira S$3,700, menurut dokumen mahkamah. Ini berterusan setiap tahun sehingga 2019, di mana dia didakwa menyatakan cukai ke atas pendapatannya adalah kira-kira S$173,200 dan bukan S$226,900. Ini menyebabkan cukai yang dikenakan ke atasnya kurang sekitar S$9,900.

Selain itu, Soo didakwa menyerahkan beberapa invois dan dokumen palsu dengan niat mengelak cukai pada Jun 2018, berhubung hartanah sewanya di Balestier Road dan Kim Yam Road.

Apabila diminta maklumat tentang hartanah sewanya, Soo dipercayai memberikan jawapan palsu dalam kiriman e-mel. Jika jawapan yang diberinya diterima sebagai benar, mungkin terdapat penyataan kurang benar tentang pendapatan Soo, iaitu sekitar S$229,307 dalam notis taksiran yang disemak Soo bagi tahun taksiran 2013 hingga 2018, yang menyebabkan cukai yang dikenakan ke atasnya kurang sebanyak S$35,300.

Pada Jumaat (30 Sep), peguam bela Soo berkata bahawa dia berdepan keadaan yang unik kerana dia seorang juruterbang dan memerlukan pasportnya untuk bekerja.

Beliau berkata siasatan terhadap Soo bermula pada 2017 dan Soo bekerjasama dalam siasatan sejak tahun itu. Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) menyerbu premisnya pada 2019, "bermakna dia boleh melarikan diri pada masa itu jika dia mahu, tetapi dia tidak melakukannya", kata peguam itu.

Pendakwa raya mengesahkan bahawa Soo memberi kerjasama semasa siasatan dan juga memberikan jadual perjalanannya apabila diminta. Pegawai penyiasat juga sentiasa dapat menghubunginya, katanya.

Bagaimanapun, pendakwa raya berkata ini adalah kesalahan yang agak serius, sambil menambah Soo memiliki tiga hartanah di Singapura tetapi ibu bapa dan abangnya tinggal di luar negara. Soo juga mempunyai pelbagai hartanah di luar negara, menyumbang kepada risiko dia melarikan diri, katanya.
 
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan