Skip to main content

Singapura

Jurutera meja bantuan IT dipenjara 9 bulan kerana curi peranti Apple dari sekolah

Seorang jurutera meja bantuan IT telah mencuri 49 peranti Apple dari sebuah sekolah lalu menjualnya semula dan meraih keuntungan sebanyak S$13,200.

Anggaran Waktu Membaca:
 Jurutera meja bantuan IT dipenjara 9 bulan kerana curi peranti Apple dari sekolah

Gambar fail komputer riba MacBook Air. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 10 Feb 2025 06:16PM Dikemas Kini : 10 Feb 2025 06:19PM
  • Seorang jurutera meja bantuan IT telah mencuri 49 peranti Apple dari sebuah sekolah lalu menjualnya semula dan meraih keuntungan sebanyak S$13,200.
  • Lim Poh Heng Andrew, 29 tahun dihukum penjara sembilan bulan dan didenda S$1,200 pada Isnin (10 Feb).
  • Sepanjang empat bulan sehingga Februari 2024, Lim telah menyeleweng 13 komputer riba MacBook Air dan 33 iPad.
  • Selepas perbuatannya terbongkar, Lim membayar kembali S$12,000 kepada pihak sekolah.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Seorang jurutera meja bantuan IT telah mencuri 49 peranti Apple dari sebuah sekolah lalu menjualnya semula dan meraih keuntungan sebanyak S$13,200.

Atas kesalahannya itu, Lim Poh Heng Andrew, 29 tahun dihukum penjara sembilan bulan dan didenda S$1,200 pada Isnin (10 Feb).

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan pecah amanah.

Mahkamah diberitahu bahawa Lim bekerja sebagai kakitangan meja bantuan IT di Sekolah Antarabangsa Stamford American sejak Jun 2023.

Tugasnya adalah untuk membantu kira-kira 3,250 pelajar dan 660 kakitangan di sekolah itu berkaitan isu-isu IT dan menguruskan inventori bagi peranti elektronik sekolah itu.

Sekolah itu menyimpan peranti yang boleh dipinjam oleh para pelajar dan kakitangan dalam pejabat IT.

Setiap peranti mempunyai nombor siri yang dipadankan pada pelajar atau kakitangan apabila mereka menyewa alat tersebut.

Sebagai sebahagi;an daripada tugasnya, Lim boleh memperuntukkan peranti kepada pelajar dan kakitangan menerusi prosedur yang memerlukan pengesahan dua faktor melalui telefon bimbitnya atau emel.

Pada November 2023, Lim memasuki sistem komputer sekolah itu lalu memperuntukkan sebuah komuter riba MacBook Air kepada dirinya.

Semua peranti tersebut menggunakan server 'Apple School Manager' supaya pihak sekolah dapat menyekat ciri-ciri yang boleh diakses pada peranti itu.

Lim justeru memprogram semula komputer riba itu dengan mengeluarkannya daripada server sekolah, dan mengembalikan akses sepenuhnya bagi komputer riba itu.

Selepas menggunakan komputer riba itu, Lim menjualnya di Carousell.

Sepanjang empat bulan sehingga Februari 2024, Lim telah menyeleweng 13 komputer riba MacBook Air dan 33 iPad.

Kesemua 46 peranti itu bernilai S$31,772 secara keseluruhan.

Lim akan mencuri beberapa peranti pada satu-satu masa supaya perbuatannya itu tidak dikesan dan dia juga mengambil sebarang alat pengecas dan kabel pengecas yang diketepikan bagi peranti tersebut.

Dia menjual 39 peranti yang dicuri itu pada harga S$600 hingga S$800 bagi komputer riba Macbook Air, dan S$100 hingga S$200 bagi iPad.

Pada Mac 2024, pengarah pengurusan operasi di sekolah itu mendapati seorang kakitangan telah mencuri beberapa komputer riba baharu.

Selepas itu, bagi mengurangkan risiko kecurian sedemikian daripada berulang, pihak sekolah menghadkan akses bagi sistem untuk memperuntukkan penyewaan peranti hanya kepada tiga individu dalam jabatan IT.

Lim merupakan salah seorang daripada tiga individu yang diberi akses.

Pada kira-kira April 2024, ketua jabatan IT mendapati beberapa peranti elektronik tidak diambil kira dan bertanya kepada Lim mengenai dua peranti tersebut.

Namun Lim mendakwa kedua-dua peranti itu telah dihapuskan.

Memandangkan prosedur operasi standard bagi penghapusan peranti tidak dipatuhi, ketua jabatan dan pengarah pengurusan IT melakukan siasatan lanjut.

Mereka mendapati 46 peranti tidak dapat dikesan kerana ia tidak disewakan kepada kakitangan atau pelajar, dan ia juga tidak boleh ditemui dalam pejabat IT sekolah.

Apabila mereka menyoal siasat Lim, dia mengaku melakukan kesalahan itu.

Polis menyerbu rumahnya dan merampas beberapa peranti dicuri yang belum dijual.

Secara keseluruhan, sekolah itu menanggung kerugian sebanyak S$25,622.

Lim pula meraih keuntungan sebanyak S$13,200 daripada hasil penjualan peranti yang dicuri.

Selepas perbuatannya terbongkar, Lim membayar kembali S$12,000 kepada pihak sekolah.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita