Jurong West catat rekod tertinggi hujan di tengah lonjakan monsun
Beberapa kawasan di Singapura mengalami hujan lebat melebihi purata pada 19 dan 20 Mac akibat lonjakan monsun. Jurong West mencatat jumlah hujan tertinggi sebanyak 318mm, menurut agensi air kebangsaan, PUB pada Khamis (20 Mac).

Keadaan banjir di persimpangan antara Mountbatten Road dan Jalan Seaview, pada 20 Mac 2025. (Gambar: Facebook/Agensi Air Kebangsaan)
Di sebelah timur Singapura, jumlah hujan tertinggi yang direkodkan adalah pada 298.4mm.
Kedua-dua jumlah hujan tersebut melebihi purata hujan bulanan Singapura pada 209.7mm bagi bulan Mac, menurut PUB dalam satu hantaran di Facebook.
Kejadian banjir sepanjang 15 meter turut terjadi di sepanjang persimpangan Mountbatten Road dan Jalan Seaview selama kira-kira dua jam, pada petang Khamis, sekitar pukul 2.00 petang.
Kejadian tersebut disebabkan oleh "gabungan hujan lebat dan air pasang tinggi yang melimpahi saluran dan longkang yang berhampiran dengan jalan raya," kata PUB. Ia juga menambah bahawa premis hartanah berhampiran turut banjir.
Agensi itu menyatakan pegawai dari Pasukan Tindakan Pantas (QRT) membantu penduduk dengan memasang penghadang mudah alih untuk mengurangkan kesan banjir. Ia turut menggunakan pam mudah alih untuk mengepam air keluar dari jalan yang terjejas.
Sepanjang dua hari tersebut, PUB mengeluarkan amaran risiko banjir untuk beberapa lokasi, termasuk persimpangan Mountbatten Road dan Jalan Seaview, serta sepanjang Pan-Island Expressway yang menghala ke arah Lapangan Terbang Changi selepas laluan keluar Tampines Expressway dan Lebuhraya East Coast yang menghala ke arah Lapangan Terbang Changi selepas laluan keluar Bayshore Road.
PUB turut mengerahkan QRT untuk bersiap sedia di lokasi berisiko banjir bagi menghulurkan bantuan.
Hujan lebat yang berterusan juga menyebabkan penangguhan kejohanan golf Porsche Singapore Classic 2025 yang sepatutnya bermula pada Khamis.
Selain daripada banjir, kebimbangan turut timbul mengenai kesan hujan lebat terhadap operasi utama di Singapura.
Misalnya, penyedia perkhidmatan pengendali lapangan dan katering dalam penerbangan SATS memberi amaran menerusi satu hantaran LinkedIn pada pagi Khamis bahawa pasukan hab Singapura mereka mungkin berhadapan dengan gangguan operasi di Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Seletar apabila ribut petir dan hujan lebat mencetuskan amaran kilat, yang menyekat operasi di kawasan lapangan terbang.
Lonjakan monsun dijangka berterusan sehingga Jumaat, membawa hujan sederhana hingga lebat ke seluruh Singapura, menurut Perkhidmatan Meteorologi Singapura pada Isnin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.