Skip to main content

Singapura

Jururawat yang hilang pekerjaan selepas alami reaksi teruk terhadap vaksin COVID-19 boleh mohon bekerja semula setelah 'sembuh': SGH

Hospital Besar Singapura (SGH) menyatakan pada Isnin (16 Jan) bahawa bekas jururawat yang hilang pekerjaannya selepas mengalami tindak balas teruk terhadap vaksin COVID-19 dialu-alukan untuk memohon bekerja semula dengan  hospital itu "apabila beliau sudah sembuh".

Anggaran Waktu Membaca:
Jururawat yang hilang pekerjaan selepas alami reaksi teruk terhadap vaksin COVID-19 boleh mohon bekerja semula setelah 'sembuh': SGH

Papan tanda di pekarangan Hospital Besar Singapura (SGH). (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 16 Jan 2023 05:59PM

SINGAPURA: Hospital Besar Singapura (SGH) menyatakan pada Isnin (16 Jan) bahawa bekas jururawat yang hilang pekerjaannya selepas mengalami tindak balas teruk terhadap vaksin COVID-19 dialu-alukan untuk memohon bekerja semula dengan  hospital itu "apabila beliau sudah sembuh".

Menjawab pertanyaan Mediacorp, ketua pegawai sumber manusia SGH Tan Yang Noi berkata pihak hospital akan terus berhubungan dengan wanita itu dan memberikan sokongan kepadanya.

Mediacorp melaporkan pada Jumaat (13 Jan) bahawa bekas jururawat itu memenangi rayuan terhadap perintah mahkamah untuk membayar nafkah anak, selepas beliau terpaksa berkerusi roda dan menganggur menyusuli kecederaan vaksin.

Menurut dokumen mahkamah, wanita itu mengalami tindak balas teruk terhadap dos kedua vaksin COVID-19 pada Mac 2021.

Beliau dimasukkan ke hospital selama 151 hari dari Mac hingga Oktober 2021, dan didiagnos dengan Gangguan Pergerakan Tanpa Kawalan.

Beliau menerima gaji bulanan penuh sebanyak S$8,244 pada 2021 namun jumlah itu dikurangkan sebanyak separuh sepanjang enam bulan pertama 2022. Untuk separuh kedua 2022, beliau tidak dibayar sebarang gaji.

Wanita itu juga  diberhentikan  pada Disember 2022.

Penghakiman  bertulis oleh Hakim Choo Han Teck menyifatkan wanita itu sebagai "hampir berada di tahap kritikal dari segi kewangan" sedang beliau perlu menampung kos menjalani terapi oksigen di samping perbelanjaan harian.

"Walaupun tiada bukti perubatan tentang kesesuaiannya bekerja di masa hadapan, ia jelas kepada pihak mahkamah, bahawa wanita ini perlu berkerusi roda dan tidak mampu bercakap lebih daripada beberapa perkataan dengan jelas tanpa mengalami sesak nafas sehinggakan dia hanya mampu berbisik," menurut penghakiman itu.

Sambil menarik perhatian bahawa wanita itu perlu intubasi berterusan dengan tangki oksigen, hakim Mahkamah Tinggi juga berkata "amat jelas wanita itu tidak berada dalam keadaan yang membolehkannya untuk melakukan sebarang pekerjaan."

Pada Isnin, Cik Tan dari SGH berkata: "Kami  sedih kerana bekas rakan sekerja jururawat kami sedang melalui masa yang sukar dan kami sentiasa berhubung rapat dengannya sepanjang perjalanan ini dan akan terus berbuat demikian."

Beliau menambah apabila wanita itu dimasukkan ke hospital dan menjalani pemulihan di rumah, rakan-rakan kerjanya dari SGH menziarahi beliau dan membantu menyelaraskan temu janji perubatannya.

"Kami amat menghargai setiap pekerja dan mengekalkan pekerjaannya selama mungkin," kata Cik Tan.

"Akhirnya, khidmatnya ditamatkan pada Disember 2022 setelah beliau dinilai tidak sesuai dari segi perubatan untuk menjalankan tugas kejururawatan dan keadaannya tidak mengizinkan beliau untuk menjalankan tugas lain yang bukan dalam bidang kejururawatan.

"Kami sudah maklumkan kepadanya bahawa kami mengalu-alukannya untuk memohon semula bekerja dengan kami apabila keadaannya bertambah baik.

"Beliau tetap layak menerima faedah perubatan selama setahun lagi bagi rawatan untuk kondisinya."

Singapura mula memperkenalkan vaksinasi COVID-19 untuk petugas jagaan kesihatan pada lewat Disember 2020 dan kemudian kepada orang awam secara bertahap-tahap mulai Januari 2021.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita