Juri Anugerah The Pinwheels 2023 harap pencipta kandungan tempatan boleh setaraf dengan luar negara
Para finalis Anugerah 'The Pinwheels' anjuran Mediacorp, sangat bermutu tinggi dan menghiburkan.
BERITAmediacorp: Para finalis Anugerah 'The Pinwheels' anjuran Mediacorp, sangat bermutu tinggi dan menghiburkan.
Demikian pandangan salah seorang juri, Dillah Zakbah yang ditemui BERITAmediacorp selepas proses penilaian dijalankan.
"Kraf para pencipta kandungan sangat menghiburkan, membuatkan penilaian para juri sangat mencabar. Kita terpaksa menilai kepada butiran terakhir," ujar Cik Dillah yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman dalam industri kreatif.
Sebagai juri Anugerah 'The Pinwheels', Cik Dillah juga mengiktiraf daya keunikan kandungan yang dihasilkan.
"Sebagai pencipta kandungan di Singapura, ada banyak kisah unik yang diceritakan yang orang lain dari bahagian lain di dunia tidak ceritakan. Jadi bagaimana pencipta kandungan menjadikan kandungan mereka relevan dan unik dan memberitahu mesej dengan menarik dan menghiburkan," kata Cik Dillah
Cik Dillah kini menyandang jawatan selaku Pengarah Kreatif di sebuah firma pengiklanan antarabangsa, BBH London.
Beliau menyimpan harapan besar terhadap para pencipta tempatan untuk menghasilkan kandungan yang setaraf dengan kandungan yang dikeluarkan para pencipta kandungan luar negara seperti dari Amerika Syarikat mahupun Eropah.
Beliau berkata, "Saya rasa ada banyak harapan bagi pencipta kandungan di Singapura. Sejak beberapa tahun lalu, kita dapat lihat bagaimana para pencipta kandungan cuba sebaiknya. Kami boleh melihat mutu dan kraf yang semakin baik, ramai yang meningkatkan kemahiran, cara penceritaan dan sebagainya."
"TRUE HORROR STORIES POV" MUNCUL SEBAGAI ANTARA FINALIS
Bagi edisi tahun ini, Anugerah 'The Pinwheels' menerima sejumlah 434 pencalonan.
Sebanyak 36 finalis terpilih daripada senarai itu.
Salah satu daripadanya ialah kumpulan True Horror Stories POV yang menonjolkan keunikan dalam video-video yang dihasilkan.
Antara keunikan itu adalah cuba menceritakan kisah-kisah hantu menerusi sudut pandangan pertama (POV) agar para penonton dapat merasakan pengalaman berbeza dengan video-video seram yang lain.
"Orang sekeliling saya apa pengalaman saya tetapi apabila saya menceritakan, mereka tidak begitu faham. Jadi saya benar-benar ingin menunjukkan kepada orang ramai dan pastikan mereka dapat lihat apa yang saya lihat. Kita mulakan dengan konsep POV kerana saya ingin orang rasakan pengalaman saya sendiri," kata Naqiah Ayub, pengasas kumpulan itu.
Siri POV itu yang sudah memasuki musim ketiganya tahun ini juga sudah berkembang dengan memaparkan pengalaman-pengalaman seram yang dikongsi para penonton mereka juga.
Cik Naqiah berkata: "Pada mulanya kita menceritakan kisah-kisah pengalaman kita tetapi kita terima maklum balas untuk menceritakan pengalaman orang lain. Jadi pada musim kedua, kita gunakan pengalaman para penonton kita."
"Yang penting adalah kisah-kisah ini perlu benar. Kalau cerita dongeng, kita tetap akan merakamnya tetapi kita akan muat naik dalam senarai 'Real Or Not' iaitu senarai muat naik yang berlainan kerana keunikan kami adalah untuk menceritakan kisah-kisah benar," tambah beliau.
Penerbitan oleh Kumpulan True Horror Stories POV bermula secara kecil-kecilan sejak kumpulan itu ditubuhkan pada 2019.
"Saya dahulu merakam dengan hanya menggunakan telefon bimbit, tidak mengambil kisah tentang cahaya. Episod pertama agak mudah tetapi ia semakin mencabar. Satu video selama empat minit boleh mengambil masa selama dua hari untuk disunting," kata Cik Naqiah.
Namun, sekarang kumpulan itu sudah semakin berjaya.
Saluran kumpulan itu di YouTube kini sudah berjaya meraih lebih 254,000 pengikut.
Buat acara Anugerah 'The Pinwheels' tahun ini, kumpulan itu dicalonkan bagi kategori Video Drama Terbaik.
Pencalonan mereka berdasarkan video drama berjudul 'Salam Debaran' yang dimuat naik mereka pada Mei 2022 dan sudah ditonton lebih 211,000 kali sehingga artikel ini diterbitkan.
Bercakap mengenai peluang mereka untuk memenangi anugerah Video Drama Terbaik, Cik Naqiah berkata: "Kita gementar juga kerana kita lihat para finalis yang lain, mereka berpengalaman tetapi kita masih ada harapan kerana mana tahu rezeki menyebelahi kita dan mana tahu orang suka konsep baru sebab para pesaing kita tidak buat konsep POV dan mungkin para juri rasakan ini sesuatu berbeza."
Cik Naqiah berkata: "Seandainya ada rezeki ia akan memberi rangsangan untuk kita mengetahui lebih lanjut tentang pembuatan filem. Kita juga ingin menuju ke arah filem 'fusion'," tambah beliau
Cik Naqiah juga berkata kumpulannya menyimpan hasrat untuk menghasilkan filem pula pada masa akan datang.
PARA PEMENANG ANUGERAH THE PINWHEELS BAWA PULANG TROFI, GANJARAN WANG
Acara Anugerah 'The Pinwheels' akan diadakan pada Jumaat (3 Mac) bagi menyampaikan sembilan anugerah kesemuanya.
Kategori-kategori yang dipertandingkan kali ini ialah:
1. Video Kecantikan & Fesyen Terbaik
2. Video Kerjasama Terbaik
3. Video Drama Terbaik
4. Video Gaya Hidup Terbaik
5. Video Pencipta Baru Terbaik
6. Video Bukan Fiksyen Terbaik
7. Video Paling Inovatif
8. Video Paling Berkesan kepada Masyarakat
9. Kandungan Terbaik
Ganjaran bagi tiga kategori utama iaitu Kandungan Terbaik, Video Drama Terbaik dan Pencipta Kandungan Terbaik adalah wang tunai sebanyak S$10,000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.