Jurutera kanan Penguasa Pasaran Tenaga ini tetap bertugas pada musim perayaan, pastikan sistem tenaga SG tidak terganggu

Jurutera Kanan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), Encik Muhammad Anuar Kamser. (Gambar: EMA)
SINGAPURA: Sedang masyarakat Singapura sibuk menyambut musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, pasukan di sebalik Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) bekerja keras 24 jam setiap hari untuk memastikan daya tahan sistem jana kuasa Singapura yang boleh dipercayai.
Ini termasuk memantau sistem jana kuasa pada masa nyata untuk menjangka sebarang isu berpotensi dan mengambil tindakan wajar, jika diperlukan. Ini lebih-lebih lagi dengan kegunaan elektrik yang lazimnya lebih tinggi sewaktu musim perayaan.
Antara kakitangannya termasuk Jurutera Kanan dari Jabatan Penyelia Sistem Gas, Encik Muhammad Anuar Kamser.

"Pusat Kawalan Sistem Kuasa (PSCC) merupakan nadi pusat untuk sistem kuasa Singapura. Pasukan yang beroperasi di PSCC mengendalikan sistem penjanaan dan penghantaran elektrik dan mengawasi operasi sistem penghantaran gas asli, Kerja kami berterusan untuk 24 jam, tujuh hari seminggu dan 365 hari setiap tahun termasuk musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Deepavali dan Krismas," kongsi Encik Anuar dalam satu jawapan bertulis kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Peranan saya sebagai jurutera kanan bersama Jabatan Penyelia Sistem Gas di EMA ialah untuk memastikan bekalan gas asli sentiasa ada. Ini penting memandangkan lebih 95 peratus bahan bakar yang digunakan untuk penjanaan kuasa datang daripada gas asli," tambahnya.
TERPAKSA KORBAN MASA BERSAMA KELUARGA PADA MUSIM PERAYAAN
Bagi tugasnya itu, Encik Anuar kadangkala terpaksa mengorbankan masa bersama keluarga, termasuk pada musim perayaan seperti Hari Raya.
"Ia lazimnya membawa beberapa kesan kerana peranan saya memerlukan saya untuk bekerja syif. Ini bermakna saya mungkin perlu bekerja pada hari cuti umum seperti Hari Raya, serta pada hujung minggu di mana kita 'jalan Raya' atau membuat lawatan rumah," dedah Encik Anuar.
"Ini memerlukan banyak pemahaman dan pengorbanan daripada keluarga saya sebab itu apabila saya tidak bekerja pada hujung minggu, saya akan memanfaatkannya sepenuhnya dengan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Jika berkesempatan, saya akan cuba pergi bercuti, biarpun pendek ataupun panjang kerana ia penting untuk membantu menyegarkan minda dan jiwa," tambahnya.

Mengekalkan keseimbangan yang berterusan antara bekalan dan permintaan elektrik dalam sistem tenaga adalah penting bagi mengelak sebarang gangguan kepada bekalan tenaga.
Lantaran itu, EMA telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menjadikan sistem tenaga Singapura boleh dipercayai termasuk Sistem Pengurusan Tenaga yang dilancarkan tahun lalu.
"Ia memantau dan mengawal penjanaan tenaga dan rangkaian penyaluran elektrik bagi sistem kuasa Singapura. Ia juga memantau rangkaian penyaluran gas asli. Sebarang keadaan yang tidak normal atau kerosakan peralatan dalam sistem kuasa dan gas akan dikesan serta-merta dan dihantar kembali ke pusat-pusat pengawalan untuk analisis dan pasukan EMA akan mengambil tindakan susulan yang diperlukan untuk menangani isu itu," ujar Encik Anuar.
KERJA BERMAKNA, MEMUASKAN MESKI TIDAK DAPAT PERHATIAN ORANG

Bahkan bagi Encik Anuar yang sudah bertugas sebagai Jurutera Kanan di EMA selama 17 tahun, kerja yang beliau dan pasukannya lakukan itu amat bermakna sekali lebih-lebih lagi pada musim perayaan seperti Hari Raya.
"Tenaga elektrik genting dalam hampir setiap aspek kehidupan harian kita. Ini sebabnya memastikan bekalan elektrik di Singapura stabil dan boleh dipercayai adalah keutamaan tinggi bagi kami. Untuk membantu memastikan bahawa rakyat Singapura tidak perlu bimbang sama ada lampu akan menyala apabila mereka menekan suis, khususnya sangat bermakna dan memuaskan bagi kami," ujar Encik Anuar.
"Ini memberi saya dan pasukan saya satu kepuasan dan hala tujuan kerana kami tahu meskipun orang ramai tidak dapat lihat apa yang kami lakukan, ia masih memberi mereka manfaat. Terdapat satu kepuasan apabila kami pulang ke rumah dengan pengetahuan bahawa bekalan elektrik itu terjamin di bawah pantauan kami. Seperti pengadil bola sepak, jika kami tidak tidak diperhatikan semasa perlawanan, ia bermakna kami sedang melakukan tugas yang baik," tambahnya.
TIDAK BOLEH AMBIL MUDAH BEKALAN TENAGA ELEKTRIK DI SG

Encik Anuar juga berkongsi beberapa tip untuk elakkan gangguan elektrik pada musim perayaan ini memandangkan permintaannya lebih tinggi daripada lazimnya.
Ini boleh disebabkan faktor seperti pemasangan lampu hiasan, persiapan bagi Lebaran dan sebagainya.
"Membebankan soket-soket elektrik secara berlebihan berbahaya kerana ia boleh menyebabkan pemanasan tinggi dan mencetuskan kebakaran. Jadi jangan 'menumpangkan' pelbagai plag dalam satu soket dengan menggunakan 'double adaptors' atau penyesuai berganda. Ia juga penting untuk tidak menggunakan soket-soket kuasa atau ruang soket sambungan yang retak atau rosak," pesan Encik Anuar.
Menurutnya lagi, soket-soket elektrik yang rosak juga perlu digantikan dengan segera dengan bantuan pekerja elektrik yang bertauliah untuk memastikan bekalan dan penggunaan elektrik yang selamat.
Lebih banyak tip tentang keselamatan tenaga elektrik boleh didapati di laman ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.