Skip to main content

Singapura

Jurulatih alu-alukan lanjutan tempoh sewa padang golf Mandai hingga akhir 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Jurulatih alu-alukan lanjutan tempoh sewa padang golf Mandai  hingga akhir 2026

(Gambar: Facebook/Mandai Executive Golf Course)

SINGAPURA: Pengumuman mengenai penutupan Padang Golf Eksekutif Mandai menjelang akhir tahun ini mengejutkan ramai.

Maka itu, jurulatih golf berkata berita mengenai lanjutan tempoh sewa kemudahan itu sehingga Disember 2026 tidak disangkakan, dan satu kejutan yang amat dialu-alukan.

Diumumkan pada Rabu (3 Mac), bahawa orang ramai masih boleh terus bermain di Padang Golf Eksklusif Mandai selama dua tahun lagi, selepas pengendalinya diberikan lanjutan tempoh sewa.

Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Eric Chua berkata demikian di Parlimen, sambil menyatakan bahawa ia adalah salah satu pilihan yang disediakan untuk menyediakan akses awam kepada golf.
"Semua jurulatih dan pelanggan saya gembira. Saya terima terlalu banyak mesej hari ini," kata Encik Dalston Koh, yang mengendalikan SG Golf Coach Academy di Mandai.

Pengurus besar Persatuan Golf Singapura (SGA) Joshua Ho berkata persatuan tersebut sangat "gembira" tentang lanjutan tempoh sewa selama dua tahun itu.

Pada Februari lalu, diumumkan bahawa padang golf di Mandai itu akan memberi laluan kepada pusat pembelajaran luar darjah selepas tempoh sewanya tamat pada 31 Disember.
Encik Koh berkata beliau hilang banyak pelanggan sejak berita tentang penutupan padang golf Mandai diumumkan.

"Pelanggan tidak mahu meneruskan kelas atau daftar pelan latihan lebih lama. Pelanggan mula mengurangkan sesi latihan mereka, daripada tiga bulan kepada sebulan. Kami tidak mempunyai huraian yang jelas bagi isu tersebut," tambahnya.

Memandangkan lanjutan tempoh sewa itu hanya untuk dua tahun, Encik Koh mengaku bahawa beliau "tertekan" memikirkan tentang masa depan.

Timbul soalan tentang akses kepada orang ramai pada masa depan, serta sama ada terdapat rancangan untuk membaiki padang golf lama, atau membangunkan padang golf baharu untuk memenuhi permintaan, kata Encik Koh.

"Tanpa padang golf Mandai, sebenarnya tidak ada padang golf lain untuk pemain golf baharu," tambahnya.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita