Skip to main content

Singapura

Jurulatih relawan dihukum penjara 6 bulan atas kematian pelajar semasa kegiatan elemen tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang jurulatih relawan yang didakwa atas kematian pelajar 15 tahun yang terjatuh ketika melakukan kegiatan elemen tinggi di SAFRA Yishun pada 2021, dijatuhkan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Negara pada Isnin (15 Jan).

Muhammad Nurul Hakim Mohamed Din, 23 tahun, gagal menjalankan pemeriksaan fizikal pada tali keselamatan Jethro Puah Xin Yang, menyebabkan pengikat kaki remaja itu tercabut selepas dia terjatuh semasa melakukan aktiviti elemen tinggi.

Tanpa pengikat kaki, abah-abah yang digunakannya beralih ke atas dan mula mencekik Jethro, seorang pelajar menengah 4 di Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) atau ACS (I).

Selepas Jethro diselamatkan, kira-kira lebih daripada setengah jam selepas dia jatuh, dia sudah berhenti bernafas.

Nurul Hakim mengaku bersalah atas tuduhan yang dipinda menyebabkan kecederaan parah pada Jethro melalui tindakan terburu-buru, kerana gagal memastikan kedua-dua pengikat kakinya diikat dengan betul sebelum menghantar remaja itu memulakan aktiviti elemen tinggi.
TIDAK UJI ABAH-ABAH SECARA FIZIKAL

Nurul Hakim bertanggungjawab untuk menjalankan pemeriksaan terakhir pada topi keledar, tali pinggang dan tali keselamatan pelajar sebelum menghantar mereka keluar melakukan kegiatan elemen tinggi.

Nurul Hakim tidak menjalankan pemeriksaan ke atas tiga daripada kira-kira 11 peserta yang dihantar sebelum Jethro. Sebaliknya dia hanya memeriksa abah-abah mereka secara visual.

Dia juga gagal untuk memeriksa abah-abah yang digunakan Jethro, dengan hanya melihat bahawa alat keselamatan tersebut seperti diikat dengan selamat.

TIDAK DAPAT BERDIRI ATAS KABEL BESI

Jethro melakukan kegiatan elemen tinggi pada kira-kira pukul 1.26 tengah hari dan berjaya menyelesaikan kegiatan pertama tanpa sebarang isu dalam tiga minit.

Walau bagaimanapun, dia terjatuh pada peringkat kedua, iaitu 'postman walk', yang memerlukan peserta untuk memegang tali sambil berjalan mereng di atas kabel besi.

Dalam keadaan tergantung dan hanya berada dalam keadaan tergantung oleh abah-abahnya, Jethro tidak dapat berdiri di atas kabel besi tersebut, meskipun sudah diberi arahan oleh seorang jurulatih yang baru ditemuinya.

Jurulatih itu menyedari bahawa pengikat kaki Jethro longgar dan beralih dari paha ke pinggangnya. Seorang lagi jurulatih tiba untuk membantunya namun kedua-duanya tidak dapat mengangkatnya.

Kedua-dua pengikat kaki Jethro terlepas, dan dia tergantung pada tali bahu abah-abahnya yang berada di ketiaknya. Kepalanya hampir berada di paras kabel besi untuk meletak kaki.

Ketua program, Umar Abdul Ghani Taufiq Siraj bergegas dari stesen panjat untuk membantu dan mengarahkan supaya Jethro dibawa ke sebuah menara.

Di menara tersebut, Nurul Hakim mengarahkan Jethro untuk memegang lengannya.

Tertuduh melihat muka remaja itu menjadi pucat, jarinya menjadi biru dan dia berkelakuan panik serta tercungap-cungap.

Nurul Hakim cuba untuk menarik remaja itu dengan bantuan jurulatih lain, tetapi gagal.

Kira-kira lapan minit selepas dia terjatuh, Jethro tidak sedarkan diri.

USAHA CPR

Beberapa jurulatih melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum paramedik dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) tiba dan mengambil alih.

Jethro dikejarkan ke Hospital Khoo Teck Puat. Imbasan menunjukkan bahawa dia mengalami kecederaan otak yang teruk akibat kekurangan oksigen serta tulang leher anteriornya patah, yang seharusnya membantu saluran pernafasan.

Meskipun diberikan bantuan perubatan, Jethro mengalami kegagalan jantung yang teruk, kecederaan pada hati dan kecederaan otot yang ketara.

Pada 4 Februari 2021, sekitar pukul 4.41 pagi, Jethro meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai kerana dia tidak dapat bernafas.


Atas perbuatan terburu-buru yang menyebabkan kecederaan parah, Nurul Hakim boleh dihukum penjara sehingga empat tahun, atau didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita