Jurutera IT yang enggan jalani ujian COVID-19, satu-satunya kes dalam masyarakat
Seorang jurutera IT di Deutsche Bank merupakan satu-satunya kes COVID-19 dalam masyarakat yang dilaporkan hari ini (12 Mac).
Gambar fail pejalan kaki di Singapura. (Gambar: Marcus Mark Ramos)
SINGAPURA: Seorang jurutera IT di Deutsche Bank merupakan satu-satunya kes COVID-19 dalam masyarakat yang dilaporkan hari ini (12 Mac). Beliau setakat ini tidak ada kaitan dengan mana-mana kes terdahulu.
Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) menerusi kenyataan medianya, memberikan perincian kes pada Jumaat.
Kes 60831 itu, merupakan seorang lelaki warga India, berusia 36 tahun.
Pemegang pas kerja itu tiba di Singapura pada 16 Januari dan dikenakan notis jangan keluar rumah (SHN) di sebuah kemudahan khusus sehingga 30 Januari. Beliau bekerja dari rumah sejak tiba di Singapura, kata MOH.
Keputusan ujian COVID-19 yang beliau jalani pada 29 Januari semasa SHN adalah negatif.
Pada 1 Mac, lelaki itu mengalami selesema dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik GP pada hari yang sama.
"Oleh kerana beliau enggan menjalani ujian swab COVID-19, beliau diberi cuti sakit lima hari dan dinasihatkan untuk kembali ke klinik untuk menjalani ujian jika masih belum pulih,"kata MOH.
Lelaki itu kemudian disahkan positif COVID-19 pada 11 Mac semasa menjalani ujian sebelum keberangkatan sebagai persiapan untuk pulang ke India.
Beliau dihantar ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) dengan menaiki ambulans.
Keputusan ujian serologinya juga positif, menandakan ia mungkin jangkitan lalu.
KES IMPORT
Sementara itu, Singapura juga melaporkan sembilan kes import.
Antaranya seorang pemegang pas pelajar yang tiba dari Indonesia dan dua pemegang pas lawatan jangka pendek dari Indonesia dan Kemboja.
Kedua-dua pemegang pas lawatan jangka pendek itu, seorang lelaki 32 tahun dan wanita 60 tahun sudah mendapatkan jagaan perubatan di sini dan kembali bagi rawatan susulan.
Empat lagi kes adalah pembantu rumah asing dari Indonesia dan Filipina manakala baki dua kes melibatkan pemegang pas kerja yang tiba dari Switzerland dan Indonesia.
Kesemuanya sudah dikenakan SHN sebaik tiba di Singapura.
Tiada kes dilaporkan di dormitori pekerja asing.
KEMAS KINI KES POSITIF COVID-19 TEMPATAN
Lagi 11 kes COVID-19 dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan-kemudahan pengasingan masyarakat.
Secara keseluruhan, sebanyak 59,950 pesakit sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan jagaan masyarakat.
Setakat ini, 21 pesakit masih dirawat di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau semakin pulih. Seorang pesakit dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).
Sebanyak 80 kes diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat. Mereka mengalami simptom ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih positif COVID-19.
Singapura melaporkan 60,080 kes COVID-19 sehingga hari ini dengan 29 kematian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.