Jurulatih bola sepak dipenjara 33 bulan kerana adakan hubungan seks dengan mangsa bawah umur
Seorang jurulatih bola sepak yang menawarkan latihan peribadi secara percuma bagi seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, namun kemudian mengadakan hubungan seks dengan mangsa, dihukum penjara 33 bulan pada Khamis (5 Dis).
Clifford Tan Guang Wei, 30 tahun mengaku bersalah pada September lalu atas tiga tuduhan mencabul seorang individu bawah umur.
Lagi tiga tuduhan juga diambil kira dalam menentukan hukuman.
Sejak 13 April 2023, dia digugurkan daripada Daftar Jurulatih Kebangsaan selama tempoh yang tidak ditetapkan, menurut Sport Singapore.
Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Tan diambil bekerja sebagai jurulatih bola sepak di sebuah akademi, di mana mangsa didaftarkan oleh ibunya pada awal 2023.
Pada bulan yang sama remaja perempuan itu menyertai akademi tersebut, Tan sering mengirim pesanan teks kepadanya.
Dia menawarkan sesi latihan peribadi secara percuma kepada remaja itu tanpa memaklumkan hal itu kepada ibu mangsa atau pihak akademi.
Remaja itu menerima tawarannya dan mula berjumpa dengan Tan di gelanggang badminton berhampiran flatnya bagi sesi latihan peribadi itu.
Mereka masih tetap berbalas pesanan teks dan Tan juga mengajaknya keluar makan malam dan bermain boling.
Pada petang 16 Mac 2023, remaja itu berjumpa dengan Tan bagi sesi latihan peribadi mereka.
Tan kemudian berkata bahawa dia perlu pulang ke rumah flatnya untuk mengambil sesuatu yang dia terlupa. Dia menyuruh remaja itu supaya mengikutinya.
Remaja itu kemudian mengikut Tan masuk ke flatnya di mana mangsa menyedari tiada sesiapa di rumah.
Tan berkata bahawa dia mahu tidur sekejap dan menyuruh remaja itu supaya mengikutnya masuk ke bilik tidurnya.
Mereka sedang berbaring di atas katil apabila Tan meminta mangsa supaya mengurutnya. Tan kemudian mahu melakukan perbuatan lebih intim, namun mangsa berasa kurang selesa dan mengingatkannya bahawa beliau hanya berusia 15 tahun.
Walaupun Tan menyedari usia mangsa tetapi dia tidak kisah kerana dia tidak dapat mengawal dirinya, kata Timbalan Pendakwa Raya Santhra Aiyyasamy di mahkamah.
Dia kemudian menyuruh mangsa supaya melakukan perbuatan seks ke atasnya. Namun mana mangsa menolak.
Dia kemudian meminta mangsa melakukan satu lagi perbuatan seksual dan mangsa akhirnya mengalah.
Pada keesokan hari, remaja itu memberitahu temannya apa yang telah berlaku dan temannya menasihati mangsa supaya membuat aduan polis.
"Namun mangsa tidak membuat sebarang aduan polis kerana dia menyukai (Tan) dan tidak mahu dia didakwa," kata Cik Santhra.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan bagaimana pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kesalahan itu.
Tan diberkas pada 11 April 2023.
Hukuman bagi mengadakan hubungan seks dengan individu bawah umur 16 tahun adalah hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.