Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jururawat perlu fleksibiliti di tempat kerja, selain peluang pertingkat kemahiran, kata pakar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para jururawat yang berdaftar di Singapura akan berpeluang untuk menajamkan kemahiran mereka dalam masa terdekat, dengan menyertai program baru ijazah sarjana muda kejururawatan secara sambilan.

Demikian merupakan pandangan jururawat pakar, Jamie Lim dan Presiden Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan NTUC, K Thanaletchimi dalam satu temu bual di 'Singapore Tonight', kendalian CNA, pada Rabu (30 Nov). Mereka membincangkan mengenai masa depan kejururawatan di Singapura.

"Para jururawat adalah penuntut sepanjang hayat, oleh itu tuntutan untuk meningkatkan kemahiran kami akan sentiasa ada. Namun, saya rasa perkara yang penting adalah untuk mempunyai program yang fleksibel agar para jururawat dapat mengimbangi kerja, kehidupan berkeluarga dan pembelajaran," jelas Cik Lim, timbalan pengarah khidmat kejururawatan di Hospital Tan Tock Seng.

Cik Thanaletchimi turut akur bahawa para jururawat memerlukan "banyak sokongan" di tempat kerja.

Dalam perbualan dan dialog yang diadakan kesatuan tersebut dengan para jururawat, hal yang menonjol adalah keperluan untuk mewujudkan aturan kerja yang fleksibel, yang juga digalakkan oleh kesatuan tersebut.

Di bawah program Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan Sains (Tambahan), yang ditawarkan oleh Pendidikan Tinggi Kaplan dengan kerjasama Universiti Northumbria, yang berpangkalan di United Kingdom (UK), para jururawat boleh mengambil sekurang-kurangnya 24 bulan untuk melengkapkan pengajian mereka.

Antara modul yang ditawarkan di bawah program tersebut termasuk inovasi dalam jagaan kesihatan, pengalakan kesihatan dan jagaan warga emas dengan keperluan yang kompleks.

Setelah menamatkan pengajian, mereka akan mempunyai pilihan untuk menceburi pelbagai tugas termasuk ketua jururawat, pengurus jagaan perubatan dan pendidik jururawat.

MELENGKAPI PARA JURURAWAT

Cik Lim menekankan peri pentingnya latihan sedemikian. Meskipun Singapura selalu meyediakan latihan untuk para jururawat khusus, terdapat keperluan untuk mengalihkan tumpuan kepada melatih mereka dalam kejururawatan masyarakat.

"(Kami) betul-betul (perlu) untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam menyasarkan para penduduk yang menua dan melengkapkan mereka dengan kemahiran untuk menjaga para pesakit dengan penyakit kronik, yang mana tidak terhad hanya kepada mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi dan kencing manis dan darah tinggi," kata Cik Lim.

Beliau menambah bahawa melengkapi para jururawat dengan kemahiran-kemahiran berhubung pencegahan penyakit dan pengalakan kesihatan juga amat diperlukan pada ketika ini, memandangkan ia sejajar dengan peralihan perhatian kepada pencegahan kesihatan, dengan gerakan SG Lebih Sihat.

MENGEKALKAN PARA JURURAWAT

Cik Thanaletchimi bercakap mengenai sokongan yang diperlukan untuk memikat dan mengekalkan para jururawat, terutama sekali mengenai isu gaji, perhatian kepada kebajikan mental dan perkembangan kerjaya, oleh sebab beban kerja dan tanggungjawab yang berat, yang dipikul mereka.


Dalam kalangan para jururawat tempatan, kadar tirisannya adalah 7.4 peratus pada 2021, naik daripada 5.4 peratus pada tahun lalu. Bagi para jururawat asing pula, ia naik seganda setiap tahun kepada 14.8 peratus yang dicatat pada 2021.

"Terdapat banyak semakan semula yang dijalankan baru-baru ini, tetapi sudah tentu kita perlu memastikan bahawa gaji mereka kekal berdaya saing sejajar dengan jenis pekerjaan dan tanggungjawab yang mereka lakukan," kongsi Cik Thanaletchim.

Pada Julai lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan bahawa lebih 25,000 jururawat bakal menerima bayaran istimewa di antara 1.7 dengan 2.1 bulan bagi gaji asas mereka.
 
Gaji asas para jururawat jagaan kesihatan awam turut meningkat antara lima dengan 14 peratus menyusuli satu semakan semula yang dilaksanakan tahun lalu.

Dari segi kebajikan, institusi-institusi perlu menjaga kesejahteraan mental para jururawat.

Beliau menarik perhatian bahawa para jururawat muda terutama sekali, ingin membangunkan kerjaya mereka.

Meskipun program-program seperti ijazah sarjana muda kejururawatan separuh masa akan dapat memenuhi keinginan tersebut, jalan lain yang dapat merealisasikan matlamat itu termasuk untuk meningkatkan taraf kakitangan sokongan, yang mana kesatuan, majikan sektor awam dan MOH sedang menumpukan perhatian secara berterusan.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan