Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jurutera IT bekas graduan NTU 'sapu' cecair pembasmi kuman, peralatan komputer

Seorang jurutera IT pada Selasa (8 Mac) mengaku mencuri peralatan komputer dan produk pembersihan bernilai lebih S$2,000 dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang jurutera IT pada Selasa (8 Mac) mengaku mencuri peralatan komputer dan produk pembersihan bernilai lebih S$2,000 dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Tung Chi Kit, 31 tahun, bekas graduan NTU, mengaku bersalah atas satu tuduhan mencuri pada Mac 2021. Lagi dua tuduhan mencuri turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Seorang hakim daerah meminta laporan penilaian kesesuaian perintah rawatan wajib bagi Tung, yang memberitahu mahkamah dia sedang mendapatkan rawatan psikiatri di sebuah klinik di Institut Kesihatan Mental (IMH). Dia akan kembali ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman pada April.

Perintah rawatan wajib mengarahkan pesalah yang mengalami keadaan psikiatri tertentu yang boleh dirawat untuk menjalani rawatan psikiatri.

Pada 29 Mac tahun lalu, Tung memandu ke sebuah bangunan di North Spine NTU lalu pergi ke sebuah bilik darjah di tingkat lima.

Pada sekitar pukul 11.30 malam, dia berdiri di atas meja lalu membuka skru tempat akses Internet tanpa wayar yang bernilai sekitar S$1,000 dari siling bilik darjah itu lalu memasukkannya ke dalam begnya.

Tung juga mengambil sebungkus tisu basah yang sudah dibuka berharga S$10 dari bilik darjah tersebut.

Ketika dia sedang berjalan keluar daripada bangunan itu, dia ternampak empat botol sanitiser tangan yang diletakkan di sebuah koridor. Dia mengambil kesemua botol itu, yang dianggarkan berharga sekitar S$8 setiap satu.

Dia kemudian memandu ke bangunan South Spine NTU lalu memasuki sebuah bilik darjah dan mencuri satu lagi tempat akses tanpa wayar.

Dia mencabut peralatan itu secara paksa sehingga menyebabkan kerosakan pada palang besi dan siling palsu yang dipasang pada peralatan itu, justeru menyebabkannya perlu dibaiki.

Dia juga mencuri satu lagi paket tisu basah yang sudah dibuka.

Barangan yang dicuri itu sudah diperoleh semula dari Tung kecuali botol-botol sanitiser tangan yang Tung sudah membuat pembayaran semula.

Tung juga mencuri tiga monitor komputer yang bernilai S$900 secara keseluruhannya dan dua tempat akses Internet tanpa wayar dari NTU masing-masing pada Disember 2019 dan Februari 2021. Kesemua peralatan itu sudah diambil semula daripadanya, menurut pihak pendakwa.

Pihak pendakwa mengusulkan hukuman penjara antara dua dengan empat minggu, sambil berkata bahawa Tung "seorang yang degil" dan pencurian itu memang sudah dirancang.

Pihak pendakwa juga menarik perhatian bahawa tisu basah dan sanitiser tangan yang dicuri Tung disediakan oleh pihak universiti bagi membasmi kuman semasa pandemik COVID-19.

Pihak pembela meminta laporan kesesuaian menjalani rawatan wajib, sambil berkata bahawa Tung menyesali atas tindakannya itu dan dia adalah pesalah muda kali pertama.

Atas kesalahan mencuri, Tung boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan