Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jurulatih silat negara Romadhon, 33 tahun, meninggal dunia susuli kemalangan di Bali

Anggaran Waktu Membaca:
Jurulatih silat negara Romadhon, 33 tahun, meninggal dunia susuli kemalangan di Bali

Gambar: Facebook/Singapore Silat Federation

Diterbitkan : 28 May 2022 07:39PM Dikemas Kini : 28 May 2022 09:24PM

SINGAPURA: Jurulatih silat negara, Mochammad Ichsan Nur Romadhon, 33 tahun, meninggal dunia menyusuli satu kemalangan di Bali, menurut Persekutuan Silat Singapura (PERSISI).

Dalam catatan di Facebook pada Sabtu (28 Mei), PERSISI mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang juga warga Indonesia.

Dalam catatan tersebut, PERSISI menyatakan, "Disayangi oleh semua orang dalam masyarakat Silat, jurulatih Romadhon telah menyumbang besar kepada pencapaian pasukan silat negara"

Allahyarham, yang sudah berkhidmat dengan PERSISI selama lapan tahun, terlibat dalam satu kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke Surabaya dari Bali.

Beliau sedang bercuti bersama isteri dan dua anaknya.

Isteri Allahyarham dibawa ke hospital atas kecederaan di bahagian kepala sementara anak-anak mereka mengalami cedera ringan, menurut PERSISI.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persisi, Sheik Alau'ddin Yacoob Marican menyifatkan Allahyarham sebagai seorang jurulatih yang tidak boleh dicari ganti.

"Kita sudah membina kepercayaan, ikatan, dan hubungan yang rapat antara kakitangan serta para pesilat."

"Romadhon telah menunjukkan dedikasi semasa berkhidmat selama lapan tahun bersama PERSISI. Ia menimbulkan kejayaan dan ini dapat dilihat menerusi pencapaian para atlit dan sumbangan pingat di kejuaraan-kejuaraan utama," ujar Encik Sheik Alau'ddin.

Encik Sheikh Alau'ddin juga berkata bahawa Allahyarham berjaya meningkatkan mutu latihan pesilat negara.

"Apabila pasukan-pasukan lain mula memandang tinggi prestasi dan pencapaian pasukan kami, inilah tanda yang menunjukkan bahawa para jurulatih kami sudah meningkatkan mutu latihan dan ia diiktiraf di peringkat antarabangsa," kata Encik Sheikh Alau'ddin kepada BERITAmediacorp.

Semestinya, pemergian Allahyarham adalah berita yang amat mengejutkan buat Encik Sheikh Alau'ddin dan seluruh masyarakat silat setempat.

Encik Sheikh Alau'ddin berkata" Saya masih terkejut atas pemergiannya. Saya masih cuba untuk menerima perubahan yang akan datang selepas ini."

"Romadhon mempunyai sudut istimewa di dalam persada Silat Singapura dan sebagaimana para pesilat lain, saya pasti bahawa beliau telah menyentuh hati semua orang dengan keikhlasannya," kata Encik Sheik Alau'ddin.

Mengenang jurulatih yang membantu pasukan negara mencapai prestasi cemerlang di Sukan SEA baru-baru ini, pesilat negara Hazim Yusli, berkata: "Dia benar-benar mengambil berat tentang saya. Misalnya, dia selalu akan menghantar mesej kepada saya untuk menanyakan sama ada saya sudah berada di rumah selepas latihan. Dia juga akan sentiasa mendorong kami. Dia seperti abang kepada saya. Kehilangan dirinya sangat sedih untuk saya."

Hazim yang baru sahaja memenangi pingat emas di Sukan SEA di Hanoi menambah: "Sukan SEA yang baru lalu ini sangat istimewa buat saya dan ia semua kerana dia. Saya tidak dapat menjelaskan kesedihan dalam diri saya. Bagi saya, saya seperti kehilangan seseorang ahli keluarga."

Pasukan silat negara meraih empat pingat emas, tiga perak dan empat gangsa di SEA Games, iaitu prestasi terbaik di SEA Games sejak 2003.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan