Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jurukamera Ishak Jamid rasa bertuah dapat tangkap momen ikonik NDP 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Jurukamera Ishak Jamid rasa bertuah dapat tangkap momen ikonik NDP 2022

Gambar: Encik Ishak Jamid

Diterbitkan : 12 Aug 2022 01:58PM Dikemas Kini : 12 Aug 2022 02:03PM
SINGAPURA: Jurukamera Ishak Jamid, sudah merakamkan sekurang-kurangnya 10 Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) sepanjang kerjayanya namun beliau mendapat firasat bahawa acara pada Selasa (9 Ogos) akan lebih istimewa lagi.

Salah satu tugasnya ialah untuk merakam detik penonton menyanyikan Lagu Kebangsaan. Oleh sebab NDP kali ini yang pertama diadakan berskala besar selepas dua tahun di bawah sekatan pandemik, beliau dapat merasakan sambutan kali ini pasti lebih emosi.
Jurukamera bebas berusia 49 tahun itu yang dahulunya bekerja di Mediacorp berjaya merakamkan seorang lelaki menitiskan air mata semasa berkumandangnya Lagu Kebangsaan.

Imej penuh emosi itu menjadi tajuk utama sejak kebelakangan ini dengan Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong menggelarnya gambar "ikonik" NDP 2022.

"Apabila anda berada di sana, anda boleh merasakan perasaan orang ramai apabila mereka melihat visual dan rakaman video. Sebelum itu, berlaku kemalangan yang menimpa seorang anggota pasukan Red Lions, kata Encik Ishak kepada Mediacorp pada Khamis (11 Ogos).
Pengarah liputan TV bagi NDP 2022, Lee Chew Yen yang memilih rakaman untuk disiarkan secara langsung berkata imej tersebut menggambarkan detik di mana semua orang bersatu hati sebagai sebuah negara.

"Jadi saya percaya apabila saya memilih gambar itu dan ia ditayangkan di TV, ia pasti menyentuh semua penonton kami. Dalam erti kata lain, kami semua bersatu sebagai rakyat Singapura."

BAGAIMANA IMEJ DIPEROLEHI

Ketika Lagu Kebangsaan mula berkumandang di pembesar suara, Encik Ishak melihat ke dalam 'viewfinder' kamera dan melihat wajah seseorang yang serta merta menarik perhatiannya.

"Saya perasan beliau sedang menangis, jadi saya fikir 'okay, saya harus rakamkannya.'"

Menurutnya ketika itu, lelaki tersebut duduk sekurang-kurangnya jarak 15 barisan di bahagian atas, bermakna beliau harus menggunakan mod zoom kamera secara perlahan-lahan.

Cik Lee yang berada di dalam trak penyiaran melihat rakaman Encik Ishak di Kamera 4 dan mengarahkan ia ditayangkan di televisyen.

Laporan media kemudiannya mengenal pasti lelaki itu sebagai guru sekolah menengah Azuan Tan, 41 tahun. Beliau memberitahu Mediacorp, beliau menjadi emosi dan menangis semasa Lagu Kebangsaan kerana naratif NDP tahun ini di mana setiap rakyat Singapura berjuang mengatasi pandemik.
Encik Ishak berkata kerja beliau melibatkan gabungan "masa yang tepat" dan tuah antara krew yang terlibat.

"Sebelum COVID-19, kami sukar dapatkan rakaman orang menangis. Semasa COVID-19, jumlah penonton dihadkan - tidak ada orang ramai jadi ia mencabar buat jurukamera di lapangan," kata beliau.

"Saya sudah menceburi bidang ini buat sekian lama dan sudah merakam banyak visual bukan sahaja untuk NDP. Anda berusaha beri rakaman yang cantik dan indah, kali ini saya bertuah kerana dapat memberikan visual yang cantik untuk rakaman memori negara."
Sumber : CNA/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa