Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jururawat pindahkan maklumat perbankan pesakit ke dompet digitalnya, belanja S$11,000

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sedang pesakit di wad tempat kerjanya menjalani pembedahan, seorang jururawat memasukkan butiran kad bank mereka dalam dompet digitalnya menggunakan kata laluan sekali sahaja (OTP), yang dihantar ke telefon bimbit mereka.

Dia kemudian menggunakan kad tersebut untuk membuat bayaran lebih S$11,000 serta cuba membeli barangan dan khidmat bernilai S$32,000.

Muhammad Ilyas Mohamed Noor, 23 tahun, dikenakan hukuman penjara 32 minggu pada Isnin (4 Mac), selepas memberitahu mahkamah bahawa dia "bersyukur" kerana ditangkap.

Dia mengaku bersalah atas lapan tuduhan termasuk menipu dan kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer, dengan lagi 14 tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Ilyas merupakan seorang jururawat di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH).

Dia mencuri daripada sekurang-kurangnya empat pesakit, menggunakan cara yang sama.

Apabila pesakit meninggalkan wad untuk menjalani pembedahan, dia akan mengambil kad bank serta telefon bimbit mereka lalu menghubungkan kad tersebut dengan dompet digitalnya.

Mangsa pertamanya, seorang lelaki berusia 69 tahun, telah dimasukkan ke NTFGH bagi menjalani pembedahan pada September 2022.

Sedang pesakit itu menjalani pembedahan, Ilyas mencuri telefon bimbit serta kad debit POSBnya daripada lokar lelaki itu.

Dia kemudian mendapatkan OTP yang dihantar ke telefon bimbit lelaki itu dan menggunakannya untuk menghubungkan kad bank pesakit berkenaan ke dompet digital serta Google Play Store.

Ketika pesakit itu dibawa semula ke wad, dia terperasan seorang kakitangan lelaki mengusik lokarnya. Dia bagaimanapun berasa mengantuk ketika itu dan tidak dapat melihat apa yang dilakukan lelaki tersebut.

Apabila pasakit itu memeriksa barangannya, dia mendapati semuanya tidak terusik.

Ilyas menggunakan kad pesakit itu untuk menokok nilai di kad EZ-Linknya dan membayar perbelanjaan hariannya seperti makanan dan pembelian permainan online.

Pesakit itu kemudian mendapati terdapat transaksi yang tidak disahkan lalu membuat aduan polis.

Selepas insiden pertama itu, Ilyas menyedari bahawa dia boleh mendapat lebih banyak wang lalu mengulangi tindakannya itu ke atas mangsa lain.

Mereka termasuk seorang pesakit warga Bangladesh, yang mendapati S$1,000 lesap daripada akaunnya apabila dia cuba mengeluarkan wang dan hanya tinggal baki S$18.

Ilyas sudah membuat bayaran balik kepada semua mangsa.
Sumber : CNA/SS/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan