Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jurulatih memandu didenda kerana langgar pelatih di Pusat Memandu ComfortDelGro

Anggaran Waktu Membaca:
Jurulatih memandu didenda kerana langgar pelatih di Pusat Memandu ComfortDelGro

(Gambar: Kertas pertuduhan)

Diterbitkan : 24 Jan 2024 02:23PM Dikemas Kini : 24 Jan 2024 02:29PM
SINGAPURA: Selepas mengajar seorang pelajar tentang cara meletak kenderaan di Pusat Memandu ComfortDelGro (CDC), seorang jurulatih memandu sedang memandu di dalam tempat letak kereta apabila dia melanggar pelajar lain yang sedang melintas jalan raya.

Seah Choon Chai, warga Singapura berusia 57 tahun, didenda S$2,500 dan dilarang memandu selama enam bulan pada Rabu (24 Jan).

Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan akibat perbuatan cuai yang membahayakan keselamatan diri.

Mahkamah diberitahu bahawa Seah berada di litar memandu di dalam CDC di 205 Ubi Avenue 4 pada malam 25 Jan tahun lalu.

Seah mengajar seorang pelajar cara meletak kereta. Apabila tamat sesi tersebut pada kira-kira pukul 10.05 malam, Seah memandu pelajar itu ke stesen kereta api berhampiran sebelum memandu semula ke CDC, dengan niat untuk meletakkan kenderaan di sana dan kemudian pulang ke rumah.

Apabila Seah memasuki CDC, dia gagal memerhatikan kenderaan atau pejalan kaki semasa membelok ke kanan.

Dia melanggar mangsa, seorang wanita berusia 34 tahun yang sedang mengikuti kursus memandu di pusat berkenaan.

Seah melihat ke luar tingkapnya dan ternampak mangsa duduk di atas tanah. Dia memberhentikan kereta sebelum turun untuk memeriksa keadaannya.

Mangsa menjerit kepada Seah kerana melanggarnya dan Seah menyedari bahawa mangsa berdarah di lengan kirinya.

Rakan sekerja Seah menghubungi ambulans, sedang suami mangsa pula menghubungi polis.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa sedang melintas jalan raya di persimpangan dalam CDC kira-kira pukul 10.20 malam.

Kenderaan Seah dilihat memandu terus ke arah mangsa dan membelok ke kanan tanpa memperlahankan kenderaan tersebut.

Bahagian kanan kereta Seah melanggar mangsa dan mangsa terjatuh ke jalan raya.

Wanita itu dibawa ke hospital dengan kesakitan pada bahagian siku sehingga membatasi pergerakan bahunya. Sikunya juga bengkak menyusuli insiden tersebut.

Seah membayar mangsa S$819.33 pada Ogos 2023 untuk kos perubatan yang ditanggungnya.


Denda yang dikenakan ke atas Seah adalah denda maksimum kerana menyebabkan kecederaan akibat perbuatan cuai.

Dia juga boleh dihukum penjara sehingga enam bulan.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan