Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jururawat sektor kesihatan awam dinaikkan gaji hingga 14%

Jururawat dalam sektor jagaan kesihatan awam akan menerima kenaikan 5 hingga 14 peratus dalam gaji asas bulanan mereka mulai Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Jururawat sektor kesihatan awam dinaikkan gaji hingga 14%

Jururawat bersiap sedia di ruang menanti di pusat pemeriksaan Tuas (Gambar: Try Sustrisno Foo)

Diterbitkan : 05 Mar 2021 05:45PM Dikemas Kini : 05 Mar 2021 05:48PM

SINGAPURA: Jururawat dalam sektor jagaan kesihatan awam akan menerima kenaikan 5 hingga 14 peratus dalam gaji asas bulanan mereka mulai Julai.

Kenaikan itu akan "dilakukan secara bertahap-tahap sepanjang tempoh dua tahun akan datang", kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen pada Jumaat (5 Mac).

Pekerja lain dalam sektor penjagaan kesihatan awam seperti karyawan kesihatan bersekutu, ahli farmasi serta kakitangan pentadbiran dan tambahan, termasuk pekerja penjagaan sokongan, akan menerima kenaikan 3 hingga 7 peratus dalam gaji asas bulanan mereka tahun ini, tambahnya.

"Kami sedar bahawa gaji memainkan peranan penting dalam menarik dan mengekalkan kakitangan," kata Dr Koh semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan kementeriannya.

"Tenaga kerja penjagaan kesihatan adalah nadi sistem kesihatan kita, dan pekerjaan yang mereka lakukan sangat penting dalam melindungi kesihatan dan keselamatan masyarakat," tambahnya.

"Kita harus mengekalkan daya saing gaji kakitangan berbanding pasaran keseluruhan untuk menarik dan mengekalkan bakat yang bermutu."

Langkah untuk menambah gaji mereka pertama kali diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat dalam ucapan Belanjawan 2021 bulan lalu ketika beliau merakamkan penghargaan kepada semua pekerja jagaan kesihatan atas dedikasi mereka dalam memerangi pandemik COVID-19.

Peratusan kenaikan yang diterima bergantung kepada jawatan pekerja, yang disesuaikan mengikut gred pegawai, kata Kementerian Kesihatan (MOH).

Bagi badan-badan penjagaan masyarakat yang dibiayai awam, MOH menyatakan pihaknya akan meningkatkan sokongan dana bagi bayaran gaji "untuk memastikan bahawa jumlah gaji di sektor jagaan masyarakat tetap kompetitif".

Dianggarkan 20,800 pekerja mungkin mendapat manfaat daripada sokongan dana itu, kata MOH, sambil menambah bahawa ia akan bekerjasama dengan Agensi Penjagaan Bersepadu dan badan-badan penjagaan masyarakat untuk melaksanakan perubahan ini sepanjang tempoh dua tahun akan datang.

MOH kali terakhir meningkatkan gaji asas jururawat pada 2014 dan 2015. Pada 2016, kementerian itu melakukan perkara yang sama bagi profesional kesihatan bersekutu, ahli farmasi dan anggota pentadbiran serta kakitangan tambahan.

MOH menyatakan ia bekerjasama dengan kelompok jagaan kesihatan awam untuk menyemak gaji pekerja kesihatan secara berkala bagi mengekalkan daya saing pasaran.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan