Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jurutera Shell, Fadhiilah Abdul Wahab antara 15 jurutera marin wanita di dunia

Anggaran Waktu Membaca:
Jurutera Shell, Fadhiilah Abdul Wahab antara 15 jurutera marin wanita di dunia

Gambar: Fadhiilah Abdul Wahab

Diterbitkan : 15 Mar 2022 10:41PM Dikemas Kini : 17 Mar 2022 03:25PM

SINGAPURA: Seorang wanita yang bertugas di dalam industri di mana sebahagian besar pekerjanya adalah daripada kaum lelaki mungkin bukan lagi sesuatu yang luar biasa sekarang.

Namun, bagaimana pula jika anda adalah satu-satunya wanita dalam kalangan ramai pekerja lelaki, adakah anda akan menggalas tugas tersebut?

Fadhiilah Abdul Wahab sudah terbiasa sebagai satu-satunya wanita di atas kapal dan di situlah dia bekerja dan menginap.

Wanita yang berusia 25 tahun itu adalah seorang jurutera bersama syarikat tenaga antarabangsa Shell.

Gambar: Fadhiilah Abdul Wahab

Sepanjang kerjayanyanya selama empat tahun, dia sudah menaiki tujuh kapal berbeza yang belayar ke seluruh dunia, dari Afrika ke Australia, Kanada ke China, dan Jepun ke Sepanyol, menghabiskan empat bulan di atas kapal setiap kali. Lawatan terbarunya, di mana dia berada di laut selama enam bulan, merupakan tempoh yang paling lama.

Fadhiilah mula berminat dalam kerjaya maritim apabila menerima risalah Angkatan Tentera Laut Republik Singapura (RSN) selepas menamatkan Peperiksaan GCE O. Dia berpendapat kejuruteraan marin mungkin dapat membantunya dalam kerjaya tentera laut.

Dia mendapat tahu bahawa kedua-dua Politeknik Ngee Ann (NP) dan Politeknik Singapura (SP) menawarkan diploma dalam bidang itu.

Dia kemudian membuat keputusan untuk melanjutkan pelajarannya di SP setelah seorang rakan memberitahunya bahawa politeknik berkenaan akan menawarkan pengalaman belayar pada akhir kursus tiga tahun di politeknik tersebut."Saya semakin tertarik kerana ia sangat unik," katanya, sambil menambah bahawa program itu termasuk komponen praktikal yang diminatinya.

Ibu bapa Fadhiilah tidak menghalang niatnya itu apabila mendapat tahu bahawa anak mereka bercita-cita menjadi seorang jurutera marin. "Apabila saya memberitahu mereka bahawa saya berminat untuk menceburi bidang kejuruteraan marin, saya melihat wajah mereka untuk melihat tindak balas mereka. Mereka tidak ada masalah dengan pilihan itu,” kata Fadhiilah kepada CNA Lifestyle.

"Saya juga menekankan bahawa saya perlu belayar dan berjauhan dari keluarga selama enam bulan (semasa saya menjalani latihan tahun akhir), dan ibu saya berkata: 'Peluang dan pengembaraan seperti ini tidak datang bergolek. Anda patut merebut peluang itu.’”

Fadhillah menyertai Shell selepas menamatkan pengajiannya.

SEHARI SEBAGAI JURUTERA DI ATAS KAPAL

Buat masa ini, Fadhiilah adalah Jurutera Keempat di Shell. Dia menyelia pengendalian pelbagai jentera kapal.

Tugasnya bermula pada pukul 7.30 pagi setiap hari dan berakhir pada pukul 5.00 petang. Jika anda telah disenaraikan untuk bertugas pada sebelah malam, maka anda perlu menangani sebarang masalah yang mungkin timbul selepas waktu kerja.

“Pada hari bertugas kami (iaitu setiap tiga hari), kami bertanggungjawab ke atas seluruh bilik enjin, jadi kita mesti tahu di mana jentera, penggera, butang dan sebagainya. Kita perlu membiasakan diri dengan susun atur keseluruhan bilik enjin.”

Persekitaran kerja juga panas dan lasak - bilik enjin mempunyai suhu persekitaran sekitar 45 darjah Selsius. "Jika kita berada di Timur Tengah, suhu kadangkala boleh naik sehingga 50 darjah Selsiusu, sekalipun jika kita berada di China semasa musim sejuk, suhu di dalam bilik enjin mungkin sekitar 15 darjah Selsius."

Gambar: Fadhiilah Abdul Wahab

KELEBIHAN SEBAGAI SATU-SATUNYA WANITA

Buat masa ini hanya terdapat dua wanita rakyat Singapura yang bertugas sebagai jurutera marin, termasuk Fadhiilah, dan kedua-dua wanita itu tergolong dalam kumpulan kecil seramai 15 jurutera marin wanita di peringkat global.

Fadhiilah sudah semakin terbiasa menjadi satu-satunya wanita di atas kapal di mana dia bertugas.

"Saya sentiasa menjadi tumpuan kerana saya adalah satu-satunya wanita di atas kapal. Saya dapat merasakan perbezaannya apabila mereka bercakap dengan saya berbanding dengan rakan-rakan kerja lelaki yang lain. Mereka kelihatan lebih ceria berurusan dengan saya - saya rasa ia membantu menaikkan semangat semua orang," Fadhiilah sempat berseloroh.

“Saya sememangnya orang yang periang. Kadang-kadang anda juga boleh mendengar saya ketawa dari bilik lain dan saya rasa ia dapat membantu menyemarakkan suasana untuk semua orang yang bekerja dengan saya di atas kapal."

BUKAN SELALU MENYENANGKAN

Fadhiilah tentu sekali merindui ibu bapanya setiap hari dan dia cuba mengikuti perkembangan di Singapura, serta rakan-rakannya, melalui media sosialnya.

Bagaimanapun, pelayaran terbarunya terbukti mencabar. Daripada empat bulan yang biasa dilaluinya, Fadhiilah terpaksa menghabiskan enam bulan belayar disebabkan oleh pandemik. Keadaan juga lebih mencabar kerana anak kapal tidak dibenarkan turun kapal di pelabuhan yang disinggah.

“Apabila tiba bulan keempat belayar, saya diberitahu bahawa saya akan dapat turun di pelabuhan seterusnya. Tetapi beberapa hari sebelum sampai ke pelabuhan, saya diberitahu, ‘Maaf, tukar rancangan, kita tidak akan pergi ke pelabuhan ini lagi’, jadi saya terpaksa meneruskan pelayaran.

"Ini sudah berlaku selama beberapa kali dan walaupun saya terpaksa menerima keadaan ini disebabkan oleh pandemik, saya tidak dapat menahan kesedihan kerana saya sudah tidak sabar untuk pulang ke pangkuan keluarga setelah sekian lama berada di rantauan."

AYUH BELAYAR

Semasa membesar dulu, Fadhiilah tidak pernah membayangkan dirinya bertugas dalam industri perkapalan. Seperti kanak-kanak kecil yang lain, impiannya adalah untuk menjadi seorang penyampai berita, doktor atau peguam. Di sebalik cabaran yang dihadapinya sejak empat tahun lalu, dia masih bertekad untuk meneruskan kerjayanya di laut.

Kepada wanita muda yang mungkin berminat dalam kerjaya yang tidak konvensional, Fadhiilah menggalak mereka untuk menceburi kerjaya ini, seperti yang dilakukannya sekarang. Tetapi penting untuk mereka belajar menyesuaikan diri, bersikap bertanggungjawab dan berdisiplin, katanya dalam rencana https://cnalifestyle.channelnewsasia.com/women/female-marine-engineer-shell-fadhiilah-abdul-wahab-306656

“Jika anda sudah memutuskan untuk mengikuti laluan ini, anda kena ingatkan diri sendiri bahawa apa jua cabaran yang mungkin perlu dihadapai hanyalah buat sementara waktu saja."

Sumber : CNA/KF/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan