Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jururawat dihukum penjara, rotan upah lelaki Batam lakukan gangguan 'tailong'

Setelah berhenti kerja sebagai jururawat staf di sebuah hospital swasta dan menghadapi kesukaran sebagai pekerja bebas, seorang lelaki  mendapatkan pinjaman daripada  'tailong'.

Anggaran Waktu Membaca:
Jururawat dihukum penjara, rotan upah lelaki Batam lakukan gangguan 'tailong'

(Gambar hiasan: Lee/Canva)

Diterbitkan : 01 Jul 2021 07:19AM Dikemas Kini : 01 Jul 2021 07:22AM

SINGAPURA: Setelah berhenti kerja sebagai jururawat staf di sebuah hospital swasta dan menghadapi kesukaran sebagai pekerja bebas, seorang lelaki mendapatkan pinjaman daripada 'tailong'.

Untuk melunaskan hutangnya, dia bersetuju untuk mengganggu peminjam lain dan melibatkan seorang lelaki dari Batam untuk membantunya.

Dia juga mengarahkan seorang budak lelaki 14 tahun untuk membantu simbah cat di pintu peminjam.

Atas kesalahannya di bawah Akta Peminjam Wang, Muhammad Firman Dollah, 28, dijatuhi hukuman penjara 13 bulan dan dua minggu serta tiga kali rotan pada Rabu (30 Jun).

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan bersubahat dengan menolong peminjam tanpa lesen, dan mengarahkan warga negara Indonesia itu untuk melakukan gangguan 'tailong'.

Dua tuduhan serupa dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman.

Peguam Firman, Anil Singh Sandhu memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya meninggalkan pekerjaannya sebagai jururawat staf di Parkway Shenton pada 2018.

Namun kerana tidak dapat memperoleh cukup tugasan bebas, Firman kemudian menghadapi masalah kewangan.

Dia juga berpindah ke flat dengan isterinya pada 2019 dan menghadapi "banyak masalah kewangan". Pada Februari tahun lalu, Firman meminjam wang daripada tailong yang hanya dikenali sebagai Carson.

Carson menawarkan S$8,300 jika Firman membantu mengganggu tiga peminjam dengan menyimbah cat di pintu rumah mereka dan mengunci pintu pagar.

Firman menghubungi tertuduh bersama, lelaki yang dikenalnya sebagai Yopi, dan tinggal di Batam. Dia mengupah Yopi untuk melakukan gangguan berkenaan atas pihaknya.

Pada 13 Februari 2020, Firman membeli cat dan kunci basikal dari sebuah kedai dan memandu ke Terminal Feri Harbourfront dengan kenderaan yang dipinjam.

MEMANDU KE TERMINAL UNTUK JEMPUT YOPI

Dia menjemput Yopi, yang tiba dari Batam dengan menaiki feri. Firman kemudian memandu ke alamat lokasi yang diberikan Carson dan menunggu di dalam kenderaan sementara Yopi menyimbah cat di pintu dan mengunci pintu pagar.

Kedua-dua lelaki itu kemudian ke dua lokasi lain, tetapi Yopi tidak dapat melakukan gangguan itu kerana terdapat orang dekat flat tersebut.

Pada hari yang sama, Firman menghantar Yopi kembali ke terminal untuk pulang ke Batam, Indonesia.

Mangsa yang rumahnya disimbah cat menelefon polis dan Firman ditangkap.

Pihak pendakwa meminta hukuman penjara sekurang-kurangnya 15 bulan dan hukuman mandatori minimum tiga kali sebat bagi Firman.

Timbalan Pendakwa Raya Derek Ee merujuk kepada hakikat bahawa Firman telah menghasut warga asing untuk memasuki Singapura bagi tujuan melakukan gangguan tailong.

Tuduhan tambahan yang dipertimbangkan, termasuk bersubahat dengan individu bawah umur untuk melakukan gangguan bagi pihak pemberi pinjaman wang tanpa berlesen, kata Encik Ee.

Hakim membenarkan Firman mula menjalankan hukuman penjaranya pada 21 Jul. 

Sumber : CNA/SU/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa