Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jurutera kanan SBS Transit didenda S$3,600; terima sogokan daripada pembekal untuk bayar bil

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang jurutera kanan SBS Transit meminta wang daripada pemilik khidmat pembekalan yang menyediakan khidmat kepada syarikat pengangkutan tersebut. Dia berbuat demikian untuk melunaskan hutangnya dan bil telefon bimbitnya.

Lau Yuen Fai, 61 tahun, didenda S$3,600 dan diarah membayar denda berjumlah S$1,350 bagi jenayahnya pada Khamis (19 Jan).

Lau mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah, iaitu menerima sogokan sebagai pertukaran untuk mendapatkan pembekal bagi pekerjaan. Pertuduhan ketiga diambil kira semasa menjatuhkan hukuman itu.

Mahkamah diberitahu bahawa Lau mengenali Poh Beng Chye, pemilik tunggal Clear Cut Engineering (CCE) yang membuat dan membekalkan alat ganti mesin dan menjalankan kerja-kerja penyenggaraan, semasa dia sedang bekerja di Sembawang Shipyard sebelum dia bertugas di SBS Transit.

Pada 2007 atau 2008, syarikat Poh, CCE, dilantik sebagai pembekal SBS Transit yang diluluskan atas saranan Lau, untuk menjalankan kerja-kerja pembuatan dan penyenggaraan serta membekalkan bahagian-bahagian pengangkutan kepada firma syarikat tersebut.

Pada 2016 atau 2017, Lau dinaikkan pangkat sebagai jurutera kanan di SBS Transit. Sebahagian daripada tugas Lau memerlukannya untuk mendapatkan bahagaian-bahagian mesin dan menghubungi pembekal. Dia juga ditugaskan untuk mendapatkan anggaran harga daripada para pembekal yang dihubunginya.

Pada Mei 2019, Lau bergelut dengan masalah kewangan lalu menghubungi Poh untuk mendapatkan bantuan, memandangkan dia yakin bahawa Poh tidak akan menolak permintaannya.

Lau meminta wang daripada Poh, meskipun dia mengetahui bahawa tindakannya itu salah dan tidak wajar. Dia mendapatkan pinjaman sebanyak S$800 daripada Poh untuk membayar bil telefon bimbitnya pada Mei 2019.

Pada Mei 2021, Lau meminta Poh membuat pinjaman sebanyak S$1,000 untuk melunaskan hutangnya dan Poh memberi wang tersebut secara tunai.

Secara keseluruhan, Lau mengambil wang berjumlah S$2,050 daripada Poh. Sebagai pertukaran, dia mendapatkan syarikat CCE untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut untuk SBS Transit sekurang-kurangnya 28 kali.

Poh mengaku bersalah pada November dan didenda S$2,000 atas peranannya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan