Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jurulatih Terbaik Home Team WO2 Nasiruddin Ghafor gigih cari kaedah inovatif bimbing pelatih SCDF

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pakar Kursus Kanan WO2 Nasiruddin Ghafor sudah bertugas di Pasukan Penyelamat Nyawa selama lebih 12 tahun. 

Pada 2020, WO2 Nasiruddin dikerahkan ke Akademi Pertahanan Awam (CDA) sebagai seorang jurulatih. 

Berkat kerja keras dan ketekunannya, beliau dianugerahi Jurulatih Terbaik Home Team pada November 2021, baru dua tahun diangkat menjadi jurulatih. 

W02 Nasiruddin terlibat secara aktif dalam melatih para Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) yang sedang menjalani Kursus Komander Seksyen (SCC) di CDA. 

WO2 Nasiruddin sebelum ini dipuji atas ketangkasan dan keberaniannya semasa memadamkan kebakaran yang memusnahkan sebuah flat HDB di Yishun ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

MENCARI KAEDAH PENGAJARAN BARU

"Saya memulakan kerjaya saya sebagai seorang jurulatih dengan menggunakan kaedah tradisional untuk mengajar para pelatih saya, seperti yang pernah diajarkan oleh para jurulatih saya pada satu ketika dahulu," dedah WO2 Nasiruddin dalam wawancaranya bersama laman Rescue 995 terbitan Pasukan Pertahanan Awam Singapura pada Isnin (30 Mei).

"Namun, saya segera menyedari bahawa setiap pelatih mempunyai rentak dan gaya pembelajaran yang berbeza. Maka itu, untuk memenuhi objektif pembelajaran mereka secara berkesan, saya perlu mengajar dengan kaedah yang bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga interaktif dan berupaya memikat perhatian mereka." 

(Gambar: SCDF)

WO2 Nasiruddin  memanfaatkan kemahiran-kemahiran baru yang ditimba melalui Sijil Pakar di bawah program Pendidikan Pembelajaran Dewasa (UP-SCALE). 

Antara prinsip-prinsip yang dipelajarinya adalah prinsip Gagne yang kerap dipraktikkan dalam pengajarannya. 

"Prinsip-prinsip Gagne berpegang kepada perspektif bahawa setiap pelatih datang ke kelas dengan kemahiran dan pengetahuan diperolehi terlebih dahulu yang boleh menyumbang kepada proses pembelajaran mereka. 

"Salah satu cara yang berkesan untuk membantu pelatih belajar dengan lebih baik lagi adalah dengan menggalak perbincangan antara satu sama lain agar para pelatih boleh saling memberi bimbingan dan juga menilai antara satu sama lain dalam proses itu. Dengan cara ini, ilmu yang ditimba masih boleh diamalkan sekalipun selepas kursus tamat," jelas WO2 Nasiruddin. 

(Gambar: SCDF)

WO2 Nasiruddin juga menghasilkan video-video latihan menggunakan animasi, grafik Lego dan suara latar untuk berinteraksi dengan para pelatihnya. 

Melalui video-video tersebut, para pelatih boleh melihat apa yang akan diajar pada hari sebelum menghadiri kelas. Menurut beliau, kaedah sedemikian akan memastikan beliau berupaya mengekalkan perhatian para pelajar dan dapat merapatkan sebarang jurang pembelajaran. 

(Gambar: SCDF)

"Jurulatih sekarang tidak boleh berpeluk tubuh. Dan saluran komunikasi bukan lagi sehala, di mana para pelatih diharap dapat memahami topik atau setakat menghafal maklumat saja," kata WO2 Nasiruddin. 

"Sekarang, persekitaran pembelajaran terbaik adalah kelas yang 'riuh-rendah' dan menggalak perbincangan kreatif, perbahasan dan perkongsian idea antara satu sama lain kerana informasi sudah banyak tersedia di Internet dan pelatih pun sudah ada pengetahuan berdasarkan apa yang diperolehi daripada sumber-sumber lain. Dengan menggalak perbincangan, para pelatih boleh belajar lebih pantas antara satu sama lain." 

Tambah WO2 Nasiruddin: "Memandangkan kami melatih pemimpin, kami mahu mereka menjadi kreatif dan bijak menyesuaikan diri, terutama sekali apabila mengetuai pasukan di barisan hadapan. 

"Sekalipun mungkin sesuai untuk mematuhi doktrin dan rejim sedia ada, tiada satu huraian yang boleh menyelesaikan segala masalah dan banyak situasi tidak dapat diramalkan semasa memberikan respons kepada kecemasan. Justeru, para pelatih sangat-sangat digalakkan supaya mengambil bahagian secara aktif dan berani berdikari dalam kelas saya." 

Sepanjang dua tahun yang lalu, minat WO2 Nasiruddin terhadap peranannya sebagai jurulatih semakin menebal dan beliau gemar berinteraksi dan sama-sama belajar dengan para pelatihnya. 

Katanya lagi, peranan sebagai jurulatih bukan sekadar tugas mengajar, tetapi juga membentuk hubungan dengan para pelatih supaya mereka boleh menerima pengalaman pembelajaran yang optimum di dalam dan di luar bilik darjah.

"Mendengar secara aktif adalah kemahiran penting  bagi seorang jurulatih. Anda perlu sentiasa mendengar nasihat pelatih anda untuk memahami keperluan pembelajaran mereka supaya dengan cara ini anda boleh mencari pendekatan yang paling sesuai," kata WO2 Nasiruddin. 

(Gambar: SCDF)
Sumber : BERITA Mediacorp/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan