Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jurulatih kecergasan dijel 4 minggu; rakam wanita mandi dalam tandas gim

Seorang jurulatih kecergasan di sebuah gimnasium memasuki tandas wanita dan merakam video seorang wanita sedang mandi selepas wanita tersebut selesai menjalani sesi kecergasan dengannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Jurulatih kecergasan dijel 4 minggu; rakam wanita mandi dalam tandas gim

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 13 Dec 2021 11:57PM Dikemas Kini : 14 Dec 2021 12:01AM

SINGAPURA: Seorang jurulatih kecergasan di sebuah gimnasium memasuki tandas wanita dan merakam video seorang wanita sedang mandi selepas wanita tersebut selesai menjalani sesi kecergasan dengannya.

Mangsa yang berusia 40 tahun itu ternampak telefon bimbit lalu menjerit dan bersemuka dengan lelaki berkenaan sebelum menghubungi polis sejurus selepas beliau berada di tempat yang selamat.

Lelaki yang berusia 30 tahun itu dijatuhi hukuman penjara selama empat minggu pada Isnin (13 Dis). Dia mengaku bersalah atas tuduhan menceroboh dan menghina kehormatan seorang wanita, manakala tuduhan ketiga turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Arahan mahkamah dikeluarkan bagi melindungi identiti mangsa.

Mangsa mengunjungi gim berkenaan pada 7 Okt 2019 untuk bersenam. Ketika itu, seorang lagi lelaki turut berada di gim tersebut, iaitu seorang peguam berusia 43 tahun, yang sama-sama menjalani latihan di bawah bimbingan tertuduh.

Selepas selesai bersenam, mangsa memasuki tandas wanita untuk mandi. Ketika mangsa sedang mandi, tertuduh memasuki bilik mandi bersebelahan dengan mangsa lalu meletakkan telefonnya di atas bilik mandi berkenaan dan merakam wanita tersebut.

Mangsa terlihat telefon itu lalu menjerit. Mangsa yang melilitkan tuala pada dirinya kemudian memeriksa bilik mandi sebelah dan ternampak tertuduh.

Pihak pendakwa mengusulkan hukuman penjara selama empat minggu. Menurut pihak pendakwa, lelaki tersebut pernah didenda pada 2016 atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk dan dihukum penjara pada 2017 atas kesalahan melibatkan pemalsuan dan memberikan keterangan palsu dengan niat untuk memastikan agar seorang pegawai awam menggunakan bidang kuasanya ke atas orang lain.

Dalam rayuannya, tertuduh berkata: "Saya kesal dengan perbuatan saya. Saya mahu teruskan kehidupan saya selepas ini. Saya tidak akan mengulangi kesilapan saya lagi."

Menurut tertuduh, satu pembedahan ginjal sudah dijadualkan untuknya pada Februari dan tertuduh sudah diberitahu bahawa dia mungkin akan dibebaskan sebelum itu. 

Sumber : CNA/FA/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa