Skip to main content

Singapura

Jururawat ini berkorban pikul tanggungjawab jaga ibu hidap demensia, anak autistik

Anggaran Waktu Membaca:
Jururawat ini berkorban pikul tanggungjawab jaga ibu hidap demensia, anak autistik

Cik Siti Farhana Jumari, seorang jururawat kanan di Hospital Khoo Teck Puat, bersama ibunya (kiri) dan anak lelakinya yang kedua (kanan). (Gambar: Siti Farhana Jumari)

Diterbitkan : 04 Aug 2024 05:13PM Dikemas Kini : 04 Aug 2024 06:04PM
SINGAPURA: Jururawat staf kanan Siti Farhana Jumari meluahkan rasa simpati khususnya bagi pesakit yang mengalami demensia atau kanak-kanak dengan keperluan khas, memandangkan tanggungjawab menjaga pesakit sedemikian cukup dekat di hatinya.

Wanita berusia 38 tahun ini, yang bekerja di jabatan jagaan akut dan kecemasan di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), mempunyai tiga anak lelaki, dengan salah seorang daripadanya mengalami autisme.

Beliau juga memikul tanggungjawab menjaga ibunya yang mengalami demensia.

Dengan tuntutan menjadi seorang pengasuh di tempat kerja dan di rumah, ia seolah-olah kelihatan beliau mungkin berdepan lesu upaya (burnout).

Mujur beliau sudah mempunyai beberapa cara untuk menangani situasi sedemikian. 

"Saya beri tumpuan kepada perkara yang perlu saya lakukan ketika itu. Apabila di tempat kerja, saya fokus pada tugas saya dan bertukar kepada mod bekerja.
Related article image
Gambar: KTPH
"Apabila saya di rumah, saya tidak fikir tentang kerja," jelasnya kepada Mediacorp.

Beliau juga menekankan peri pentingnya penjagaan diri, sekalipun ia sekadar menonton televisyen atau meluangkan masa bersendirian.

"Pada hari yang amat sibuk dan memenatkan, 'misi' saya sebaik sampai di rumah ialah untuk ke bilik saya dan berehat.

"Selepas 30 minit hingga sejam, baru saya akan keluar dari bilik dan siap untuk (menjaga) keluarga saya."

Wanita bersemangat kental ini tidak menganggap tanggungjawabnya itu sebagai satu beban, namun berkongsi bahawa peranannya sebagai seorang jururawat  membuat beliau lebih bersabar dengan ibu serta anak lelakinya selain lebih menunjukkan sifat empati kepada mereka.

Ia juga telah membentuk persepsinya terhadap bidang kejururawatan, sekali gus mendorong beliau lebih komited untuk mengikuti standard jagaan yang sama, bukan sahaja bagi pesakit, tetapi anggota keluarganya juga.

"Apabila anda menjaga orang lain, anda sepatutnya melayan mereka seperti keluarga anda kerana anda ingin orang lain melayani keluarga anda dengan baik (apabila mereka sakit)," katanya.

Berkongsi sentimen serupa, seorang lagi jururawat yang bertugas di KTPH turut meluahkan pendapatnya kepada Mediacorp.
Related article image
Cik Siti Farhana Jumari (kiri) dan Cik Raine Evangeline Tan (kanan) merupakan jururawat kanan di Hospital Khoo Teck Puat. (Gambar: KTPH)
Jururawat staf kanan Raine Evangeline Tan, yang bekerja di Pusat Buah Pinggang hospital itu, terpaksa menjaga ibunya yang menderita kegagalan buah pinggang peringkat akhir.

Pada 2021, beliau mendermakan salah satu buah pinggangnya kepada ibunya dan terus memantau kesihatan ibunya itu.

Peranannya sebagai jururawat merupakan aset dalam menjaga ibunya, jelas Cik Tan.

Malah mempunyai pemahaman yang lebih mendalam mengenai keadaan dan rawatan dialisis ibunya membantu Cik Tan untuk berkomunikasi dengan ibunya dengan lebih empati.

"Latar belakang saya membenarkan saya untuk memahami terminologi perubatan dengan lebih baik, sekali gus membolehkan saya untuk menerangkannya dengan jelas kepada ibu saya."

Dari segi menangani tekanan, wanita berusia 37 tahun itu menambah: "Jika anda tidak tahu banyak perkara berkaitan jagaan kesihatan, anda mungkin tidak memahami magnitud sesuatu diagnosis (dan) anda tidak akan tenang apabila berdepan dengan krisis."

Kedua-duanya berkongsi bagaimana mereka rasa terpanggil untuk menggalas peranan sebagai seorang jururawat, sedang Singapura meraikan Hari Jururawat pada Khamis (1 Ogos).

Tidak seperti negara lain yang meraikan Hari Jururawat Antarabangsa, yang jatuh pada 12 Mei, Singapura mengiktiraf jasa para jururawat sepanjang bulan ini.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita