Skip to main content

Singapura

Jurang modal sosial perlu ditangani sedang masyarakat Melayu/Islam terus maju: Zaqy Mohamad

Anggaran Waktu Membaca:
Jurang modal sosial perlu ditangani sedang masyarakat Melayu/Islam terus maju: Zaqy Mohamad

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran yang juga merupakan Pengerusi MENDAKI, Zaqy Mohamad, mengatakan bahawa Masyarakat Melayu tidak berdiam diri dengan dapatan yang dikeluarkan oleh RIMA. (Gambar: Yayasan MENDAKI)

SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam di Singapura telah menunjukkan kemajuan ketara dalam mobiliti sosial sepanjang tiga generasi, namun jurang modal sosial masih kekal sebagai cabaran yang perlu ditangani.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran, Zaqy Mohamad, sebagai reaksi kepada kajian RIMA mengenai mobiliti antara generasi dalam masyarakat Melayu yang diterbitkan The Straits Times pada Selasa (13 Mei).
Dalam catatan Facebook beliau, Encik Zaqy berkata kajian tersebut perlu dilihat secara objektif kerana ia mengandungi “kebenaran yang jujur” mengenai cabaran yang masih dihadapi masyarakat Melayu/Islam.

Encik Zaqy yang juga Pengerusi MENDAKI menarik perhatian bahawa masyarakat Melayu/Islam hari ini “lebih yakin” dan semakin melabur dalam masa depan anak-anak mereka, dengan akses lebih luas kepada sumber, kerjasama dan rangkaian termasuk di luar masyarakat sendiri.

"Di peringkat masyarakat yang lebih luas, trajektorinya jelas. Statistik nasional menunjukkan bahawa peratusan belia Melayu yang mempunyai kelayakan posmenengah telah meningkat daripada sekitar 30 peratus pada tahun 2000 kepada sekitar 80 peratus pada tahun 2020. Bilangan graduan universiti pula meningkat lima kali ganda. Peratusan mereka dalam peranan PMET juga hampir berganda, daripada 23 peratus kepada 40 peratus," tambah beliau.

Namun begitu, Encik Zaqy berkata kajian tersebut juga menunjukkan akses kepada modal sosial seperti mentor, rangkaian dan pendedahan kepada peluang kerjaya masih tidak dapat menjangkaui semua.

Beliau berkata ramai responden melalui laluan pendidikan dan kerjaya dengan mencuba dan belajar daripada kesilapan sendiri, tanpa bimbingan mengenai biasiswa, latihan amali atau pendedahan kepada industri tertentu.

"Ini bukan kegagalan cita-cita. Ia adalah realiti hidup sebagai generasi pertama dalam keluarga yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Kita tidak dilatih untuk mencari mentor atau cara mendapatkan latihan industri atau sokongan testimoni bagi membuka peluang," kata Encik Zaqy.

"Kita tidak mempunyai panduan seperti yang dimiliki oleh keluarga atau rangkaian yang lebih berkemampuan. Mereka yang berjaya sering melakukannya secara kebetulan, kerana mereka belajar sendiri sepanjang perjalanan. Kekurangan modal sosial ini bersifat struktur bagi ramai daripada latar belakang sedemikian, dan di sinilah komuniti ini lebih terwakili," tambahnya lagi.

MENDAKI, PERTUBUHAN M³+ GIAT PERKUKUH AKSES RAPAT JURANG MODAL SOSIAL: ZAQY MOHAMAD

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa modal sosial boleh dibina menerusi program bimbingan, pendedahan industri dan rangkaian profesional.

"Masyarakat Melayu tidak berdiam diri melihat kepada dapatan ini. Yayasan MENDAKI bersama rakan kerjasama kami merentasi pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam dan M³+ sedang berusaha untuk merapatkan jurang ini, termasuk membawa masuk bakat dan sumber melangkaui masyarakat ini," kata Encik Zaqy.

Antara usaha yang diketengahkan termasuk program #amPowered MENDAKI yang tahun lalu memadankan 800 mentor dengan 2,800 mentee serta rangkaian profesional MENDAKI yang kini merangkumi lebih 1,500 profesional daripada 13 sektor.

Encik Zaqy turut berkata MENDAKI akan terus memperkukuh usaha tersebut menerusi lebih banyak biasiswa, pinjaman pendidikan, program pementoran dan pendedahan pembelajaran bagi membantu merapatkan jurang modal sosial dalam masyarakat Melayu/Islam.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita