Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jurutera ini tinggalkan kerjaya gaji lumayan demi pandaikan murid Melayu dalam Matematik

Jurutera ini sanggup tinggalkan kerjaya, gaji lumayan demi semai minat Matematik dalam murid Melayu/Islam.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 2014, berbekalkan ijazah kepujian kelas pertama dalam jurusan kejuruteraan biomolekular dan kimia, Encik Irfan Musthapa bekerja sebagai jurutera di ExxonMobil.

Meskipun bergaji lumayan ketika itu, sekitar S$7,000 sebulan, Encik Irfan masih belum mendapat kepuasan peribadi, seakan ada kekosongan dalam hidupnya.
Hati beliau sebenarnya masih meluap-luap mahu membantu pelajar Melayu cemerlang dalam Matematik.

Ia merupakan sesuatu yang sudah beliau lakukan sebagai guru tuisyen sambilan semasa menuntut di NTU sehinggalah tamat pengajiannya.

"Bekerja sebagai seorang jurutera, saya tidak dapat berkongsi strategi, tip-tip dengan para pelajar dan kerana keinginan saya untuk berbuat demikian, saya membuat keputusan untuk menjadi guru tuisyen Matematik sepenuh masa," kata Encik Irfan.

PRESTASI PELAJAR MELAYU DALAM MATEMATIK JADI DORONGAN

Semangat altruistik Encik Irfan itu semakin kuat berakar dalam jiwanya setelah beliau melihat statistik yang menunjukkan betapa prestasi pelajar Melayu/Islam dalam Matematik misalnya jauh ketinggalan berbanding pelajar bangsa lain sejak 10 tahun lalu.

Bagi PSLE misalnya, peratusan pelajar Melayu yang lulus matematik berlegar di paras sekitar 60 peratus, sedangkan pelajar India terus maju dan kini melepasi paras 80 peratus.

Prestasi pelajar Cina pula mencecah paras 90 peratus.

(Gambar: Petikan dari video BERITAmediacorp)

(Gambar: Petikan dari video BERITAmediacorp)

Kini, pusat tuisyen "Master Maths Education Centre" yang ditubuhkannya empat tahun lalu mempunyai 190 murid, dan beliau memilih untuk menumpukan sepenuhnya kepada mata pelajaran Matematik sahaja.

"Kami memberi tumpuan pada bahagian-bahagian yang sangat mencabar dalam peperiksaan PSLE seperti Bahagian C. Kami berkongsi strategi untuk menjawab soalan-soalan yang mencabar ini," jelas Encik Irfan.

BUKA KELAS TUISYEN PERCUMA SECARA ONLINE

Apabila tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 atau "circuit-breaker" dikuat kuasakan tahun lalu, Encik Irfan melihat persiapan PSLE pelajarnya terganggu dan ada ibu bapa terjejas pendapatannya.

Disebabkan keprihatinan itu, beliau turut berkorban wang dan masa untuk membeli peralatan IT bagi membuka kelas tuisyen percuma bagi murid Darjah 6 sepanjang tahun lalu.

Irfan turut berkongsi, "Oleh kerana kami menyediakan kelas ini secara percuma, murid-murid yang menghadiri tuisyen melalui Zoom ini bertambah daripada 10 murid hingga sekarang 120 murid setiap minggu".

Untuk terus menyokong murid dan ibu bapa yang terjejas, beliau akan terus menawarkan kelas tuisyen secara percuma sehingga hujung tahun ini.

Hakikatnya, pengorbanan yang dilakukan Encik Irfan demi mendidik anak bangsa memang besar dan beliau tidak nafikan ada rasa bimbang di hati semasa memilih haluan tersebut.

"Mula-mulanya saya berasa gerun juga kerana gaji saya semasa menjadi jurutera amat lumayan tapi saya memberi perangsang kepada diri saya sendiri bahawa keputusan ini akan meninggalkan kesan besar buat masyarakat kita," ujar Encik Irfan.

Yang pasti, semangat juang dari masyarakat untuk masyarakat ini sudahpun mula menunjukkan hasil.

Menurut Encik Irfan, 85 peratus muridnya berjaya lulus matematik setelah mendapat asuhan beliau.

Encik Irfan juga berkongsi tip dan panduan tentang bagaimana murid boleh mempersiapkan diri masing-masing bagi peperiksaan PSLE dalam episod sulung podcast BERITA.

Anda boleh mendengar rakaman audio siar itu di pautan ini

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan