Jurang lebar kemenangan Tharman dalam Pilihan Raya Presiden "tidak dijangka" para analisis

(Gambar: Jeremy Long/CNA)
Encik Tharman, mantan Menteri Kanan yang sudah terlibat dalam politik selama lebih dua dekad, dipilih sebagai Presiden kesembilan Singapura dalam kemenangan besar, meraih 70.40 peratus undi selepas kiraan undi selama empat jam setengah.
Kira-kira 2.5 juta rakyat Singapura mengundi dalam pilihan raya pada hari Jumaat (1 Sep).
Mantan ketua pegawai pelaburan GIC Ng Kok Song memperolehi 15.72 peratus undi, manakala mantan ketua eksekutif NTUC Income Tan Kin Lian menerima 13.88 peratus undi.
Keputusan muktamad itu mencerminkan kiraan undi sampel yang diumumkan oleh Jabatan Pilihan Raya pada lewat malam Jumaat.
Kiraan undi sampel menunjukkan bahawa Encik Tharman meraih 70 peratus undi, manakala Encik Ng dan Encik Tan masing-masing menerima 16 peratus dan 14 peratus undi.
HASIL YANG “MENGEJUTKAN”
Bercakap kepada CNA dalam siaran langsung selepas keputusan kiraan undi sampel, Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) menyifatkan keputusan kiraan undi sampel Pilihan Raya Presiden itu sebagai "mengejutkan", dengan jumlah undi yang diraih Encik Tharman mengatasi jumlah gabungan undi untuk Encik Tan dan Encik Ng.
Profesor Tan menyatakan bahawa keputusan itu serupa dengan prestasi Encik Tharman semasa Pilihan Raya Umum, apabila beliau secara konsisten meraih antara 70 peratus hingga 75 peratus undi di kawasan undi GRC Jurong.
Dr Felix Tan, seorang penganalisis politik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), turut melahirkan rasa terkejutnya terhadap kedua-dua keputusan kiraan undi sampel dan keputusan akhir.
“Saya fikir terdapat ramai orang yang berharap Tharman akan menang, tetapi menang dengan jurang yang besar ini ... saya rasa ia agak tidak dijangka dan ia agak mengejutkan. Kejutan yang menggembirakan bagi sesetengah pihak,” katanya
Menonjolkan tumpuan kepada isu "penubuhan berbanding anti-penubuhan" sepanjang tempoh berkempen, Dr Tan menjelaskan bahawa seseorang itu mungkin merasakan bahawa "mungkin sokongan kepada Encik Tharman telah merosot tetapi nampaknya tidak".
Malah, ia "meningkatkan sokongannya lebih tinggi lagi", tambahnya.
Penganalisis lain, sebaliknya, tidak mendapati keputusan itu di luar jangkaan. Dr Woo Jun Jie, seorang zamil penyelidik kanan di Institut Kajian Dasar (IPS), berkata beliau "tidak sama sekali" terkejut dengan kemenangan besar Encik Tharman.
Profesor Madya Chong Ja Ian dari Universiti Nasional Singapura (NUS) menambah bahawa Tharman "terkenal menjelang pilihan raya" dan dia mempunyai "dua pesaing yang lemah".
"Ng Kok Song adalah seorang yang tidak dikenali; Tan Kin Lian mempunyai rekod membuat kenyataan kontroversi," katanya.
"Keputusannya tidak terlalu jauh dari rekod sejarah Tharman yang menerajui GRC Jurong, dan GRC sepatutnya mencerminkan demografi negara. Jadi ya, hasilnya tidak mengejutkan," tambahnya.
Profesor Madya Chong, yang mengajar sains politik, juga menekankan bahawa keputusan menunjukkan bahawa rakyat Singapura "boleh dan akan menyokong calon minoriti, walaupun untuk jawatan tinggi". Mereka hanya perlu menjadi "calon yang kuat seperti yang lain".

JUMLAH UNDI KUAT MENCERMINKAN POPULARITI THARMAN
Dr Woo berkata undi untuk Encik Tharman yang kuat "mencerminkan bukan sahaja popularitinya di kalangan orang awam tetapi kepercayaan pengundi terhadap keupayaannya untuk menjalankan tugasnya sebagai Presiden".
Ini hasil daripada pengalamannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dari 2011 hingga 2019, serta masanya sebagai Menteri Kewangan dari 2007 hingga 2015, yang memberinya pengalaman dasar peringkat tertinggi, tambah Dr Woo.
Dr Tan dari NTU menonjolkan strategi kempen Encik Tharman yang konsisten, dan beliau tidak "bertindak balas" terhadap apa yang mungkin dikatakan oleh calon lain.
“Beliau berpegang kepada slogannya, iaitu ‘menghormati semua’. Dan itu adalah yang paling penting, kerana pada akhirnya, ia berkenaan ketekalan. Ia tentang apa yang anda percaya dan tentang siapa anda,” kata Dr Tan.
"Dan saya fikir, (Pilihan Raya) Presiden berdasarkan perwatakan dan integriti ... Encik Tharman telah menunjukkannya."
Profesor Tan berkata pengundi telah mengetepikan perbezaan mereka untuk membawa Encik Tharman ke Istana. Beliau menambah: “Ini adalah populariti di seluruh pulau. Seseorang akan mengatakan dia menarik undi dari seluruh spektrum politik, walaupun ini bukan pertandingan politik."
Profesor Tan juga menyatakan bahawa Singapura sedang mengalami perubahan kepimpinan di peringkat politik. Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau sedang bersedia untuk menyerahkan kuasa kepada 4G, yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong.
"Seseorang seperti Encik Tharman, dengan perawakan beliau, kedudukan antarabangsanya, dan dengan sokongan padu rakyat Singapura itu, akan dapat membantu Singapura (dalam) secara yang sangat positif (ke arah) masa depan," kata Profesor Tan.
Pada masa yang sama, personaliti Encik Tharman, rekod prestasi dan mesej kempen ditingkatkan lagi dengan "sokongan besar dari mereka yang tidak berpihak", kata Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan hal ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore.
Perubahan ini disebabkan oleh persaingan yang menimbulkan perpecahan apabila beberapa tokoh pembangkang menyatakan sokongan bagi calon saingannya Encik Tan, katanya.
Encik Tan menerima sokongan daripada Lim Tean dari parti Suara Rakyat, Goh Meng Seng dari Parti Kuasa Rakyat (PPP), pengerusi Parti Kemajuan Singapura (PSP) Dr Tan Cheng Bock, serta Encik Tan Jee Say dari Parti Demokratik Singapura. Dr Tan berkata beliau menyokong Encik Tan Kin Lian dalam "kapasiti peribadi".
“Ia mempunyai limpahan positif kepada Tharman. Ia menyentak mereka yang tidak berpihak untuk berhati-hati, dan mengundi secara pragmatik dan rasional dalam pilihan raya ini. Oleh itu, untuk mengundi berdasarkan dua faktor: keterkaitan dan kebiasaan,” tambah Dr Mustafa.

NG KOK SONG KURANG PENDEDAHAN AWAM
Walau bagaimanapun, sokongan Encik Tan daripada ahli parti pembangkang mempunyai "kesan limpahan negatif" terhadap kempen Encik Ng, kata Dr Mustafa.
Encik Ng agak bergantung kepada undian mereka yang tidak berpihak supaya dipilih, jelasnya.
"Sekiranya bahagian tengah berpihak kepada Encik Tharman, hanya tinggal sebahagian daripada kem tengah yang mengundi untuknya, dan itulah sebabnya anda melihat beliau mempunyai peratusan undi yang didapatkan," tambahnya.
“Dan Encik Tan Kin Lian jelas mendapat sebahagian besar, jika tidak semua, undi daripada penyokong tegar pembangkang.”
Penganalisis juga menegaskan bahawa Encik Ng adalah seorang yang tidak dikenali oleh masyarakat umum sebelum beliau memutuskan untuk bertanding dalam jawatan presiden.
Dr Woo dari IPS berkata Encik Ng kurang pendedahan awam seperti yang dimiliki Encik Tharman, walaupun telah 45 tahun bekerja dalam perkhidmatan awam.
Lebih-lebih lagi, tempoh berkempen adalah "sangat singkat", jadi "banyak bergantung kepada tanggapan awam", tambah Profesor Chong dari NUS.
Encik Ng terpaksa "berjuang untuk membuat orang mengenalinya", tetapi Encik Tan mempunyai "pengiktirafan nama".
Bagaimanapun, Profesor Chong menegaskan bahawa "banyak" percakapan mengenai Encik Tan adalah "negatif" dan beliau "meningkatkan lagi pandangan itu" dengan komennya mengenai kaum wanita dan perkauman.
Namun begitu, pengiktirafan dan sokongan nama Encik Tan oleh ahli politik pembangkang yang terkenal, ditambah pula dengan "ketidakbiasaan relatif" orang ramai dengan Encik Ng mungkin membolehkan Encik Tan beraksi lebih baik daripada Pilihan Raya Presiden 2011, tambah profesor itu.

KEBEBASAN TAN KIN LIAN, CATATAN MEDIA SOSIAL DITIMBULKAN
Pengundi mungkin tidak selesa dengan Encik Tan kerana terdapat "terlalu banyak kuasa pembangkang yang menyokong pencalonannya", kata Dr Tan, merujuk kepada sokongan calon presiden kali kedua itu.
"Saya fikir itu mungkin telah menghindari orang ramai daripada mengundi Tan Kin Lian kerana setiap (masa) dia bercakap tentang kebebasan, dia tidak bebas sama sekali."
Encik Tan menerima kurang daripada 5 peratus undi dalam Pilihan Raya Presiden 2011 dan kehilangan wang depositnya.
Bagaimanapun, Dr Tan percaya Encik Tan berjaya mengambil balik deposit pilihan rayanya kali ini kerana hanya ada "seorang calon yang besar, benar-benar kuat, popular" dalam pilihan raya ini.
Sebagai perbandingan, beliau berkata terdapat "dua calon yang sangat kuat" dalam Dr Tan Cheng Bock dan Dr Tony Tan pada Pilihan Raya Presiden 2011.
Profesor Tan dari SMU menyatakan bahawa Encik Tan mendapat hampir tiga kali lebih banyak sokongan tahun ini berbanding tahun 2011. Beliau menyatakan kebimbangannya bahawa ini berlaku walaupun Encik Tan “menjalankan kempen yang – kadang-kadang – tidak menyatakan dengan tepat apa yang boleh dilakukan oleh Presiden, serta pandangan boleh dianggap sebagai misoginis, perkauman, malah nativis oleh segmen tertentu”.
Semasa kempen Pilihan Raya Presiden, Encik Tan juga mendapat kecaman kerana catatan media sosialnya mengenai "gadis cantik",yang kemudian membuatnya memohon maaf.
Dr Woo berkata sesetengah pengundi mungkin tidak selesa dengan catatan itu, manakala sesetengah lagi mungkin tidak cukup yakin bahawa latar belakangnya dalam insurans akan memberikannya kepakaran yang diperlukan dalam hal kewangan awam.
“Saya bagaimanapun agak terkejut dengan peratusan undi Tan Kin Lian yang rendah, memandangkan sokongan padu yang beliau terima daripada pelbagai parti pembangkang,” tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.