Skip to main content

Singapura

Jurang kekayaan SG lebih tinggi berbanding jurang pendapatan, setanding ekonomi maju lain

Ketaksamaan kekayaan di Singapura melebihi ketaksamaan pendapatan, dan secara umumnya sejajar dengan ekonomi maju lain, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Isnin (9 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:
Jurang kekayaan SG lebih tinggi berbanding jurang pendapatan, setanding ekonomi maju lain
Orang ramai dilihat di kawasan Raffles Place di Singapura pada waktu makan tengah hari pada 16 Februari 2023. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
SINGAPURA: Ketaksamaan kekayaan di Singapura melebihi ketaksamaan pendapatan, dan secara umumnya sejajar dengan ekonomi maju lain, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Isnin (9 Feb).

Kementerian itu mengeluarkan dapatan baharu mengenai pertumbuhan pendapatan, ketaksamaan dan trend mobiliti sosial berdasarkan data yang diperluaskan, yang buat pertama kalinya merangkumi pendapatan pasaran isi rumah dan kekayaan. Data tersebut diterbitkan dalam Trend Pendapatan Isi Rumah Utama 2025 oleh Jabatan Perangkaan Singapura (Singstat).

Data berkenaan menunjukkan bahawa dasar-dasar pemerintah berfungsi dengan baik sepanjang dekad lalu, kata Perdana Menteri Lawrence Wong dalam satu pesanan video yang dimuat naik online selepas laporan itu diterbitkan.

“Namun di tengah-tengah cabaran baharu, memastikan Singapura terus bergerak ke arah yang betul memerlukan usaha yang lebih besar serta kesediaan untuk menyesuaikan diri dan melakukan perkara secara berbeza.”

Ketaksamaan kekayaan mengukur sejauh mana aset - seperti hartanah, simpanan dan pelaburan - diagihkan secara tidak sama rata dalam kalangan penduduk. Ini berbeza daripada ketidaksamaan pendapatan, yang menjejak pengagihan pendapatan dan lazimnya diukur menggunakan koefisien Gini.

Kekayaan lazimnya diagihkan dengan lebih tidak rata berbanding pendapatan kerana aset terkumpul dari semasa ke semasa dan boleh diwariskan merentas generasi, manakala pendapatan merujuk kepada apa yang diperoleh seseorang dalam tempoh tertentu.

Laporan-laporan sebelum ini hanya mengukur pendapatan isi rumah daripada pekerjaan. Laporan 2025 kini merangkumi “pendapatan pasaran” - yang meliputi pendapatan daripada pekerjaan serta sumber pendapatan bukan pekerjaan seperti pelaburan dan pendapatan hasil kutipan sewa, menurut Singstat.

Takrif yang diperluaskan itu turut merangkumi isi rumah yang tidak mempunyai penghuni yang bekerja, mencerminkan kemewahan Singapura yang semakin bertambah, di samping penduduk yang semakin menua.

Dengan pertambahan jumlah pesara dan pengumpulan kekayaan yang lebih besar, semakin banyak isi rumah memperoleh pendapatan daripada sumber bukan pekerjaan, menurut MOF.

Pihak kementerian menyatakan bahawa terdapat kemungkinan jumlah pendapatan yang dilaporkan adalah sedikit lebih rendah daripada keadaan sebenar bagi sesetengah kumpulan, terutamanya isi rumah yang lebih kaya. Ini kerana data pendapatan bukan pekerjaan dikumpulkan melalui kaedah tinjauan.

DATA KEKAYAAN PERTAMA DITERBITKAN

Koefisien ketaksamaan kekayaan Singapura berada pada paras 0.55, setanding dengan anggaran bagi ekonomi maju lain seperti Britain, Jepun dan Jerman, yang masing-masing berada dalam lingkungan 0.6 hingga 0.7.

Ini merupakan kali pertama Singapura menerbitkan data kekayaan, walaupun MOF mengakui terdapat cabaran dalam mengukur aset-aset tertentu, termasuk ekuiti syarikat privet dan pegangan di luar negara.

“Setakat mana kekayaan di peringkat teratas pengagihan tidak dilaporkan dengan sepenuhnya, ketidaksamaan kekayaan yang diukur akan menjadi lebih rendah daripada keadaan sebenar,” menurut kementerian itu.

Di peringkat global, ketaksamaan kekayaan lazimnya melebihi ketidaksamaan pendapatan, menurut MOF.

Dalam kalangan semua isi rumah penduduk pada 2023, hartanah merangkumi 56 peratus daripada kekayaan isi rumah, manakala baki Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan aset kewangan lain masing-masing menyumbang sebanyak 22 peratus.

Bagi 20 peratus isi rumah terendah, hartanah membentuk 54 peratus daripada kekayaan mereka, manakala baki CPF merangkumi 39 peratus.

Dalam kalangan 20 peratus teratas, hartanah menyumbang 58 peratus, baki CPF merangkumi 15 peratus, manakala aset kewangan lain membentuk baki 27 peratus.

MOBILITI SOSIAL MENUNJUKKAN “PENYEDERHANAAN BERTAHAP”

Walaupun kebanyakan warga Singapura mengalami mobiliti pendapatan yang meningkat merentas generasi, mobiliti sosial menunjukkan tanda-tanda “penyederhanaan bertahap-tahap” di tengah-tengah ekonomi yang semakin matang, menurut MOF.

Analisis terhadap kanak-kanak yang dilahirkan antara 1978 dan 1989 mendapati sebahagian besar daripada mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah hingga sederhana memperoleh pendapatan yang lebih tinggi berbanding bapa mereka.

Namun, dalam kalangan kanak-kanak yang dilahirkan kepada bapa dalam kelompok 20 peratus pendapatan terendah, peratusan mereka yang kekal dalam kelompok pendapatan tersebut apabila dewasa meningkat merentasi tiga kohort lima tahun bermula pada 1978, 1982 dan 1985.

Sekalipun demikian, tiga daripada empat kanak-kanak yang dilahirkan dalam 20 peratus isi rumah terendah pada akhir 1970-an dan 1980-an berjaya beralih ke peringkat pendapatan yang lebih tinggi apabila dewasa, kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

“Secara keseluruhan, ini merupakan gambaran yang menggalakkan. Namun, kita tidak boleh terlalu selesa,” tambah beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita