Skip to main content

Singapura

Jurutera maut jatuh 7 tingkat selepas siling palsu dipijaknya roboh, dedah Mahkamah Koroner

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang jurutera berusia 48 tahun sedang meneliti dengan lebih dekat bahagian siling palsu sebagai sebahagian daripada kerjanya apabila beliau terpijak sejenis bahan pelapis dinding - papan gipsum atau 'plasterboard' - setebal 1 sentimeter (cm), yang roboh dengan serta-merta.

Cik Carina Monton Isip maut selepas terjatuh 30 meter (m) atau tujuh tingkat, dengan beberapa keretakan pada tempurung kepala, tulang belakang, pinggul dan anggota badannya.

Siasatan koroner ke atas kematiannya dilancarkan pada Selasa (25 Apr), dengan para penyiasat polis dan pegawai Kementerian Tenaga Manusia (MOM) memberikan keterangan.

Mahkamah diberitahu bahawa Cik Isip adalah graduan
Sarjana Muda Sains dalam jurusan Seni Bina dan sudah bekerja dalam industri binaan selama 27 tahun, termasuk 16 tahun di Singapura.

Pada hari kejadian pada 8 April tahun lalu, beliau berada di bangunan CapitaSpring di kawasan pusat bandar, di mana beliau bekerja bagi kontraktor Dragages Singapore.

Dragages mengambil khidmat kontraktor untuk memasang sistem gondola untuk membersihkan tembok di bahagian dalaman bangunan itu.

Sebagai sebahagian daripada pemasangan itu, pekerja di tingkat 16M memindahkan penutup besi berlubang pada laluan jalan 'catwalk' untuk menyemak panel akses siling palsu di bawahnya.

Apabila mereka tiba di tingkat 16M, Cik Isip berjalan di hadapan pekerja itu pada bahagian 'catwalk'. Beliau berjalan melepasi laluan terbuka siling palsu itu kerana beliau tidak tahu di mana terletaknya bahagian berkenaan.

Cik Isip yang mempunyai berat badan 52 kilogram (kg) memijak jurang 'catwalk' itu dan pada siling palsu yang diperbuat daripada papan gipsum.

Panel tersebut roboh dan beliau terjatuh tujuh tingkat ke bawah, di tingkat sembilan.

Beliau disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di tempat kejadian. Beliau adalah mangsa ke-11 yang maut di tempat kerja pada 2022.

Menurut pegawai penyiasat MOM, penghuni bangunan itu, Ascott International Management menghadkan akses pasukan penyenggaraan ke tingkat 16M.

Hanya kontraktor yang mendapat kelulusan dan sudah mendaftar dibenarkan masuk menggunakan kad akses dan kunci. Dragages dan pengendali gondola diberikan akses tersebut.

'Catwalk' tersebut didapati mempunyai pagar hadangan yang mencukupi dan dianggap "selamat" kerana ia adalah langkah pencegahan jatuh yang betul. Terdapat juga papan tanda untuk memberi amaran tentang bahaya jatuh di sepanjang 'catwalk' itu.

Dragages juga sudah menjalankan penilaian risiko dan taklimat harian dan satu-satunya peralatan perlindungan peribadi yang diperlukan hanyalah sarung kasut kerana 'catwalk' itu dianggap selamat untuk digunakan.

Cik Isip sendiri juga dilatih untuk bekerja dari tempat tinggi, jadi beliau "sedia maklum" akan risiko yang dihadapi, kata pegawai penyiasat.

Beliau berkata ada kemungkinan ia "tidak terlintas dalam fikirannya" bahawa permukaan itu adalah siling palsu. Beliau menambah, isu penat bekerja tidak mungkin menyumbang kepada kemalangan itu kerana Cik Isip tidak bekerja lembur seminggu sebelum kejadian itu berlaku.

Perbicaraan lanjut ditetapkan pada bulan Mei dan dapatannya akan dikemukakan selepas itu.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita